Showing posts with label books review. Show all posts
Showing posts with label books review. Show all posts

Monday, May 9, 2022

SIAPAKAH SEBENARNYA OSAMU DAZAI?

 SIAPAKAH SEBENARNYA OSAMU DAZAI?

Jika anda peminat anime, anda mungkin terbiasa menonton satu siri berjudul "Bungo Stray Dogs" dan ianya juga dapat ditonton melalui Netflix. Di dalam siri tersebut ada seorang watak bernama Osamu Dazai. Nama watak ini diambil dari seorang penulis novel Jepun yang "notorious" dan terkenal pada awal abad ke-20. Di dalam anime tersebut juga, watak Osamu Dazai juga mempunyai perwatakan yang sama seperti penulis asalnya dan antara elemen yang berkait tersebut ialah "suicidal".
Anak aku sebenarnya meminati anime ini, aku pula belum mula lagi menelaahnya. Dia suka sangat watak Osamu Dazai sehinggakan dia sanggup buat research pasal penulis asal tu. Kalau di Jepun, Osamu Dazai ni sama level dengan Oscar Wilde (UK), Ernest Hemmingway (USA) dan Chairil Anwar (Indonesia). Persamaan yang ada pada penulis-penulis karya seni ini ialah cuma ada dua; hidup mereka sangat depresif dan sering dirundung kekecewaan namun berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.
Terkejut juga apabila anak aku suruh aku belikan buku ni di Shopee. Seller pula dari Indonesia. Novel yang bertajuk "No Longer Human" atau dalam bahasa Jepunnya "Ningen Shikkaku" pada asalnya diterbitkan di tahun 1948. Ianya mengisahkan tentang kehidupan Osamu Dazai sendiri, lebih kurang macam autobiografi lah. Cuma masalahnya, novel ini khusus untuk pembaca matang kerana ada pelbagai elemen yang mampu mengganggu emosi seperi perasaan bunuh diri, perlakuan zina dan ketagihan dadah jenis morfin.
Namun bahagian paling menyedihkan tentang novel ialah apabila Osamu Dazai disisihkan oleh keluarga dan masyarakat lantas menyebabkan beliau hidup dalam keadaan "Hikikomori" (menyisihkan diri dari komunikasi dengan sebarang manusia). Tidak lama selepas buku ini diterbitkan, Osamu Dazai membunuh diri dan ianya merupakan percubaan kali kelimanya. Sebelum itu beliau telah pun membuat percubaan bunuh diri akan tetapi berjaya diselamatkan oleh beberapa individu.
Yang peliknya pada ketika itu, Novel Osamu Dazai ini laku di pasaran sehinggakan ianya diterjemahkan ke bahasa English 10 tahun kemudiannya. Isu yang aku dapat ini merupakan cetakan yang entah ke berapa kali dah. Ianya berjaya menambat hari para peminat sastera luar negara kerana novel ini mempunyai narratif yang unik dan amat jarang dijumpai di dalam mana-mana karya sastera Jepun.
Entahlah, sama ada aku perlu bagi anak aku baca novel ni ataupun aku harus melarangnya dari membacanya. Hurmm.




Thursday, October 21, 2021

THE BEATLES DALAM BENTUK BAHAN BACAAN

THE BEATLES DALAM BENTUK BAHAN BACAAN

Pada 20 September yang lepas, aku menerima beberapa bungkusan dari Big Bad Wolf melalui aplikasi Shopee. Ianya merupakan beberapa buah buku yang menceritakan tentang sejarah, muzik serta legasi dari band kelahiran Liverpool iaitu The Beatles. Sejak beberapa minggu lepas, pihak Big Bad Wolf sangat rancak menjalankan promosi yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus kepada beberapa buku terpilih. Sebelum ini antara judul-judul buku yang aku sempat beli melalui kedai yang sama (Big Bad Wolf) ialah yang berkaitan dengan Nirvana, Metallica dan juga Motorhead.

Ada 3 buah buku tentang The Beatles yang beli ketika ini iaitu "The Beatles Lyrics", The Beatles Life In Pictures" dan "Life With The Beatles" (mempunyai sebuah DVD bonus). Kesemuanya dijual dengan harga kasih sayang setelah dikurangkan melalui diskaun yang diberikan oleh pihak Big Bad Wold sehingga 70%. Wow, kalau ikutkan harga asal memang aku tidak mampu beli lah.

Jika ada yang berminat, bolehlah cekitdaut kedai Big Bad Wolf di dalam Shopee. Ada banyak lagi judul-judul buku yang lain dan mempunyai tema yang sama dengan buku-buku aku ini iaitu muzik. Selamat bershopping!






Monday, October 4, 2021

NIRVANA SEBENARNYA TIDAK DITAKDIRKAN MENJADI SEBUAH BAND TRIO

Seperti yang kita tahu dan semestinya maklum, Nirvana pada pandangan umum khususnya peminat muzik moden adalah dianggotai oleh Kurt Cobain (vokalis, gitaris), Kris Novoselic (bass) dan juga Dave Grohl (drums dan penyanyi latar). Line-up mula bertahan semenjak era pra album "Nevermind" (1991) sehinggalah ke detik kematian Kurt Cobain pada tahun 1994.


Jika kita lihat balik sejarah pembentukan Nirvana pada era pra serta pasca album "Bleach" pun, Nirvana yang ketika itu di bawah label Sub Pop sudah pun mempunyai 4 orang ahli di dalamnya yang melibatkan Jason Everman (gitaris) dan Chad Channing (drums). Ini merupakan salah satu line-up klasik Nirvana akan tetapi hanya bertahan beberapa ketika sahaja.

Jika kita membaca buku biografi Kurt Cobain hasil tulisan Charles R. Cross yang berjudul "Heavier Than Heaven", pada satu bab ada menyatakan bahawa Kurt tidak pernah menganggap Nirvana sebagai sebuah band trio sebenarnya walaupun ianya kelihatan sangat punk rock baginya ketika itu.

Hakikatnya Kurt Cobain inginkan sound yang lebih besar dan nyaring jika dipadukan dengan 2 gitaris untuk mendapatkan bunyian yang lebih dinamik. Semasa selesai rakaman album "In Utero", Kurt Cobain selaku frontman band ini membuat keputusan untuk mengambil Pat Smear dari kumpulan The Germs untuk memasuki Nirvana.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, who the hell is Pat Smear? Pat Smear sebelum itu pernah menganggotai band The Germ, sebuah band punk legenda dari Los Angeles yang aktif sekitar tahun 1976 sehinggalah 1980. The Germs hanya menghasilkan sebuah album sahaja yang bertajuk (GI) diriliskan pada tahun 1979. Joan Jett merupakan penerbit untuk album berkenaan.

