Showing posts with label extreme music. Show all posts
Showing posts with label extreme music. Show all posts

Thursday, June 2, 2022

KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

 KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

Segalanya bermula di satu sesi bual bicara bertajuk "Band Aid" yang dianjurkan oleh Iman Tang (pengasas label Clockwork Records) dan juga Edy J Herwan (pengasas band ska Gerhana Skacinta) melalui aplikasi Instagram. Tetamu mereka pada ketika itu ialah, tak lain dan tak bukan, Fathullah (vokalis asal Infectious Maggots). Melalui sesi bualbicara tersebut, Iman Tang dan Edy sering menanyakan tentang hal-hal yang berkait rapat dengan dunia seni Fathul yang melibatkan seni lukisan. Kadang-kala diajukan juga tentang sejarah penglibatan beliau dengan Infectious Maggots.
Ada satu ketika semasa bualbicara tersebut belangsung, mereka bertiga rendezvous tentang zaman kegemilangan muzik underground di Central Market semasa awal dekad 90'an dahulu. Sampai ada satu saat Iman Tang hampir mengalirkan air mata mengenang zaman tersebut. Aku pun turut tersentuh dengan perbualan mereka.
Pada pengakhiran sesi bualbicara tersebut, Iman Tang serta Edy J menyatakan hasrat kepada Fathul serta rakan-rakan Infectious Maggots yang lain untuk membuat reissue bagi album pertama mereka. Mereka bukan cakap kosong, Edy J benar-benar berusaha merialisasikan impian tersebut sehinggakan master tape asal semasa sesi rakaman pun dia mampu dapatkan.
Album "Deep Within Our Grief Factory Milk Runs Red" pada asalnya diriliskan melalui label Sonic Asylum Records pada tahun 1993. Album ini sangat diingati peminat irama keras dan ekstrim kerana ianya merupakan antara karya terawal muzik industrial di Malaysia. Mungkin agak keterlaluan untuk dilabel sedemikian rupa, namun ramai yang mengatakan bahawa Infectious Maggots adalah Godflesh versi Malaysia. Iman Tang sendiri pernah menyuruh Ahmad Dhani (kepala utama band popular dari Indonesia iaitu Dewa 19) mendengar kaset band ini dahulu. Ahmad Dhani seakan tidak percaya yang Malaysia pernah menghasilkan karya industrial sehebat ini.
Dengan adanya edisi reissue ini, ianya dapat mengubat kerinduan peminat-peminat mereka sekaligus memberi ruang kepada pendengar baru dari generasi milenial untuk menggali serta merasakan sendiri muzik Infectious Maggots. Aku berpeluang beraksi di gig yang sama dan berkongsi pentas dengan band legenda ini sebanyak 2 kali. Kali pertama ialah semasa aku menjadi session bassist untuk Larrong di gig Final Warfare 2017 yang bertempat di Seremban. Pertama kali aku tengok mereka beraksi, berbunga-bunga rasa hati dibuatnya. Yelah, bayangkan aku sejak dari zaman remaja lagi dan dengar dan mengenali band ni. Mendapat peluang melihat mereka beraksi depan mata itu sudah dikira bagaikan mimpi jadi kenyataan.
Kali kedua pula apabila Infectious Maggots dijemput ke Miri bagi menjayakan gig Miri Extreme 3.0 dan ianya merupakan satu peristiwa bersejarah kerana buat pertama kalinya Infectious Maggots beraksi di tanah Sarawak. Dari situ jugalah aku kenal dengan lebih rapat setiap line-up mereka, dari Lan Bye, Lan Bear, abang P.E., brader Kombat selaku bassist dan Madec di posisi vokal. Aku merasa bersyukur sangat sebab band aku Tahi Suci dapat berkongsi pentas dengan kugiran lagenda ini.
Sekian sahaja celoteh aku mengenai band kegemaran aku sejak dari bangku sekolah lagi, the mighty Infectious Maggots. Harap lepas ni, Edy J Records akan keluarkan versi piring hitam untuk album ini. Maaf jika ada sebarang kata-kata aku yang kurang elok atau tersalah fakta. Harap kalian dapat perbetulkan aku.
"BE PURE, TO THE THING, YOU ADORE"




