Thursday, March 10, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AMAAMA TO INAZUMA - SWEETNESS AND LIGHTNING

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AMAAMA TO INAZUMA - SWEETNESS AND LIGHTNING

Kalau kita berbicara tentang dunia masakan, rasanya ada banyak siri anime yang menyentuh topik ini. Dari ketelitian cara memasak di dalam filem-filem Makoto Shinkai seperti Weathering With You sehinggalah kepada siri seperti Food Wars (Shokugeki No Soma), dunia kulinari juga dianggap sebagai salah satu daya penarik di dalam anime.

Begitu jugalah yang terdapat di dalam siri anime "Amaama To Inazuma" di mana ianya juga memfokuskan tentang dunia masakan tetapi dari aspek pandangan seorang pemula (beginner). Siri anime ini asalnya dari manga dengan tajuk yang sama (disiarkan pada Mac 2013 sehinggalah Ogos 2018) dan diterbitkan oleh TMS/3xCube, syarikat produksi yang pernah menghasilkan filem bertaraf legenda iaitu Akira.

Siri anime "Amaama To Inazuma" ini menceritakan tentang seorang guru matematik bernama Kohei Inuzuka yang telah kematian isteri dan terpaksa membesarkan anak perempuannya Tsumugi berusia 5 tahun. Inuzuka sering memberikan anaknya makanan bungkus kepada anaknya selepas 6 bulan kematian isterinya. Pada satu ketika, Inuzuka bertekad untuk mendalami dunia masakan kerana beliau inginkan makanan yang terbaik dan sihat untuk anaknya. Dengan bantuan anak muridnya Kotori Iida, Cikgu Kohei Inuzuka semakin pandai memasak beberapa hidangan yang disukai oleh anaknya Tsumugi.

Apa yang menjadi penarik kepada siri ini ialah sifat penyayang seorang bapa yang ditunjukkan oleh Kohei Inuzuka terhadap anaknya Tsumugi. Selepas kehilangan isteri tercinta, Inuzuka ternyata berjaya kuatkan semangat untuk terus hidup dan nekad untuk membesarkan anaknya sebaik mungkin. Benda sebegini mungkin nampak ringkas tetapi kesannya amatlah mendalam apabila dirasai oleh golongan yang telah berkeluarga.

Daya penarik kedua ialah resepi-resepi masakan yang diperkenal satu persatu di dalam anime ini. Kesemuanya nampak sedap belaka dan kebanyakannya adalah masakan yang amat digemari oleh masyarakat marhaen di Jepun. Selain sushi, wasabi dan onigiri, rakyat Jepun juga mempunyai pelbagai masakan kegemaran yang menarik dan lazat. Kesemuanya dapat kita saksikan dari siri anime ini.

Rating? 4/5



No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...