Antara penyebab utama karier The Germs berakhir sebagai sebuah band punk ialah kematian vokalis utamanya Darby Cash pada tahun 1980. Darby membunuh diri pada tahun berkenaan. Senasib dengan Kurt Cobain, bukan? Jika anda mengikuti perkembangan scene muzik punk rock di Los Angeles, anda pasti bersetuju dengan kenyataan bahawa persembahan The Germs juga sama agresif seperti Bad Brains ataupun Cro-Mags ketika di pentas.

Sebab itulah ketika Kurt Cobain mengumumkan bahaya Pat Smear akan turut sama berganding bahu bersama Nirvana, reaksi pertama Dave Grohl ialah "Is he still alive?" (boleh rujuk dokumentari "Back And Forth" sebuah biografi tentang Foo Fighters). Dave merasa tidak percaya bahawa anggota band tersebut masih hidup akibat betapa agresifnya band The Germs di atas mahupun di belakang pentas. Cuma tidaklah segila ataupun merapu macam GG Alin.

Akhirnya pada era kegemilangan album "In Utero", Kurt Cobain berjaya menghasilkan line-up yang diingininya dan mempunyai kredibiliti punk rock yang diidamkannya di mana Dave Grohl (yang pernah bermain drums untuk sebuah lagi band punk rock legend "Screams") dan Pat Smear telah menganggotai bandnya Nirvana. Kurt Cobain tidak pernah menganggap Nirvana sebagai sebuah band grunge walaupun sering dilabel demikian. Sejak zamannya menjadi roadie kepada The Melvins ketika usia remajanya, Kurt Cobain sering jatuh cinta dengan muzik punk rock.

Walaupun muzik Nirvana merupakan adunan pelbagai genre yang melibatkan punk rock, stoner, sludge, metal, doom, folk, alternative dan sebagainya, Kurt Cobain sentiasa diingati sebagai perintis kepada genre grunge sehinggalah ke hari ini. Jika kita tonton dokumentari "Pearl Jam Twenty : PJ 20" (2011) arahan Cameron Crowe, "Seattle Sound" (sebuah terma yang sesuai digantikan dengan grunge) merangkumi pelbagai genre, tidak kisah dari muziknya David Bowie sehinggalah ke Sex Pistols. Ianya adalah adunan kepada pelbagai jenis muzik yang under rated ketika itu.

Di minda mendiang Kurt Cobain, Nirvana adalah punk rock dalam erti kata yang lebih luas dan bukan termaktub pada elemen muzik sahaja. Ianya juga meliputi attitude serta lifestyle.

"Peace, love, empathy"



Thursday, March 18, 2021

ULASAN RINGKAS BUKU BIOGRAFI : HEAVIER THAN HEAVEN (2001)

BUKU BIOGRAFI HEAVIER THAN HEAVEN (2001)
Memandangkan 20 Februari yang lepas merupakan hari kelahiran hero grunge dan muzik alternative rock Kurt Donald Cobain, aku pun terpanggil untuk mengulas tentang beliau. Mungkin ramai juga yang sudah tahu, sebelum ini pun sudah banyak kali aku menulis tentang Nirvana dan juga frontman nya Kurt Cobain.
Namun kali ini, aku ingin bercerita tentang buku biografi rasmi Kurt Cobain yang berjudul "Heavier Than Heaven" hasil tulisan Charles R. Cross. Tajuk buku ini juga sebenarnya diambil daripada tagline yang digunakan di dalam flyer tour Nirvana dan band TAD semasa mereka di United Kingdom. Penulis buku ini iaitu Charles R. Cross juga merupakan seorang penulis biografi yang sering menulis tentang individu atau band di dalam dunia rock antarabangsa antaranya seperti Jimi Hendrix, Bruce Springsteen, Led Zeppelin dan banyak lagi.
Aku dapat buku ini pun melalui seorang rakan blogger. Terima kasih kepada individu tersebut sebab tolong belikan buku kepada aku. Harga aku beli dulu pun tidaklah mahal sangat. Tidak sampai pun RM30 rasanya sebab beli masa tengah diskaun.
Menariknya mengenai buku ini, ianya menceritakan tentang kehidupan Kurt Cobain secara terperinci bermula dia lahir sehinggalah ditemui mati bunuh diri di kediamannya di Seattle. Penulis buku ini menceritakan secara terperinci tentang kehidupan Kurt semasa kecil di pekan Aberdeen, dibesarkan di dalam keluarga yang retak, sering berpindah rumah dan tinggal di kediaman rakan-rakannya (kadang-kadang Kurt pernah tidur dan lepak di lobi hospital semata-mata hendak tengok TV), pengalamannya menulis lirik lagu di bawah jambatan Whiskah dan kemudian bagaimana dia menubuhkan Nirvana bersama Kris Novoselic.
Buku ini ternyata bukan dibuat secara semborono kerana penulis ini sendiri telah melakukan 400 lebih sesi interview bersama pelbagai individu, 4 tahun kajian dalam mengumpul maklumat serta mendapat akses barangan peribadi Kurt Cobain secara rasmi dari isteri mendiang iaitu Courtney Love.
Kalau terjumpa buku ini di mana-mana lokasi, adalah lebih baik kalian beli sahaja. Tidak rugi memilikinya. Lagipun benda macam ini sudah dikategorikan sebagai collector item, jika silap haribulan kebarangkalian ada seller yang jual dengan harga yang tidak masuk akal (jual mahal lah tu).
Pic credit : Google

Monday, November 13, 2017

Ulasan Ringkas Untuk Buku "A Street Cat Named Bob" (2012)

Muka Depan Untuk Buku "A Street Cat Named Bob"

Buku terbitan Hodder & Stoughton ini aku beli semasa jualan murah yang dianjurkan oleh sebuah kedai buku popular di tempat aku ni. Diskaun sebanyak 70 peratus dikenakan dan aku membelinya dengan harga mampu beli. Apa yang lebih menarik ialah ianya merupakan cetakan pertama dari penerbit tersebut.

Buku ini mengisahkan tentang seorang individu bernama James Bowen yang menjalani hidup gelandangan dan bagaimana beliau mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik setelah menemui seekor kucing. James Bowen yang dahulunya seorang penagih dadah, bertekad untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih positif dengan menjalani program yang diselenggarakan oleh beberapa badan kebajikan yang berkait rapat dalam proses pemulihan daripada ketagihan narkotik. Semasa dalam menjalani proses tersebut jugalah beliau bertemu dengan seekor kucing jalanan yang kemudiannya menjadi perangsang dan dorongan buat James untuk terus hidup.