Monday, November 22, 2021

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

Pada 23 September 2021, brader Roslan menghadiahkan beberapa kaset dari zaman silamnya. Ianya merupakan beberapa kaset genre black metal hasil daripada beli atau trade melalui interaksi dengan beberapa distro tempatan pada lewat 90'an dan awal tahun 2000 dahulu. Katanya, hobi membeli kaset black metal seperti ini juga diamalkan oleh seorang sahabatnya iaitu Alim. Mereka berdua pernah menubuhkan sebuah band black metal sekitar pertengahan dekad 90'an yang dikenalk dengan nama "Meragen". Pembelian kaset-kaset bermula dari membaca beberapa fanzine genre metal di waktu tersebut di mana terdapat beberapa distro membuat senarai kaset dari luar negara untuk diniagakan kepada para pembaca.
Antara kaset tersebut ialah band Pest (black metal dari Finland), Jääportit (juga band black metal dari Finland akan tetapi dari cover artwork ni aku dapat rasakan ianya ke arah atmospheric), Jackal's Truth (black metal dari Greece, dari gambar band pun dah ala Rotting Christ) dan juga Lathebra (black metal dari Italy, yang ini sebijik macam Mayhem dengan corpse paint dan entah apa-apa lagi). Kondisi masih elok dan tidak berkulat. Menakjubkan sebab walaupun sudah berusia 20 tahun, kaset ini masih nampak elok dan boleh dimainkan.
Selepas menerima kaset-kaset ini tadi, terasa nak study pasal band-band ini dan cuba merujuk pada beberapa koleksi zine lama-lama aku. Manalah tau terserempak nama band ni kat dalam zine. Kalau guna Google pun ok gak, cuma itulah kadang-kadang info pun tak banyak mana sebab rilisan ini boleh dikira agak obscure dan susah nak cari sekarang.
Kita mulakan dengan band "Jackal's Truth" dengan demo nya yang bertajuk "Dominus Silvae" (1997). Band ini membawakan genre epic / melodic black metal. Ianya dianggotai oleh Kostas (vokalis, gitar), Zacharias (gitar), George (bass), George A. (drums) dan dibantu oleh pemain keyboard selaku sesionist iaitu Grigoris. Kaset demo ini hanya mempunyai 3 buah lagu sahaja iaitu "Opening...The Veil Of Wisdom", "Jackal's Truth (Part 1 & 2)" dan "The Nameless City". Demo ini banyak menghasilkan bunyian keyboard yang mengasyikkan dan melodi gitar yang menarik. Ianya seperti mendengar album "Triarchy Of The Lost Lovers" (1996) dari band Rotting Christ. Band yang berasal dari Greece ini mula aktif pada tahun 1996 dan telah pun berpecah. Tidak dinyatakan pula dalam website Encyclopedia Metallum bila tahun sebenar band ini berpecah. Band ini sempat menghasilkan sebuah demo dan menyertai projek album kompilasi.
Kemudian kita teruskan dengan ulasan kaset dari band Lathebra dengan kaset demo mereka yang berjudul "Angel's Twilight Odes" (1997) yang diriliskan oleh label Noctilucae Creationes. Band yang membawakan genre melodic black metal ini mula ditubuhkan pada tahun 1996 dan dibubarkan pada akhir dekad 90'an. Kaset demo "Angel's Twilight Odes" ini merupakan satu-satunya rilisan mereka. Dianggotai oleh Francesco Palumbo (bass), Rosario Memoli (drums), Bruno Villani (gitar), Francesco Galano (gitar) dan G. Principe C. (vokalis), band ini mempunyai sound yang hampir sama dengan As Sahar melalui album "Meditasi Embun Pagi". Kaset demo ini mempunyai 5 buah lagu dan mempunyai kekuatan melodi yang sangat bagus. Ternyata pembubaran band dari Italy ini sangat merugikan buat scene muzik gelap di sana.
Selepas itu kita beralih kepada kaset seterusnya iaitu dari band "Pest" dengan demo mereka "Hail The Black Imperial Hornsign" (1998). Band ini berasal dari negara Finland ini mula aktif pada tahun 1997 dan dibubarkan pada 1999. Band ini sempat menghasilkan 2 demo, 2 single dan sebuah 4-way-split album bersama band Clandestine Blaze, Bloodhammer dan Nightside pada tahun 1999. Dianggotai oleh Nazgul (vokalis, pemain keyboard), Skratt (bass), Nigrantium (drums) dan Iskariot (gitar), band ini membawakan genre black metal secara straight forward dan dipengaruhi dengan band-band black metal tersohor seperti Mayhem, Burzum, Immortal dan banyak lagi.
Terakhir sekali, aku akan ulas kaset dari Jääportit dengan album pertamanya yang bertajuk "Kauan Koskematon". Jääportit merupakan sebuah one-man project band yang diasaskan oleh Tuomas M. Mäkelä. Band dari Finland ini mula aktif sejak 1997 dan masih lagi bertahan sehingga sekarang. Aku rasa antara keempat kaset yang aku buat ulasan sekarang, hanya Jääportit sahaja yang masih lagi aktif berbanding lain. "Kauan Koskematon" merupakan album pertama dan diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Noitavasara. Ianya mempunyai 8 buah lagu. Lagu-lagu dari Jääportit banyak dipengaruhi oleh band atau artis seperti Mortiis, Burzum, Arcana dan Dead Can Dance. Membawakan genre ambient, atmospheric, drone dan dark wave, Jääportit telah menghasilkan 7 buah album, sebuah demo dan kompilasi "Tribute To H. P. Lovecraft - Yogsothery".
Keempat-empat kaset yang aku ulas ini mempunyai kualiti mixing serta mastering yang bagus walaupun tidaklah sehebat band ternama lain. Boleh dikatakan kesemuanya telah mencapai usia yang agak veteran namun muzik mereka masih lagi relevan untuk didengar bagi pencinta genre tersebut.
Jika difikirkan balik, agak menakjubkan bagaimana aktiviti trade atau beli kaset melalui fanzine seperti di dekad 90'an dahulu banyak membantu penggiat muzik gelap ketika itu dalam meluaskan perspektif mereka. Berutus surat melalui snail mail dan kadang-kala harus menunggu berbulan-bulan, namun aktiviti trade kaset ketika itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
Situasi ini sebenarnya sangat jarang dilihat di dalam komuniti peminat muzik itu sendiri pada zaman sekarang. Sedangkan muzik dalam format fizikal pun sudah kurang mendapat tempat di hati peminat, inikan pula kita bercerita tentang aktiviti trade kaset dengan rakan-rakan dari negara luar. Mungkin itu hanya kekal menjadi sebahagian daripada memori buat mereka yang pernah mengharungi zaman tersebut.








