Monday, November 30, 2015

Puisi : Hakikatnya Kita Bukan Siapa-Siapa

Hakikatnya Kita Bukan Siapa-Siapa

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Biarpun kau lahir dari kalangan bangsawan
Mahupun dibesarkan dalam rimbunan kekayaan
Akhirnya apabila tiba saat maut menjelma
Di liang lahad juga kau dihamparkan

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Walau setinggi mana ilmu kau perolehi
Tidak mungkin mampu disamakan dengan zat-zat suci Sang Pencipta
Pemikiranmu masih terbatas pada kekalutan dan persoalan
Biar seluruh hayatmu kau berkelana mencari kesempurnaan
Namun realitinya kau hanyalah daging bernyawa yang semakin mereput tanpa disedari oleh kau sendiri
Hanya menunggu saat Sakaratul Maut datang menjemput

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Kau dan aku sama sahaja
Cukup jam dan waktu kita pasti tidur
Kita kemudiannya bangkit dan tersungkur
Tidak terlepas dari kealpaan
Mahupun menimbun dosa-dosa yang kian menggunung

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Jika tidak kerana rahmat dari Nya
Kita hanya bagaikan debu-debu yang ditiup angin
Jika tidak kerana kasih dan sayang dari Nya
Nescaya hidup ini hanya sia-sia belaka

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa...

Pelangi Petang (4 November 2015)

Thursday, November 26, 2015

Petualangan Ahmad "Faghuzi" Fauzan Ke Borneo!

20 November 2015

Kelihatan ada diadakan sesi diskusi ilmiah di sebuah kedai mamak bernama Famous Mama Cafe yang terletak di pusat bandar Bintulu. Tuan Pian​ selaku pengacara majlis (berbaju biru dan seorang yang berbakat besar di dalam seni penulisan kreatif) ditemani aku dan  Ahmad Fauzan Azam​ (penulis buku "Travelog Faghuzi" terbitan Rabak Lit).

Ahmad Fauzan sebenarnya datang ke Bintulu pada dasarnya hanyalah untuk mengembara, mencari idea untuk buku beliau seterusnya, barangkali. Aku puji semangat dia. Masih muda dan bermotivasi untuk mengenali dunia dan menimba pelbagai ilmu. Malahan semasa sesi lepak santai ini pun dia cuba untuk bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak walaupun agak tergagap-gagap. Haha...

Manakala saudara Pian pula seorang lagi sahabat aku yang meminati dunia seni sastera indie ni. Tidak semestinya hanya dalam dunia mainstream, malah tulisan-tulisan dari penulis kontroversi seperti Benz Ali dan Faizal Tehrani pun dia cukup minat. Beliau juga seorang yang cenderung dalam penulisan kreatif terutama sekali dalam pembikinan puisi.

Ada percambahan idea berlaku, tidak lupa juga beberapa isu provokasi juga dibincangkan. Namun ianya tetap seronok untuk dibicarakan. Jarang dapat peluang sebegini. Sehingga berjumpa lagi Tuan Fauzan.

 Dari kiri : Pian, Aku dan Ahmad Fauzan


 Senyuman plastik dari aku


Malu jugak la kalau dibandingkan dengan buku Ahmad Fauzan yang setebal 300 mukasurat manakala aku pula tak sampai 100 mukasurat haha...

Monday, November 23, 2015

Movie Review : The Vatican Tapes (2015)


The Vatican Tapes (2015)

Mungkin anda akan menyangka yang ianya adalah seperti filem genre seram berkonsepkan kerasukan yang agak tipikal seperti yang pernah anda tontoni di dalam The Exorcism Of Emily Rose, The Last Exorcism mahupun Exeter (epic fail sungguh filem ini). Namun ianya ada sedikit berbeza dengan The Vatican Tapes kerana ianya menggabungkan elemen kerasukan tersebut dengan konsep apocalyptic seperti End Of Days. Konsep yang berasingan ini apabila digabungkan dengan baik boleh membuatkan jalan cerita menjadi menarik dan mampu membuat penonton menyaksikan filem sampai ke penghujungnya. Itu adalah keistimewaan yang ada pada filem ini. Mungkin ada beberapa scene yang melibatkan CGI tidaklah terlalu berkesan, namun dengan plot cerita yang digarap dengan baik, ianya mampu menarik perhatian penonton.

Cuma ada beberapa kelemahan dalam filem ini yang jelas kelihatan di mana pengakhirannya agak tergantung dan menuntut untuk dibuat satu lagi kesinambungan. Mungkin satu lagu sequel misalnya, kerana ianya tidak mencapai climax yang diinginkan oleh kebanyakan pencandu filem. Satu lagi kekurangan filem ini ialah beberapa watak yang sepatutnya lebih menyerlah tapi hakikatnya hanya muncul seperti cameo sahaja. Watak yang dimaksudkan ialah seorang paderi yang dilakonkan oleh Michael Pena serta penolong pope iaitu Imani. Jika filem ini ditambah dengan outro yang baik dengan tambahan durasi masa, ianya mungkin akan menjadi filem seram yang lebih menyerlah. My rating? 2/5

Official Trailer

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...