Buku ini boleh dikategorikan sebagai autobiografi beliau kerana 80 peratus kisah di dalamnya adalah tentang perjalanan hidup James Bowen. Ianya merangkumi tentang kisah silam beliau yang dibesarkan di dalam keluarga bermasalah, zaman remaja yang memberontak, percubaan untuk menjadi pemuzik rock yang gagal dan akhirnya terjerumus ke kancah ketagihan dadah. Kucing yang bernama Bob ini hanyalah sebagai katalis buat beliau dalam membentuk jatidiri semasa dalam proses pemulihan.

Walaupun begitu, kekuatan sebenar dalam penceritaan ini adalah hubungan antara James serta kucingnya Bob. Mereka seakan-akan sukar untuk dipisahkan. Kemana sahaja James berkelana, di situ juga Bob akan mengekorinya. Buku ini juga menceritakan tentang pahit manis yang diharungi oleh kebanyakan gelandangan di tengah kotaraya London. Walaupun ada di antara kita tidak pernah ke sana, namun gaya penulisan yang diolah oleh James Bowen sedikit sebanyak membantu para pembaca membayangi dengan mudah tentang kesulitan hidup yang dihadapinya semasa bergelar gelandangan. 

Aku berharap suatu hari nanti buku ini akan diterjemahkan ke bahasa melayu. Penggunaan bahasa inggeris di dalam buku ini amat mudah difahami sebenarnya. Cuma aku rasakan ianya akan menjadi lebih elok jika ianya juga diterjemahkan ke bahasa ibunda kita bagi tujuan berkongsi pengalaman serta penyampaian mesej berbentuk positif. 

 "Everyone deserves a friend like Bob..."
   - James Bowen

A Street Cat Named Bob (Short Documentary)

Wednesday, October 11, 2017

Ulasan Ringkas Untuk Buku "Ribut Dari Timur" (Penerbitan Langit)

 Muka Depan

Entri ini sebenarnya ditulis pada 10 Ogos 2017

Ulasan Ringkas Untuk Buku "Ribut Dari Timur" (Penerbitan Langit) 

Pergh! Baru dapat buku "Ribut Dari Timur" karya Tuan Abdul Aziz Itar. Ternyata ianya adalah sebuah penulisan jurnal tentang kehidupan beliau yang telah lama bergelumang dalam scene muzik underground. Memang tidak dinafikan, kebanyakan band-band tempatan yang dinyatakan dalam buku ini hampir kesemuanya aku minat. Antaranya ialah Silent Death, Sil Khannaz, As Sahar, Nemesis, Punisher, The Pilgrims, Carburetor Dung etc.

Paling rare bagi aku ialah gambar sebuah band thrash metal dari Serian, Sarawak iaitu Cryptic Death dan ianya juga pernah muncul di dalam majalah Kerrang! pada tahun 1988. Tak lupa juga band-band yang senegeri seperti Kremation, Senseless dan banyak lagi. Gambar penulis bersama Uncle William dari Rupert Rage pun ada.

 Band "Cryptic Death" dari Serian, Sarawak


Uncle William (Rupert Rage) bersama penulis (paling kanan) serta rakan-rakan

Buku ini juga banyak menceritakan tentang scene underground yang merangkumi pelbagai genre muzik seperti metal, punk, grindcore, doom, alternative dan sebagainya. Boleh dikatakan ianya hampir lengkap dalan merakam pelbagai peristiwa serta maklumat-maklumat penting dalam pembentukan scene underground music dari dekad 80'an sehinggalah 90'an. Perasaan "kenangan lama mengusik jiwa" tu semestinya akan muncul jika membaca buku ini jika anda seorang peminat tegar muzik UG yang mengikuti perkembangan band-band yang aku sebut sebelum ni tadi. Terima kasih juga kepada tuan Othman EVP kerana sudi berurusniaga dalam mendapat buku ini. Berbaloi untuk dimiliki sebenarnya. 

 Senseless, Saxo, Dust Components dan Acid Death

Social Infection, Spermblast, Necrotic Chaos, Kremation, As Sahar & Extrovert

P/S : Gambar paling aku suka sekali ialah semasa penulis menemui pokok ajaib di Belanda. Wow! Betul-betul menenangkan. Haha. Jika erminat untuk dapatkan buku ini, silalah klik ke link INI.

Monday, September 25, 2017

Ulasan Santai Untuk Buku "Awekku Scammer" (2017)

Front Cover

Ulasan Santai : Awekku Scammer (2017)

Buku yang ditulis (hampir kesemuanya) oleh Rafi Harumin ini merupakan satu bahan bacaan yang menghidangkan nilai-nilai humor dengan gaya yang tersendiri. Ya, jika dilihat sekilas pandang, mungkin ianya kelihatan meniru buku-buku ala "copy-paste" kata-kata atau status dari media sosial seperti buku Fattah Amin mahupun Amran Fans. 

Namun ada sedikit kelainan kerana ianya ditulis oleh penulis ketika beliau berhadapan dengan pelbagai jenis scammer di alam internet. Penulis yang bertanggungjawab menghasilkan buku best-seller "Orang Kaunter" terbitan Studio Anai-Anai & Sindiket Sol-jah ini mengambil pendekatan yang lebih drastik dan penuh elemen parodi. Kejap-kejap si Rafi ni menyamar jadi orang Nigeria la, Uzbekistan la, jadi scammer pun ada. Haha. 

Buku ini memang santai untuk dibaca. Memang ianya menggunakan bahasa rojak dan kesalahan tatabahasa agak merata dan kadang-kadang terasa macam mengganggu. Tapi itulah kehidupan seharian kita yang sebenar. Typo dan susunan ayat yang berselerak adalah lumrah kehidupan yang harus kita terima seadanya. 

Oh ya, si Rafi ni sebenarnya seorang pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kalau ada pergi bercuti ke Kota Kinabalu, besar kemungkinan peratusan kebarangkalian untuk anda bertemu beliau di kaunter pemeriksaan passport adalah cerah. Jika anda berminat untuk membeli buku ini, boleh berurusan dengan pihak Studio Anai-Anai.

P/S: Teringat kisah aku kena scammed pada bulan lepas. Sungguh pahit sekali untuk dikenang huhu.