Monday, March 29, 2021

PENGARUH FAHAMAN SERTA IDEOLOGI DI DALAM MUZIK DAN SEJARAH MANUSIA

PENGARUH FAHAMAN SERTA IDEOLOGI DI DALAM MUZIK DAN SEJARAH MANUSIA

Dalam sejarah peradaban manusia, muzik sering digambarkan sebagai satu medium yang dikaitkan dengan hiburan dan riadah. Dalam beberapa kes tertentu, muzik juga menjadi salah satu elemen penting dalam perkembangan serta stimulasi otak manusia. Muzik telahpun menjadi satu matapelajaran yang dipelajari sejak dari zaman dahulu lagi. Sebagai contoh, tokoh cendekiawan Abu Al Nasr Al Farabi merupakan salah seorang pemikir yang mengkaji tentang muzik dengan penuh ketelitian. Di antara karya agung beliau yang berkaitan muzik ialah "Al Musiqa Al Kabir" yang bermaksud Kitab Agung Muzik. Di dalamnya terdapat pelbagai teori tentang muzik serta penghasilannya.

Namun begitu, dunia muzik seringkali tidak lari jauh dengan elemen-elemen bersifat spiritual mahupun ideologi. Cuba kita ambil contoh tentang salah satu lagu nasyid yang pernah dinyanyikan oleh orang muslim suatu ketika dahulu semasa zaman Nabi Muhammad SAW iaitu "Thola'al Badru 'Alaina". Lagu ini merupakan satu tanda alu-aluan buat Nabi kerana ketibaannya bersama para muslimin ke kota Madinah setelah lari dari kecaman dan ugutan di Mekah. Lagu yang sifatnya penuh puitis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi dalam membentuk motivasi kepada para muslim ketika itu. Jika kita lihat pada agama Kristian pula, nyanyian seperti Gospel sudah terlalu sinonim dalam ibadah mereka dan semestinya menjadi kewajiban bagi mendekatkan diri kepada Tuhan.

