Thursday, July 29, 2021
ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : HIGEHIRO - AFTER BEING REJECTED, I SHAVED AND TOOK IN A HIGH SCHOOL RUNAWAY (2021)
Siri anime "Higehiro : After Being Rejected, I Shaved And Took In A High School Runaway" ataupun dalam sebutan Jepun nya "Hige Wo Soru, So Shite Joshikousei Wo Hirou" merupakan sebuah karya yang berasal dari novel ringan hasil tulisan Shimesaba. Bagi versi anime pula, siri ini mula disiarkan pada 5 April 2021 melalui beberapa saluran seperti Muse Communication (melalui YouTube channel Muse Asia) dan juga Crunchyroll.
Sedikit sinopsis mengenai siri anime ini; ianya mengisahkan seorang pekerja di sebuah firma bernama Yoshida berumur 26 tahun yang menyimpan perasaan cinta terhadap seorang senior di tempat kerjanya bernama Gotou, seorang wanita berkarier, cantik dan peramah. Namun setelah Yoshida keluar makan malam bersama Gotou dan meluaskan perasaan cintanya, akhirnya dia hanya bertepuk sebelah tangan kerana Gotou hanya menganggapnya sebagai kawan sahaja. Setelah makan malam tersebut dan dalam keadaan mabuk, Yoshida pulang ke rumah nya dan tanpa disedari dia telah membawa pulang seorang remaja wanita bersamanya. Apa yang berlaku selepas itu? Silakan menonton siri anime ini.
Jika diimbas sepintas lalu, naratif anime ini pada awalnya boleh membawa kepada sisi nakal ataupun miang kerana ianya hampir kepada elemen "hentai" namun ianya adalah sebaliknya. Siri anime "Higehiro" ini sebenarnya menghidangkan sebuah drama berat dan diselangi dengan elemen romantik komedi. Walaupun mempunyai adegan miang tapi ianya tidaklah terlalu menyerlah. Lagipun objektif utama siri anime ini ialah pada jalan ceritanya dan motif teladan yang ingin disampaikan.
Antara kekuatan utama anime ini ialah babak dialog di antara beberapa watak utama di dalamnya. Aku suka beberapa babak perbualan di antara watak utama seperti Yoshida bersama Sayu (watak remaja wanita yang lari dari rumah) bersama Gotou. Di dalam babak ini, Gotou dan Yoshida memberi kata semangat kepada Sayu agar jangan mempersia-siakan kehidupannya dengan lari dari masalah dan cuba selesaikannya bersama ibu bapanya. Semakin kita meneruskan tontonan anime pada setiap episod, kita akan dapat menangkap sebab utama Sayu lari dari rumah dan penyebab inilah yang menjadi kekuatan naratifnya secara keseluruhan.
Rating? 4 / 5
Monday, July 26, 2021
ULASAN RINGKAS FILEM : EDGE OF THE WORLD (2021)
Sejak dari tahun lepas lagi, aku sudah pun menonton trailer untuk filem ini. Walaupun ianya dibintangi oleh Jonathan Rhys Meyers, seorang pelakon berbakat dan "under rated" berasal dari Ireland. Beliau juga banyak membintangi beberapa filem popular sebelum ini seperti "Bend It Like Beckham" (2002) di mana dia digandingkan dengan Keira Knightley, Alexander (2004) dan Mission Impossible III (2006), sekadar menamakan sebahagian. Namun filem kegemaran aku yang dilakonkan oleh beliau ialah "August Rush" (2007) lakonan bersama Keri Russell. Ianya merupakan sebuah filem muzikal bercampur elemen drama.
Kita letak ke tepi sebentar tentang kehebatan lakonan Jonathan Rhys Meyers dan kembali mengulas filem ini. Filem "Edge Of The World" ini merupakan sebuah karya arahan Michael Haussman (banyak mengarah beberapa muzik video untuk artis popular) dan ianya adalah sebuah biopik tentang Sir James Brooke yang dikatakan pernah menjadi Rajah di Sarawak suatu ketika dahulu bermula pada tahun 1842 sehingga ianya bertahan selama beberapa generasi.
Setelah selesai menonton filem ini, ada perasaan yang kurang enak berada di dalam diri. Mungkin ianya disebabkan ada beberapa insiden "historical incorrect" tentang perjalanan cerita ini yang membuatkan aku sebagai anak Sarawak merasa tersinggung. Mungkin ianya betul dan tepat dari pandangan masyarakat yang bukan dari Sarawak, namun mengangkat James Brooke sebagai hero secara total adalah tidak sesuai. Hakikatnya dia tetap di bawah pegangan "Queen's Subject" yang kemudiannya melanggar perintah kuasa koloni British kerana tidak mahu meluaskan empayar berkenaan. Kalau anda perhatikan setiap sesi monolog Sir James Brooke di dalam filem ini, sebenarnya dia dianggap sebagai seorang "loser" di dalam keluarganya (salah sebuah kerabat diraja di England).