Rating? 4/5

Monday, September 18, 2017

Ulasan Buku "Metamorphosis" Serta Kritikan / Saranan Buat Thukul Cetak

 Rekaan kulit depan buku yang asal untuk "Metamorphosis" dalam bahasa Jerman (Sumber : Wikipedia)


Buku berjudul "Metamorfosis" karya Franz Kafka terbitan Thukul Cetak

Die Verwandlung a.k.a. The Metamorphosis (1915) hasil karya Franz Kafka.

Sepatutnya jika diteliti dan diamati penceritaan kisah ini, ianya amat menarik sekali kerana novek ini menggarap dengan baik sekali tentang beberapa isu berkaitan kemiskinan, kesempitan hidup, penyakit misteri serta kepincangan di dalam sesebuah keluarga akibat masalah kewangan. Ianya juga merupakan sebuah novel yang diceritakan dengan gaya surreal dan melangkaui zamannya.

Sinopsis buku ini cukup mudah sebenarnya. Ianya mengisahkan seorang penjual fabrik bernama Gregor Samsa yang pada suatu hari tidak dapat turun berkerja akibat daripada perubahan fizikal badannya di mana tiba-tiba berubah menjadi seperti seekor serangga. Keadaan ini menyebabkan Gregor hilang pekerjaan dan terpaksa hidup berkurung di dalam rumah. Ahli keluarganya berasa terbeban dengan situasi yang berlaku terhadap Gregor, ditambah pula dengan isu hutang yang dihadapi oleh kedua ibu bapanya. Akhirnya Gregor mati kelaparan akibat dikurung di dalam bilik oleh keluarganya. Pengakhiran cerita ini sebenarnya cukup sadis dan menyayat hati.

Namun oleh kerana aku membaca buku karya Franz Kafka ini dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Thukul Cetak, maka ada beberapa kekangan yang aku hadapi. Salah satunya ialah, aku kepeningan membaca tulisan dari buku kerana cara menterjemahnya agak berterabur dan mengelirukan. Baik dari segi susunan ayat serta tatabahasa, terlalu banyak kesilapan yang dilakukan.

Ini bukan kali pertama pihak Thukul Cetak membuat terjemahan terhadapa beberapa buku popular dunia. Sebelum ini ada juga mereka menterjemahkan buku karya Che Guevara dan Karl Marx. Masalah yang sama juga dihadapi. 

Aku rasa pihak Thukul Cetak kena banyak belajar lagi dalam ilmu menterjemahkan buku ke bahasa Melayu dengan lebih kemas dan elok. Mereka kena kemaskan lagi cara terjemahan dan kualiti seharusnya dijaga. Terlalu banyak kesilapan sebegini boleh menghilangkan mood pembaca untuk menghabiskan bacaan.

Video tentang Franz Kafka

Monday, August 28, 2017

Ulasan Santai Untuk "Catatan Tak Keruan" Edisi Zine

Catatan Tak Keruan Edisi Zine

Pitri Al-Fateh Zainon sebenarnya bukanlah nama baru dalam dunia sastera melayu moden. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan scene penulisan kreatif berbentuk indie (?). Pertama kali aku berkenalan dengan penulisan beliau ialah melalui buku "Aku, Pekan Kecil dan Skateboarding : Reloaded". Gaya penulisan agak bersahaja namun sering diselitkan dengan unsur kelakar. Bahan lawak yang diketengahkan pun agak relevan dengan zaman sekarang.

Oleh kerana sudah familiar dengan penulisan beliau, maka apabila saya membaca buku kedua karangan beliau yang bertajuk "Catatan Tak Keruan" (terbitan Marhaen Litera tahun 2016) momentumnya hampir sama cuma kali ini beliau sedikit kreatif dengan menggabungkan pelbagai kepandaian beliau (menulis sajak, sketsa, cerpan serta melukis doodle) dalam satu buku. Serius cakap, ianya memang seronok dibaca dan tak rugi kalau beli buku tu.

Kembali kepada ulasan zine ini tadi. Ianya boleh diibaratkan seperti satu kesinambungan untuk buku tadi. Sebenarnya aku dah berbulan-bulan lamanya selesai membaca zine ni, cuma baru sekarang ada sedikit kelapangan untuk membuat reviu.

Zine ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Sajak, S.E.A.A. (Skrip Entah Apa Apa) dan Catatan yang bertajuk "Tidak Ada Tajuk Hari Ini, Esok Juga Tidak Ada (tajuknya ada unsur parodi untuk buku puisi karya M Aan Mansyur).

Pada bahagian sajak, penulis membawa kita ke satu perspektif yang berbeza dan jarang diterokai. Teknik penulisan puisi beliau juga semakin bertambah baik. Paling aku suka ialah sajak yang bertajuk "Lelaki Suci". Kata-katanya membuatkan kita berfikir. 

Pada bahagian S.E.A.A. (Skrip Entah Apa-Apa) pula, kita dihidangkan pula dengan koleksi dialog berunsur humor. Dari sini kita dapatkan pastikan bahawa inilah kekuatan yang ada pada penulis iaitu pandai bermain dengan emosi pembaca. Kata-kata lucu yang dilontarkan memang akan membuatkan kita ketawa sorang-sorang apabila membacanya.

Terakhir sekali ialah bahagian catatan yang bertajuk "Tidak Ada Tajuk Hari Ini, Esok Juga Tidak Ada" (jenuh nak menulis tajuk panjang-panjang gini) beliau membuat satu penulisan ala travelog. Jalan ceritanya ringkas sahaja cuma cara penyampaiannya sungguh unik. Cemburu sedikit aku. Alangkah bagusnya kalau aku dapat menulis sehebat beliau. 

Aku tak tahulah kalau zine ini masih ada dalam stok. Korang bolehlah cuba tanya ka tuan empunya badan (klik di SINI). Apa-apapun zine ini memang aku rekomen korang baca. Santai dan masih lagi berseni.

Monday, August 21, 2017

Ulasan Santai Untuk Buku "Din, Manap dan Alien Dari Langit"

Buku "Din, Manap dan Alien Dari Langit" terbitan Kolektif Kidal

Catatan ini ditaip pada pukul 12.30 malam pada 18 Julai 2017 yang lepas

Malam ni tidur aku terganggu dek kerana nafsu yang membuak-buak untuk menghabiskan bacaan novel sulong karya editor zine HVTAM ni iaitu saudara Encik Jep. Buku yang mempunyai 100 mukasurat serta 40 bab ini sememangnya kena dengan jiwa seorang pria yang rebel (rebel celah mana pun aku tak tahu, berangan saja lebih) seperti aku ni. Gila kau, syok betul baca novel ni walaupun jalan ceritanya ringkas sahaja akan tetapi mesej yang ingin diutarakan adalah amat positif dan sesuai buat semua lapisan masyarakat. Impak yang diberikan juga kena dengan situasi semasa.