Semenjak kurun ke 20 lagi, manusia sudah menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk spiritual dan ideologi dan diperdengarkan dalam skala yang besar. Jika kita lihat semasa zaman Perang Dunia misalnya, kerajaan Jepun mendendangkan lagu "Battotai" untuk membakar semangat tentera mereka dan juga memupuk semangat cintakan negara serta taat kepada maharaja. Melalui muzik juga sebarang dogma serta propaganda sangat mudah untuk disebarkan.

Kita kembali pula dalam dunia muzik popular pada akhir abad ke 20 di mana terdapat banyak penghasilan lagu yang diterapkan nilai-nilai spiritual serta ideologi. Semasa dekad 70'an, budaya hippie semakin menjadi-jadi setelah populariti pergerakan "flower power" memuncak pada pengakhiran dekad 60'an. Dari sini kita dapat perhatikan beberapa artis popular pada zaman itu telah menumpukan penghasilan muzik mereka ke arah yang lebih spiritual. Sebagai contoh, George Harrison setelah keluar dari band The Beatles telah banyak menghasilkan lagu-lagu berunsur ibadah dalam Hinduisme. Cat Stevens, seorang penyanyi genre Folk yang popular di UK ketika itu pula mula berjinak-jinak dengan Islam lantas kemudiannya setelah beberapa tahun belajar, beliau memeluk agama tersebut pada tahun 1977 dan masih kekal aktif menghasilkan muzik yang bersifat spiritual sehingga sekarang. Kini nama beliau ialah Yusuf Islam.

Tidak lupa juga dengan pergerakan Rastafari yang dibawa oleh Bob Marley. Bob Marley merupakan seorang penganut agama Rastafari yang taat dan sering meluahkan isi hatinya tentang hubungannya dengan Tuhan di dalam liriknya. Rastafari merupakan sebuah agama baharu bersifat Abrahamic yang wujud di Jamaica sejak dekad 30'an. Mereka percaya Nabi Isa dalam kedatangan kedua ialah orang kulit hitam. Penganut Rastafari sering merujuk Raja Haile Selassie (pemerintah Ethiopia) sebagai Nabi Isa tersebut. Antara lagu terakhir ciptaan Bob Marley yang benar-benar menyentuh spiritual agama Rastafari ini ialah "Forever Loving Jah" yang dirakam pada tahun 1981, beberapa bulan sebelum kematiannya.

Kita baru sahaja selesai memperkatakan tentang pengaruh spiritual dalam muzik. Bagaimana pula dengan aspek ideologi? Ideologi yang diterapkan di dalam muzik ini kebanyakannya menghala ke arah mempersoalkan kondisi seseorang di dalam masyarakat serta memperjuangkan hak-hak tertentu. Sebagai contoh, gerakan nasionalisme mahupun fasisme di dalam muzik punk. Penghasilan muzik punk pada asalnya lebih ke arah menyuarakan semangat rebel dan menentang beberapa kuasa yang menindas seperti kerajaan ataupun sebahagian sistem ekonomi. Akan tetapi, setelah muzik punk melalui beberapa fasa perubahan, fahaman nasionalisme, fasisme dan nazi mula muncul dan menular di dalam genre tersebut. Kenapa boleh berlaku sebegini? Ini adalah disebabkan kemajuan muzik punk itu sendiri di dalam masyarakat lantas memberi ruang untuk anasir-anasir ini memasukinya.

Setelah memasuki era 90'an pula, semangat fasisme ini juga muncul di dalam genre muzik yang lain seperti Black Metal di beberapa buah negara Scandinavia seperti Norway, Sweden dan Finland. Sebagai contoh muzik Burzum misalnya lebih ke arah mengimbau kembali zaman kegemilangan bangsa Aryan di Eropah suatu ketika dahulu sekaligus membentuk satu fahaman fasisme.

Setelah manusia berevolusi dengan muzik di dalam millennium baharu iaitu abad ke 21, fahaman-fahaman sebegini masih lagi wujud cuma dalam skala yang agak kecil. Mengapa ideologi ini masih wujud? Masih relevankah ideologi ini diperjuangkan melalui muzik? Jawapannya ada di tangan kita. Ianya terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilainya.

