Monday, August 1, 2016

Cerkas : Kumpulan Sarkis Yang Membosankan

Pic asal dari sini

Musim pilihanraya ini adalah satu ketika yang telah lama ditunggu oleh beberapa individu. Bendera dari pelbagai parti yang bertanding kian menghiasi jalanraya baik di kawasan kampung mahupun di bandaraya. Segala acara merasmikan premis-premis seperti balai raya, dewan sivik mahupun tandas awam semakin giat dijalankan.

 Selang beberapa hari kemudian, hari mengundi pun tiba. Segala macam karenah manusia jelas dilihat semasa proses mengundi dijalankan. Ada yang berarak membawa sepanduk parti masing. Tidak lupa juga ada yang hanya datang berlenggang sambil beratur untuk menunggu giliran mengundi.

 Hendak dijadikan cerita, ada sebuah sekolah menengah di satu kawasan yang dijadikan salah satu pusat mengundi. Kawasan sekolah tersebut telah menjadi sesak oleh bermacam-macam manusia sejak seawal pukul 6:30 pagi lagi. Keterujaan para pengundi dapat dirasai semangatnya pada ketika itu.

 Para pengundi kemudiannya akan diarah untuk masuk ke dalam salah sebuah kelas yang telah ditentukan. Tepat pukul 9 pagi proses mengundi pun bermula.

 Tunggu

 Ada sesuatu yang aneh telah berlaku. Satu fenomena yang pelik telah terjadi di mana para pengundi yang selesai mengundi bertukar menjadi kambing. Kebanyakan daripada mereka menjadi kambing biri-biri yang mempunyai bulu tebal.

 Setiap kali ada pengundi yang selesai dengan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi, mereka akan bertukar menjadi kambing biri-biri. Namun hal yang pelik sedemikian langsung tidak memeranjatkan pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di tempat mengundi tersebut. Mereka seolah-olah bersedia dengan situasi berkenaan. Siap ada yang sedang bawa tali bagi menjerat pangkal leher kambing-kambing tersebut. Sihir apakah yang mereka gunakan?

 Di depan sekolah itu, ada beberapa tokoh politik setia menunggu untuk mengambil kambing-kambing tersebut. Mungkin bunyinya agak ralat dan ganjil, namun para Yang Berhormat yang muncul di depan sekolah berkenaan sudah bersedia untuk mengangkat kambing-kambing tersebut lalu naik ke atas lori.

 Apabila lori tersebut sudah penuh dan sesak oleh kambing-kambing, maka kesemua Yang Berhormat pun menghidupkan enjin kenderaan itu lalu membawa mereka ke satu destinasi yang entah ke mana.

 Agak-agaknya mungkin kambing-kambing tersebut akan dibunuh serta dijadikan salah satu menu mahal untuk beberapa restoran eksklusif yang sering dikagumi oleh golongan marhaen. Siapa tahu.

7 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...