Buku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seharian 2 orang rakan karib iaitu Din Solo dan Manap (kemudiannya disertai oleh seorang lagi rakan mereka iaitu Bong) dalam perspektif anak punk yang melawan terhadap pelbagai sistem berorientasikan ketidakadilan. Dalam buku ini juga ada menyebut tentang misi mereka untuk membentuk satu 'revolusi' tetapi tidak dinyatakan secara terperinci dan dibiarkan tergantung. Mungkin taktik si penulis memang begitu. Suka buat plot yang ringkas jadi senggama minda. Haha.

Penggunaan bahasa pasar serta loghat Perak di dalam buku ini juga kena dengan tempatnya. Layan jugak aku baca dialog-dialog yang penuh dengan loghat sebegini. Sekurang-kurangnya bagi budak borneo macam aku, ini adalah benda baru yang seronok untuk dipelajari.

Sebagaimana aku enjoy membaca setiap isu zine HVTAM yang diriliskan secara mandiri oleh Encik Jep, begitulah juga semangat keterujaan yang timbul semasa aku menelaah buku ini. Diharap di masa hadapan, akan ada lagi novel fiksi sehebat begini dihasilkan oleh tuan empunya badan. 

P/S : Kalau Mamat Khalid baca buku ni, nescaya dia pasti akan adaptasikan ke dalam bentuk filem. Paling tidak pun jadi telemovie dan masuk ke dalam Astro First. Fuhh, kapitalis sungguh.


Wednesday, January 18, 2017

Ulasan Ringkas : Zine Catatan Pinggiran

Tahun 2016 yang lalu seakan memberi satu sinar baru buat penggiat zine tempatan. Semakin banyak acara zine fest dibuat mengikut negeri masing-masing dan fenomena ini secara tidak langsung memupuk semangat beberapa penulis muda untuk menceburi dunia penulisan zine.



Kini dapat dilihat bahawa penghasilan zine tidak lagi terfokus hanya untuk yang bergenre muzik sahaja. Terdapat juga yang berbentuk puisi, ulasan filem, koleksi cerpen atau anekdot dan personal zine.

Catatan Pinggiran ini merupakan sebuah makalah yang berbentuk personal zine. Ianya merupakan sebuah koleksi tulisan ringkas serta beberapa sajak hasil karya saudara Jazli Safwan. Beliau merupakan anak jati Langkawi yang sebelum ini pernah menubuhkan bersama rakannya sebuah syarikat yang memperjuangkan bahan bacaan dalam tulisan Jawi iaitu Klasika Media.

Catatan Pinggiran ini sebenarnya agak santai untuk dibaca. Anda tidak perlu menjadi terlalu berseni untuk rasa terhibur semasa membacanya. Kebanyakan catatan yang ditulis ini pun berkisar mengenai kehidupan seharian. Atas faktor ini juga menyebabkan zine ini terasa dekat di hati apabila menelaahnya.

Ada juga beberapa catatan beliau yang diselit unsur humor dan kena dengan keadaan tertentu. Sebagai contoh catatan beliau yang bertajuk "Dewasa bahagian 1 dan 2" serta "Mapley", dia punya rempah humornya memang menjadi. Punchline dia sampai dan ini membuatkan sesiapa yang membacanya tersengih sendirian.

Bahagian sajak pula, kebanyakannya mendatar dan kurang berkias. Mendatar tidak semestinya bermakna tidak bagus. Ianya ada keunikannya sendiri. Sajak-sajak begini juga agak senang untuk difahami jika anda jenis malas membaca karya-karya sastera yang agak berat. Kesederhanaan pada sajak-sajak tersebut juga secara tidak langsung menjadi daya penarik untuk zine ini. 

Kepada penulisnya Tuan Jazli Safwan, diharap akan dapat menghasilkan lebih banyak zine sebegini. Zine Catatan Pinggiran ini boleh didapati melalui Hangtera Production.

Hang memang tera!

Wednesday, January 11, 2017

Ulasan ringkas : Zine Sirr



Membaca zine ini sebenarnya bukan sesuatu yang mudah, pada pandangan peribadi aku. Isi kandungannya sarat dengan sajak serta prosa yang membawa pembacanya ke satu pengembaraan berbentuk kerohanian namun dalam masa yang sama tersadur unsur-unsur mistik serta kiasan yang diiringi pelbagai emosi.

Pada bahagian awal zine yang dihiasi dengan penulisan Elham Rebel, ianya dipenuhi dengan prosa yang mempunya naratifnya tersendiri. Watak Nadia sering dilihat di mana-mana dan kehadiran entiti ini menjadi daya penarik untuk para pembaca menyelami dengan lebih lanjut setiap kata-kata yang tertulis.

Pada bahagian kedua pula, kata-kata yang dihasilkan oleh Api Husien muncul dengan karektornya yang tersendiri. Boleh dikatakan kedua-dua penulis menghidangkan hasil yang berbeza-beza. Ianya diibaratkan seperti ada pertandingan memasak di antara dua mahaguru dalam bidang kulinari. Puisi yang dicipta oleh Api Husein juga ada keistimewaannya. Beliau juga ada menghasilkan prosa yang berbentuk naratif yang berjudul "Mencarimu" di mana ianya terdiri daripada 9 bahagian. Namun isi kandungannya masih lagi berlegar di ruang yang sama iaitu pencarian kedamaian dalam diri. 

Sebenarnya aku bukanlah arif sangat dalam menilai karya orang lain. Namun bagi zine ini, ianya membuat aku terpanggil untuk berkongsi apa yang aku faham mengenainya kepada bakal pembaca yang lain. Keunikannya akan mudah difahami jika kita mempunyai perasaan keterbukaan untuk menerima puisi yang eksentrik begini. 

Anda boleh dapatkan zine ini melalui page facebook La Lectrice Borneo.