Akan tetapi tidak semua ideologi di dalam muzik punk mahupun genre lain bersifat agresif dan menentang. Kita ambil contoh ideologi straight edge misalnya yang banyak memperjuangkan mesej yang positif seperti bebas dadah, tidak memakan daging serta pro keamanan.

Manakala dari aspek rohani atau spiritual pula, kebanyakan lagu-lagu popular masa kini tidak terlalu mementingkan hal-hal sebegini. Mungkin disebabkan elemen begini sudah dianggap "over rated" dan hilang nilai komersilnya. Akan tetapi hal sebegini tidak seharusnya dianggap remeh. Masih ada juga lagu-lagu berbentuk spiritual yang dihasilkan cuma bergantung kepada agama yang dianuti sahaja.

Muzik ini jika diibaratkan dalam bentuk objek, ianya tidak ubah seperti api ataupun pisau. Sifatnya sangat subjektif, ianya boleh membawa manfaat serta menghancurkan. Ianya terpulang kepada niat si pengguna objek tersebut. Jika digunakan untuk tujuan yang positif, maka makin banyaklah hasil karya muzik yang bermutu tinggi akan dihasilkan. Jika digunakan untuk tujuan yang tidak baik, maka akan rosaklah mentaliti umat manusia.




Thursday, March 25, 2021

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

Di dalam dunia muzik rock antarabangsa, nama Korn bukanlah asing dan ianya sering dikaitkan dengan genre muzik rapcore ataupun nu metal. Korn merupakan sebuah kugiran yang menjadi perintis kepada genre tersebut sejak kemunculan mereka dari album pertama pada awal dekad 90'an dahulu. Korn merupakan antara band terawal membawakan genre ini dan kemudiannya menjadi popular dan disusuli dengan kemunculan beberapa band lain seperti Limp Bizkit, Orgy, Incubus dan banyak lagi.

Ketua kumpulan Korn iaitu Jonathan Davis merupakan seorang individu yang mempunyai perwatakan tersendiri di dalam muzik mereka. Kekuatan vokal dan penulisan lirik di dalam band ini dikuasai oleh beliau. Kebanyakan liriknya berkait rapat dengan kemarahan, perasaan tidak puas hati, gangguan seksual, trauma didera semasa kecil dan pemberontakan dalam diri.

Kehidupan Jonathan agak sukar sejak dari kecil lagi. Beliau menghidap asma yang teruk dan kerap kali dimasukkan ke hospital. Pada umur 3 tahun, ibubapanya telah bercerai menyebabkan Jonathan mengalami beberapa situasi traumatik seperti didera oleh sesetengah individu yang rapat dengannya. Beliau kerap dibuli semasa di sekolah menengah gara-gara beliau suka bergaya ala New Wave kerana Jonathan pada ketika itu sangat meminati Duran Duran.

Jonathan juga menghida Thrombocytopenic Purpura iaitu sejenis penyakit di mana pesakitnya tidak mempunyai platelets di dalam darah yang bertindak sebagai antibodi. Kerap kali juga Jonathan mengalami muntah dan cirit berdarah semasa di atas pentas menyebabkan beberapa konsert Korn digantikan dengan beberapa penyanyi tetamu (vocals sessionist).

Jonathan juga pernah bekerja sebagai pembantu di sebuah rumah mayat di tempatnya Bakersfield. Beliau menggalas tugas tersebut selama 6 tahun dan akibatnya Jonathan mengalami masalah PTSD. Selama beliau bekerja di sana, pelbagai kejadian pelik dan mengerikan yang beliau hadapi.

Seperti kebanyakan rockstar yang lain, Jonathan juga tidak lari dari masalah dadah dan alkohol. Penggunaan alkohol yang dihadapi oleh Jonathan sebelum ini agak kritikal di mana beliau akan meminum Jack Daniels dan Jagermeister setiap hari. Beliau juga pernah melalui ketagihan kokain dan meth dan pada tahun 1998 semasa kemunculan album "Follow The Leaders" beliau membuatkan keputusan untuk menjadi bersih dadah (akan tetapi ianya tidak bertahan lama).

Jonathan pernah mengahwini seorang pelakon filem lucah iaitu Deven Davis pada tahun 2004 akan tetapi ianya tidak kekal lama. Pada tahun 2018, Jonathan memfailkan cerai ke atas isterinya atas sebab pengaruh dadah dari kedua-duanya yang akan menjejaskan kehidupan 2 orang anaknya. Deven yang juga seorang penagih dadah ditemui mati akibat ketagihan pada tahun yang sama.