Mungkin ada beberapa fakta yang benar diperkatakan di dalam filem ini, sebagai contoh tentang perebutan kuasa di antara putera mahkota dari kesultanan Brunei dan sepupunya yang pernah memerintah Sarawak sebelum kedatangan Sir James Brooke. Aku bukan pakar sejarah. Aku cuma tahu mengulas filem sahaja. Cuma beberapa perkara sensitif cuba diaibkan melalui filem ini seperti perzinaan dan minum arak di kalangan kerabat di raja nampak seperti "out of place".
Di mata masyarakat dunia khususnya di Hollywood, filem ini mungkin dilihat sebagai hiburan dan tidak jauh bezanya seperti menonton "The Sleeping Dictionary" (2003) lakonan Jessica Alba (aku suka filem ini hehe), sebuah lagi filem yang berkaitan dengan negeri Sarawak. Aku tidak salahkan Hollywood sebab mereka memang inginkan sisi "savages" dari Borneo untuk membuatkan filem mereka laku di pasaran. Tapi stereotaip ini rasanya sudah basi untuk diperkatakan baik dalam filem ataupun di kebanyakan media massa. Tidak hairanlah di dalam aplikasi IMDB, filem ini hanya mendapat 5 daripada 10 bintang sahaja. Di dalam zaman moden yang melaungkan slogan "Stop Asian Hate" seperti sekarang, rasanya filem ini tidak sesuai untuk diagungkan.
Aku rasa filem "Farewell To The King" lakonan Nick Nolte (sebuah lagi filem berkaitan Sarawak dan pernah menjadi bahan kontroversi semasa dekad 80'an dahulu) lebih seronok ditonton daripada filem ini. Sekurang-kurangnya kita tahu yang ianya adalah filem fiksyen. Hakikatnya, "Edge Of The World" hanya satu pandangan bias dan tertumpu pada perspektif White Supremacy sahaja.
Walaupun begitu, jika dilihat dari sudut lain pula, filem ini sekurang-kurangnya memberi ruang buat beberapa pelakon berbakat dari Malaysia untuk diketengahkan di dalam karya Hollywood. Para pelakon yang dimaksudkan ialah Bront Palarae dan Shahiezy Sam. Kedua-duanya membawa watak yang sangat penting dalam filem ini. Rasanya itu sahaja yang menarik perhatian aku semasa menonton filem ini.
Rating? 2 / 5
![]() |
Thursday, July 22, 2021
ULASAN RINGKAS FILEM : THE CONJURING - THE DEVIL MADE ME DO IT (2021)
Filem ini merupakan antara beberapa entiti blockbuster yang dinanti-nantikan pada tahun 2021. Namun begitu, bagi peminat filem seram khususnya, ramai yang tidak memberi harapan besar ke atas filem ini akibat daripada beberapa situasi dan salah satunya ialah apabila James Wan (pengarah asal untuk filem The Conjuring bahagian pertama) hanya bertindak sebagai penerbit sahaja. Telah dibuktikan bahawa beberapa filem yang beliau menggalas tugas sebagai penerbit, kebanyakannya mempunyai jalan cerita yang merapu dan mendapat ulasan buruk di beberapa portal melibatkan filem.
Namun tidak seperti apa yang berlaku pada The Conjuring 3 ataupun lebih dikenali dengan tajuk "The Conjuring - The Devil Made Me Do It" di mana jalan ceritanya dioleh dengan teratur dan baik sekali. Untuk filem ini, tugasan pengarah diambil alih oleh Michael Chaves. Chaves sebelum ini pernah mengarah filem "The Curse of La Llorona" yang juga menjadi sebahagian dalam The Conjuring Universe. Walaupun masih belum banyak mengarah dan menghasilkan banyak filem, pengarah muda ini mempunyai bakat yang tersendiri dalam membuat susun-atur untuk storyline nya supaya dilihat agak menarik.
Patrick Wilson dan Vera Farmiga kembali membawakan watak Ed dan Lorraine Warren. Mereka dengan jayanya (seperti sebelum ini) melakonkan watak-watak tersebut dan kali ini dilihat lebih menjiwainya. Mungkin untuk kali terakhir sebagai pelengkap trilogi The Conjuring, aku rasakan watak Lorraine serta Ed lebih menyerlah berbanding dua filem yang sebelumnya. Itu cuma pendapat aku sahaja.
Kelemahan pada filem ini tidaklah terlalu banyak. Secara keseluruhan filem ini berjaya membentuk satu penutup yang kemas dan sempurna untuk sebuah trilogi tanpa membuatkan para penonton terkial-kial (akibat terlalu banyak babak yang tergantung) di penghujung filemnya. Mungkin satu sahaja kelemahan filem ini iaitu tidak mengikuti kes atau kejadian sebenar yang berlaku, tapi kita sebagai penonton tidaklah pedulikan sangat pun mengenai actual case. Yang penting ialah penonton sentiasa rasa terhibur (ataupun terkejut dan bercampur dengan rasa takut) dengan filem ini.
Rating? 4 / 5
Subscribe to:
Posts (Atom)