Monday, December 26, 2016

Ulasan Ringkas : Zine "Kontradiksi Puduraya : Catatan Peribadi & Kawan-Kawan"

Zine "Kontradiksi Puduraya : Catatan Peribadi & Kawan-Kawan"

Puduraya. Mungkin bagi remaja yang hidup di dalam dekad ini tidak mengerti tentang keistimewaan yang ada pada Puduraya. Ya, memang benar. Dahulu ianya cuma sebuah terminal bas ekspres yang perjalanannya merangkumi kawasan utara sehingga selatan Semenanjung Malaysia. Disamping itu juga ianya menghimpun deretan kedai bundle serta warung makan yang rata-rata pengusahanya "gengster" belaka. Tidak dilupakan beberapa lokasi di dalamnya yang berwajah suram, gelap dan panas terutama sekali tangga-tangga yang menghubung ke kawasan bas ekspres di tingkat bawah.

Zine yang hanya setebal 20 muka surat ini sebenarnya padat dengan isi yang berkait rapat dengan Puduraya. Melalui penelitian aku, zine ini lebih berbentuk memoir iaitu penulisan yang mengenang kembali kenangan silam si penulis. Karya-karya sebeginilah yang berjaya membuat pembacanya menghadapi momen-momen KLMJ (kenangan lama mengusik jiwa) baik yang pahit untuk ditelan mahupun manis-manis sahaja.

Menambahkan seri zine ini ialah dengan adanya beberapa catatan peribadi yang ditulis oleh rakan-rakan editor. Pengalaman yang pelbagai ini menambahkan lagi perisa serta rasa minat kita untuk menghabiskan bacaan zine ini. Bahagian yang paling aku suka baca ialah apabila ada di antara mereka yang mengaitkan pengalaman mereka berada di Puduraya dengan scene music underground. Sesuatu yang sudah jarang diperkatakan oleh remaja zaman sekarang. 

Those were the days...

Aku rasa ramai di antara kalian pernah pergi ke Puduraya sebelum ini, sebelum ianya menjalani penjenamaan semula kepada Pudu Sentral. Jika ada masa dan kelapangan, silalah kongsikan pengalaman anda dengan meninggalkan sebarang komen di bawah entri ini. Peace!

Monday, December 12, 2016

Ulasan Zine : Eksploitasi Sunyi (2016)

Eksploitasi Sunyi

Sunyi. Rasa sunyi itu sebenarnya amat subjektif untuk dihujahkan, terutama sekali apabila ianya melibatkan individu yang berbeza. Ternyata keadaan dan perasaan sunyi itu hanya mampu difaham maknanya mengikut pemahaman masing-masing.

Namun apa yang Asraf Mohamad serta Najiha Amran ini mampu lakukan ialah mengabadikan rasa sunyi ke dalam bentuk yang lebih artistik iaitu melalui puisi. Ya, memang benar. Mereka bukanlah orang yang pertama menghasilkan puisi-puisi sebegini. Namun apa yang menjadi daya penarik untuk zine ini ialah kaedah serta olahan bahasa yang digunakan oleh mereka berdua dalam menghasilkan kerja seni sebegini amatlah lain sekali.

Zine puisi yang dihasilkan oleh 2 anak muda ini punyai keunikannya tersendiri. Ditulis dengan gaya kontemporari serta penggunaan bahasa yang mudah. Faktor ini jugalah yang menyebabkan zine ini mudah diterima oleh pembaca kebanyakan. Walaupun kesemua sajak yang ditulis sangat hampir dengan perasaan melankoli, namun ianya juga tidak lari dari tema yang seiring dengan arus perdana contohnya penggunaan beberapa ayat dalam bahasa inggeris dalam sajak-sajak mereka. 

Setiap hidangan puisi masing-masing akan dimulakan dengan prakata oleh mereka. Kata-kata awalan mereka agak "down to earth" dan seiring dengan gaya pemikiran anak muda sekarang. Jelas sekali, walaupun mereka berdua masih baru dalam dunia penulisan puisi namun bakat mereka seharusnya diberi pujian. Jika mereka diberi lebih ruang untuk berkarya, saya jamin mereka boleh pergi jauh. 

Kepada yang berminat, cubalah rasai koleksi puisi mereka berdua melalui zine ini. Nescaya ianya tidak akan menghampakan anda.

Boleh hubungi page facebook Bisak Palak untuk dapatkan zine ini!

Monday, November 14, 2016

Ulasan Buku : Mansau Ansau (2016 Terbitan Kolektif Kidal & Karyaraya Publishing)

Buku "Mansau Ansau" manakala di belakang tu pula zine Bangkit! edisi 2.5

Pertama kali aku tahu tentang kewujudan seorang punk rocker bernama Benny Pangazou ni semasa aku beli cd demo band Penguasa Anjing (band lama Benny) sekitar tahun 2011 kalau tak silap. Aku suka sangat dengan pembawaan muzik dari band Benny ni pada masa itu. Kemudian aku cuba berhubung dengannya melalui facebook dan menyatakan keinginan aku untuk membeli beberapa rilisan lain dari Penguasa Anjing. Mudah berurusan dengan beliau ni sebenarnya. Perkhidmatan bagus dan sama macam beli barang dari laman sesawang mudah.my juga. 

Beberapa tahun kemudian, Benny menubuhkan sebuah band punk yang ala-ala Marjinal pula. Band yang aku maksudkan ialah Con-Damn The Corruptor. Boleh tahan juga sound dari band ni. Apa yang menarik pasal band CTC ni (singkatan untuk Con-Damn The Corruptor) ialah struktur lagu-lagu yang mereka dendangkan, yang ini kalian kena rujuk pada CD album pertama mereka. Elemen muzik tradisional Sabah ternyata merupakan salah satu daya penarik bagi band ini. Ditambah pula dengan ketukan Djembe yang kalau sekali dengar macam kau tengah mengamati album "Roots" daripada Sepultura

Ok, sudah-sudahlah bercerita pasal muzik. Jom kita berbalik pula mengenai ulasan buku ini. Buku setebal 150 mukasurat ini merupakan sebuah lagi produk yang diterbitkan oleh Kolektif Kidal serta Karyaraya Publishing. Sebenarnya, Benny juga tidak asing dalam dunia penulisan underground. Beliau juga sebelum ini pernah menghasilkan zine yang berjudul Choosing Path

Buku yang lebih ke arah penulisan dalam bentuk travelog ini menceritakan pengalaman si penulis serta kugirannya mengikuti sesi jelajah gig di semenanjung Malaysia bermula dari Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur (venue di Rumah Api) dan diakhiri di Johor Bharu. Perasaan semasa membaca buku ini hampir sama seperti kau mengamati karya-karya travelog punk rock yang lain contohnya Pengembaran Tanah Jepun (Azaruddin Paiman) serta Aksi Reaksi (Nizang). 