Jonathan Davis



Monday, March 22, 2021

ULASAN RINGKAS 10" EP CARCASS "DESPICABLE" (2020)

10" EP Carcass "Despicable" (2020)
EP ini sebenarnya telahpun diriliskan secara rasmi pada 30 Oktober 2020 yang lalu melalui label Nuclear Blast Records. EP ini menjalani proses rakaman di Studio Roth Handle di Stockholm, Sweden. Proses mixing serta mastering juga dijalankan di Stockholm oleh David Castillo.
Line up Carcass untuk EP ini buat pertama kalinya memperkenalkan gitaris kedua mereka iaitu Tom Draper bagi menggantikan Ben Ash yang telah berhenti berkhidmat sebelum ini atas alasan untuk melanjutkan pelajaran. EP ini mempunyai 4 buah lagu sahaja.

4 buah lagu berkenaan berkiblatkan melodic death metal, genre yang sama mereka perjuangkan lebih 2 dekad sebelum ini. Pada asalnya mereka memainkan muzik genre gore grindcore.
Design di dalam EP tersebut
Cover belakang EP


Cover hadapan
Under The Scalpel Blade - Carcass

Wednesday, February 10, 2021

APAKAH LAGU PERTAMA DAN KEGEMARAN ANDA DARI BAND SLIPKNOT?

Di dalam dunia muzik ekstrim antarabangsa, nama Slipknot sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan album pertama self-titled yang diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Roadrunner Records, Slipknot meraih sukses dalam sekelip mata sahaja. Malah menjadikan mereka salah sebuah band nu-metal yang sangat popular pada dekad 90'an. Sehingga sekarang, muzik band ini masih lagi diterima oleh penggemar genre metal khususnya.
Band ini memasuki industri nuansa ekstrim semasa dunia masih lagi demam dengan muzik nu-metal. Pada ketika itu, banyak band-band hebat baru sahaja meriliskan album-album masterpiece seperti Deftones dengan album "Around The Fur" (album kedua mereka), Korn dengan album "Follow The Leader" dan Limp Bizkit dengan album "Significant Other".
Aku masih ingat lagi satu kejadian yang berlaku pada tahun 1999. Waktu itu aku baru sahaja memasuki Politeknik Kuching untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam peringkat diploma (hanya bertahan selama 6 bulan sahaja disebabkan aku gagal banyak subjek semasa peperiksaan semester). Insiden ini berlaku semasa hujung minggu dikala ramai pelajar hendak keluar outing di bandar Kuching ketika itu. Pada masa itu, salah satu transportasi yang digunakan dari Politeknik ke bandar Kuching ialah dengan menggunakan perkhidmatan van sewa.
Adalah satu masa tu, aku pun hendak ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Aku masih ingat lagi, hari tu hari sabtu. Aku pun menaiki sebuah van sewa ketika itu. Maka berpadatlah van sewa tersebut dengan beberapa pelajar dari Politeknik. Ketika itu, aku duduk di belakang pemandu. Tanpa aku sedari, adalah beberapa pelajar lelaki yang duduk di belakang aku sedang asyik bercerita tentang muzik nu metal. Seorang brader ni sedang khusyuk bercerita tentang sebuah band nu metal yang kebanyakan ahli kumpulannya memakai topeng dan berbaju overall merah. Brader tu siap cakap band ni bawak lagu heavy dan pantas dari segi beat. Aku pun musykil juga, dalam masa yang sama mencuri dengar perbualan mereka di belakang. Brader yang asyik bercerita tadi sempat juga bagitahu dengan kawan-kawan dia nama band tersebut. Slipknot, itu nama yang disebutnya.
Sesampainya di bandar Kuching, destinasi pertama yang aku pergi ialah kedai kaset. Antara tempat yang menjadi destinasi pilihan ketika itu ialah Kuching Plaza (sekarang sudah tidak lagi beroperasi). Kalau tidak silap, nama kedai kaset yang aku masuk pada ketika itu ialah Dallas Music kot. Aku pun ingat-ingat lupa. Lalu aku pun tanyalah dekat tauke kedai, "Tauke, you ada kaset band rock nama Slipknot kah?".
Tanpa menbuang masa, tauke yang aku agak-agak umurnya pada ketika itu sekitar 40'an, mengambil kaset Slipknot daripada rak di belakangnya. Lalu aku pun membayar kaset tersebut. Tapi sebelum itu, aku sempat juga suruh tauke itu pandu uji kaset tersebut melalui radio di kedainya itu. Maka bergemalah seluruh kedai tersebut dengan lagu "Sic". Dahsyat gila lagu ni, boleh menyebabkan rusuhan ni. Itulah tanggapan pertama aku terhadap Slipknot pada ketika itu. Album pertama mereka itu sangat bagus dan amat memorable buat aku.
Bagi aku, "Sic" merupakan lagu yang bertanggungjawab membuatkan aku minat sangat dengan Slipknot pada ketika itu. Manakala album Slipknot yang menjadi kegemaran aku sepanjang masa ialah "Iowa" yang diriliskan pada tahun 2001.
Apa pula pendapat kalian? Adakah sama seperti aku ataupun tidak? Jika tidak, sila nyatakan lagu, nama album dan sejak bila anda menjadi peminat setia Slipknot.
Slipknot line-up 2021