Benny selaku narrator dalam buku ini, menulis dengan bagus sekali apabila melibatkan dalam hal menggambarkan sesebuah persekitaran yang dialaminya pada sesuatu ketika. Sebagai contoh yang ada dalam buku ini, di mana Benny menggambarkan keadaan di dalam Rumah Api (venue gig mereka di KL) yang diterangkan serta diperjelaskan oleh beliau secara terperinci sekali semasa gig sedang berlangsung. Kalau brader ni kerja dengan CSI, memang sesuai sekali. Aku paling suka baca bahagian Benny melalut bercerita tentang hal-hal yang tidak melibatkan tournya ketika itu seperti ketidakadilan sistem yang diamalkan oleh negara kita, cerita pasal kucing kesayangannya dan banyak lagi. 

Dalam masa yang sama, Benny juga ada menceritakan tentang beberapa band hardcore punk tempatan yang lain seperti Weotskam, Dum Dum Tak dan banyak lagi. Tapi band yang sering disebut di dalam buku ini ialah Hellexist dan Bakteria. Mungkin disebabkan kedua-dua bandn ini turut sama ikut jelajah bersama CTC. Buku ini juga ada menceritakan serba sedikit tentang hal ehwal yang berkaitan dengan scene muzik punk di negara ini. 

Buku ini amat berbaloi untuk dibuat koleksi. Walaupun Benny asyik bagitau yang ini merupakan buku tulisannya yang pertama, tapi bagi aku beliau ni dah hampir pro dalam bidang penulisan mengikut pengkhususannya. Teruskan berkarya, Benny.

Jika anda berminat untuk mendapatkan buku ini, sila klik di SINI

Monday, May 16, 2016

War-War Untuk Buku "Surat-surat Cinta Yang Tak Terkesampaikan Lagi"

 Puji Tuhan (kalau gua guna ayat gini, agak-agak akan kena kecam tak?) kerana ada satu karya gua terpilih dalam projek mengumpul "Surat-surat Cinta Yang Tak Terkesampaikan Lagi" kelolaan Sindiket Sol-Jah. Terima kasih yang tak terhingga buat Abang Jimi Mahmud. Serius. Gua hanya mampu melakar senyuman sampai ke telinga.

 Jika ada duit lebih, sudi-sudilah belanjakan untuk membeli buku yang comel ini.

 Anda boleh dapatkan naskah ini daripada Mohzan OP-Zaharin​.

 Ikhlas dari saya,

 Pemandu jentolak yang bertanggungjawab menggondolkan Gunung Patah Belakang



Monday, May 9, 2016

Membedah Buku "Aku" (Karya Sjuman Djaya)

Buku "Aku" Keluaran DuBook Press

Sejujurnya aku mengetahui mengenai buku ini pun melalui filem "Ada Apa Dengan Cinta" yang pernah menjadi satu fenomena dalam industri hiburan suatu ketika dahulu. Saat watak Cinta (lakonan Dian Sastrowadoryo) menemukan buku ini terjatuh di lantai koridor sekolah yang asalnya dimiliki oleh Rangga (Nicholas Saputra) lalu membacanya dengan tekun, di masa itu jugalah aku merasakan ada yang istimewa mengenai buku ini.

 Sebelum kita mendalami lebih lanjut, terdahulu haruslah kita ketahui apa isi kandungan buku ini. Sebenarnya ia adalah satu naskah berbentuk skrip untuk filem autobiografi tentang seorang penyajak Indonesia terkenal yang bernama Chairil Anwar. Senario yang diceritakan pada setiap bahagian di dalam buku persis seolah-olah kita menonton satu filem dalam bentuk fizikal. Naratifnya hampir terperinci dan ini membuatkan kebanyakan yang membacanya sangat teruja.

 Penulis buku ini iaitu Sjuman Djaya juga merupakan seorang peminat setia penyair ini. Sjuman Djaya juga dahulunya aktif menghasilkan karya filem serta teater yang berbentuk kesenian pada dekad 70'an serta awal 80'an. Namun hasratnya untuk merealisasikan karya nya ini menjadi sebuah filem tidak kesampaian. Atas sebab apa, aku kurang pasti.

 Apa-apa pun selayaknya karya ini biarlah kekal menjadi satu bahan bacaan sahaja, pada pendapat aku. Kerana sudah terbukti sebelum ini di mana kebanyakan karya filem yang diadaptasi dari novel-novel tidak semuanya berjaya. Mungkin agak sukar kerana kebanyakan peminat menginginkan agar jalan penceritaannya sama seperti novel. Namun kreativiti seseorang pengarah memang sukar diramal, tambahan pula jika ia melibatkan kos penghasilan yang minima. Faktor ini juga memaksa untuk si sutradara melakukan rombakan pada naratif filem tersebut. Kita kena faham lah dengan situasi si pengarah dalam hal ini.

 Berbalik tentang buku ini, pembaca Malaysia harus bersabar dengan gaya penulisan Sjuman Djaya kerana banyak terma-terma bahasa Indonesia yang digunakan agak asing pada kita. Namun jangan khuatir, kamus kan ada. Bagi aku, perbezaan dari segi bahasa cuma sedikit. Kalian masih mampu memahami isi kandungannya dan percayalah bila aku katakan, buku ini pasti akan membawa kalian ke era Indonesia di masa rakyatnya menuntut kemerdekaan daripada penjajah Belanda suatu ketika dahulu. Senario peperangan ini jugalah yang menjadi penarik istimewa dari buku ini selain daripada isu konflik kehidupan yang dialami oleh Chairil Anwar pada ketika itu.

 Secara peribadi aku katakan, buku ini antara naskah yang harus dibaca sebelum mati (selain daripada beberapa buku-buku agama dan selainnya). Mungkin agak keterlaluan bila aku katakan yang kisah hidup Chairil Anwar ini mirip dengan apa yang dialami oleh Kurt Cobain. Sama-sama menjalani hidup serba melarat namun berjaya menghasilkan karya-karya agung yang mudah diingati sampai bila-bila. Itu hakikatnya, karya yang dihasilkan anak seni adakalanya nampak cantik pada pandangan manusia lain, namun hidupnya tidaklah seindah yang digambarkan.

 Hidup mereka menentang arus, dan disebabkan ini jugalah karya-karya yang terbentuk oleh sikap rebel mudah menjadi khazanah sepanjang zaman dan artifek malar segar.

Butterfingers - 1000 Tahun

Monday, April 18, 2016

Ulasan Kontot Untuk Buku "Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanmu?"

Setelah selesai berjogging, aku terus sambung baca buku ini...

Selesai membaca buku kumpulan puisi karya Allahyarham Rahimidin Zahari bertajuk "Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanmu?" (panjang gila tajuk buku ni kan?) sambil ditemani alunan bayu laut, desiran air di pantai dan mentari jingga di kala petang yang damai. 

Sebuah karya dari seorang insan biasa tetapi berbakat luarbiasa. Pada luarannya, mungkin buku ini mempunyai tajuk yang panjang berjela. Namun editor buku ini, Tuan Sinaganaga ada sebabnya tersendiri kenapa ia bersifat begitu. Dan sebab itu ada dijelaskan di dalam buku kecil ini. 

Sedikit maklumat tentang Rahimidin Zahari, beliau merupakan bekas pengurus Panggung Istana Budaya dan juga merupakan seorang penyair tersohor dalam dunia sastera Melayu kontemporari. Beliau telah menghasilkan 11 buku antologi puisi yang telah diterjemahkan ke dalam Inggeris, Rusia, Portugis, Arab, Korea dan Thailand. Beliau telah meninggal dunia pada tahun lepas (2015) akibat pendarahan dalam otak.

Bagi saya, kebanyakan sajak-sajak arwah Rahimidin mempunyai makna yang dekat di hati oleh golongan orang kebanyakan macam saya, awak, dia dan mereka. Seolah-olah riwayat hidupnya diceritakan dalam sajak-sajaknya lantas menuntut jiwa pembacanya mengenali arwah dalam bentuk rohani, kalau dalam bahasa orang putihnya, inner-self la. 

Buku ini bagi saya wajib dibaca bagi yang memiliki cinta di hati, tidak kira apa bangsa, dari agama mana juga anda sekalipun. Tahniah kepada Sindiket Sol-Jah kerana telah menghasilkan buku instant classic ini.

Monday, April 4, 2016

Reviu Kontot : Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen



Reviu Kontot : Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen

Jika dilihat dari segi zahirnya buku, ianya tidaklah menjanjikan apa-apa sifat keterujaan. Namun, jangan cepat menilai sesuatu hanya berdasarkan kulit yang kurang kacak. Buku ini walaupun hanya mempunyai mukasurat yang tidak sampai helaian ke 100, namun isinya seolah melawan arus serta di luar dari kotak pemikiran manusia urban lagi cliche itu.

Penceritaan pada setiap cerpen di dalam buku ini amat menarik kerana diolah dalan bentuk noir serta ada penambahan elemen satira, angker (rujuk cerita "Malaikat Dalam Botol"), kritikan sosial dan bermacam-macam lagi yang aku rasa baik kalian baca sendiri untuk mengamatinya.

Buku ini sebenarnya penuh dengan pengisian yang mudah hadam walaupun kebanyakan ceritanya mempunyai naratif yang bersimpang siur seolah-olah tanpa tujuan. Namun itulah kehebatan si penulis. Benda merepek sebeginilah yang menjadi bahan humor bagi kebanyakan belia Malaysia yang berjantina lelaki khususnya. Tak, gua tak tipu. Kebanyakan lawak stoner dalam buku ni rasanya mudah difahami oleh orang lelaki yang pernah menyusuri zaman-zaman nakal. Serius, ianya betul-betul berupaya menggeletek hati anda.

Aku harap Lang Rahman akan menghasilkan buku yang terbaik sebegini (ataupun lebih bagus lagi) di masa akan datang. Akhirulkalam, bacalah buku ini sambil melayan lagu-lagu reggae dari Peter Tosh. Jangan lupa letak hashtag #hembosss

Monday, March 7, 2016

Reviu Buku : Catatan Tak Keruan (Marhaen Litera)

Catatan Tak Keruan

Sebuah lagi keluaran label indie Marhaen Litera yang diterajui oleh penulis buku ini sendiri iaitu Pitri Al Fateh Zainon. Buku ini sebenarnya merupakan koleksi catatan sajak, anekdot serta cerpen beliau. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku membaca penulisan beliau. Kali pertama aku membaca karya beliau adalah dari buku "Aku, Pekan Kecil dan Skateboarding" keluaran rumah produksi yang sama. Memandangkan aku juga seorang pemain papan luncur (yang sudah pencen sekarang) maka secara otomatik aku menelaah buku tersebut dan mulai saat itulah aku mula familiar dengan gaya penulisan beliau.

Berbalik kepada buku Catatan Tak Keruan tadi, ianya berbentuk kolektif coretan penulis yang sebahagiannya pernah dilampiaskan di laman sosial facebook dan ada juga di antaranya baru pertama kali dibaca oleh aku. Walaupun penulisnya beranggapan bahawa catatannya ini seperti satu karya terjun gaung (sekadar re-quote), namun secara peribadi ianya penuh dengan gaya penulisan beremosi yang pelbagai. Deria humor penulis merupakan tarikan utama dalam buku ini. Jenaka satirikal yang jelas tidak diajukan kepada mana-mana yang spesifik malah amat sesuai untuk dijadikan bacaan para belia atas dasar penggunaan terma-terma terkini yang berbentuk santai serta bersahaja.

Pada bahagian awal buku ini yang sarat dengan perbentangan koleksi sajak beliau, rasanya seperti membawa jiwa anda meneroka sesuatu yang pernah hinggap di dalan diri. Sesuatu yang sukar digambarkan. Dengan penggunaan bahasa yang tidak terlampau kesasteraan, ianya mudah dihadam dan seronok untuk dibaca.

Pada bahagian cerpen pula ianya banyak dihiasi dengan pelbagai tema. Ada yang berbentuk humor, horror malahan drama berat juga tidak berkecuali. Ada satu cerpen yang rasanya dekat di hati aku, tajuknya "Zulmat". Haha...seakan Deja Vu. Penggunaan sebahagian lirik lagu "Bohemian Rhapsody" sebagai intisari penting dalam karya ini membuatkan ia lebih bermakna dan jelasnya relevan pada keseluruhan plot penceritaan.

Aku suka bahagian bonus di beberapa mukasurat belakang buku ini di mana penulis juga mempunyai bakat dalam lukisan kartun. Boleh tahan juga. Kalau digilap dan dibuat secara teratur susunan strip komik ini, rasanya boleh buat macam graphic novel. Seperti yang selalu dibuat oleh penulis di Barat.

Dapatkan buku Catatan Tak Keruan ini melalui distro Marhaen Litera​ atau hubungi terus dengan penulisnya Tuan Pitri Al-Fateh Zainon​.


Sokonglah industri penulisan independen negara kita (macam poyo jer slogan ni)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...