Sic - Slipknot (Live)

Monday, February 25, 2019

Ulasan Gig : MIRI EXTREME 3.0 - THE FINAL CHAPTER

Official Flyer

Semenjak kebelakangan ini, Miri telah menjadi pusat untuk kegiatan gig yang paling aktif di kawasan pertengahan pulau Borneo. Ianya dikatakan strategik kerana bersebelahan dengan negara jiran iaitu Brunei dan jaraknya yang juga dekat dengan Sabah mahupun Labuan. Kebanyakan artis dan band dari aliran independent semakin suka mengetengahkan bakat mereka di Miri.

Situasi ini juga memberi peluang kepada kewujudan Miri Extreme, sebuah siri gig yang sudahpun berlangsung sepanjang 3 tahun berturut-turut semenjak 2017. Gig ini mengetengahkan pelbagai band dari aliran muzik keras seperti thrash metal, death metal, black metal, grindcore dan hardcore punk. Ianya boleh dikatakan sebagai salah sebuah acara yang ditunggu-tunggu sebenarnya.

Untuk gig Miri Extreme 3.0 kali ini, ianya dijalankan di Barthyme Pub yang terletak di kawasan Marina Bay pada 16 Februari yang lalu. Pada asalnya ia sepatutnya dibuat di Alice In Borneoland namun disebabkan lokasi tersebut masih dalam proses pengubahsuaian, ianya terpaksa ditukarkan ke Barthyme. Walaupun begitu, program harus diteruskan.

Gig tersebut bermula pada pukul 2:30 petang dan dimulakan dengan Deadshot, sebuah band thrash metal dari Kuching. Band 3 piece yang dianggotai oleh Kojek (vocals / bass), Jumpbull (gitar) dan Saga (drums) ini mempunyai kekuatan dan keunikannya sendiri. Permainan mereka sungguh bagus. Lagu mereka yang berbahasa Iban berjudul "Ne Ko Dek" antara yang mencuri perhatian pada ketika itu. 

Band kedua yang membuat persembahan ketika itu ialah unit grindcore yang tidak asing lagi dan berasal dari Kuching iaitu Kurasakuasa. Band ini sebenarnya antara yang menjadi tarikan pada gig tersebut. Walaupun hanya dalam posisi 3 piece sahaja (vokal, gitar dan drums) namun persembahan mereka tetap bertenaga. Kelihatan crowd sudah mula menggila saat band ini membuat persembahan. 

Selepas itu, giliran Dire Crown pula mengambil alih pentas gig. Band yang berasal dari Miri semestinya sudah mencapai tahap dikenali ramai di tanah kelahiran mereka. Mereka memainkan lagu-lagu komposisi mereka sendiri dan dalam masa yang sama ada diselitkan sebuah lagu cover yang tidak disangka-sangka. Paling syok apabila mereka membawakan lagu "Dua Insan Bercinta" (Ella cover) dalam versi mereka sendiri. 

Apabila telah selesai persembahan Dire Crown, kini tiba pula giliran Tahi Suci, sebuah band grindcore yang berasal dari Bintulu. Ini merupakan kemunculan kedua buat band ini di pentas Miri Extreme. Seperti biasa, band ini berjaya memulakan sesi moshpit dan body surfing di kalangan crowd. 

Sebaik sahaja selesai setlist dari Tahi Suci, giliran Militant Attack pula untuk menambahkan aura thrash di pentas Miri Extreme 3.0 The Final Chapter. Band yang terdiri daripada Worm (vokal / gitar), Junk (backing vocals / guitar), Kayvil (bass) dan Kevin (drums) ini sebenarnya tidak asing lagi dalam scene music thrash tempatan. Dalam masa yang sama mereka juga mempromosikan CD 3 way split berjudul "Borneo Thrash Alcohol Invasion" bersama Dire Crown dan Deadshot semasa gig tersebut. 

Setelah lelah bermoshing bersama alunan irama thrash bawaan Militant Attack, band seterusnya ialah Kebes, sebuah band yang bergenrekan black metal dan berasal dari Kuching. Suasana menjadi suram, gelap dan menyeramkan seketika ketika mereka membuat persembahan. Ini merupakan penampilan kali kedua buat Kebes di pentas Miri Extreme, kali pertama ialah pada Miri Extreme part 1 pada tahun 2017. Kebes juga akan menjadi salah sebuah opening band semasa gig jelajah untuk band black metal terkemuka Varathron tidak lama lagi di Kuala Lumpur. 

Apabila sudah reda aura kegelapan di atas pentas, kini tiba pula giliran Muntah Darah, sebuah unit grindcore dari Kota Kinabalu. Band yang tidak asing lagi dalam scene muzik grindcore tempatan ini sebenarnya antara yang dinantikan oleh sebilangan besar crowd pada masa itu. Mereka juga dalam rangkaian mempromosikan EP terbaru mereka yang berjudul Bastard Mentality. Persembahan mereka sememangnya padu dan agresif. Menambahkan lag chaos dan kegilaan pada masa itu, Muntah Darah juga membawakan sebuah lagu cover dari Nasum berjudul Time To Act dan menampilkan Pendekar Mustar dari Tahi Suci serta Ahmad Haizan dari Kurasakuasa sebagai vokalis jemputan. 

Setelah semua band telah selesai membuat persembahan, kini masanya telah tiba untuk headliner band, Infectious Maggots untuk memusnahkan pentas. Band yang telah wujud sejak tahun 1987 ini boleh dianggap sebagai salah sebuab kugiran legenda di dalam scene music underground di Malaysia khususnya. Band yang menggabungkan elemen Industrial dan grindcore di dalam muzik mereka ini telahpun menghasilkan beberapa album bertaraf cult seperti "Deep Within Our Grief Factory Milk Runs Red" (1993), "Cookie Jar" (1994), "Unknown" (1996) dan "Karat Besi Simfoni" (2000). Band yang kini dianggotai oleh Madec (vokal), P.E. (gitar), Lan Bear (gitar), Lan Bye (drums) dan Kombat (bass) ini telah membuktikan yang muzik mereka masih relevan sehingga kini. Difahamkan ini merupakan penampilan pertama mereka di Miri dan juga Sarawak. 

Miri Extreme 3.0 merupakan sebuah penanda aras bahawa muzik ekstrim masih lagi bernyawa di kota kuda laut ini. Diharap akan ada kesinambungan buat gig sebegini di masa akan datang. 

 Muntah Darah

 Muntah Darah

 Kebes

 Kebes

 Deadshot

 Kurasakuasa

 Deadshot

 Deadshot


Tuesday, October 9, 2018

Tahi Suci : Live at Bintulu Street Jam Vol. 4 2018

Tahi Suci in action!



Tahi Suci : Hikayat Seorang Tirani Bernama Jibraun (Live)

Tahi Suci : Mari Berjoget Gangnam Style Bersama Ayatollah Khomeini & Ahmedinajad (Live)

Tahi Suci : Panji-Panji Penghapus Koruptor (Live)

Monday, October 1, 2018

Ulasan Acara : Bintulu Street Jam Vol. 4 (Pantai Tanjung Batu, Bintulu)

Kebiasaannya kita sering dihidangkan dengan persembahan kugiran-kugiran mandiri atau lebih komersil disebut sebagai independent ini di dalam venue yang tertutup seperti di dalam dewan, pub mahupun mini stadium. Namun sebaliknya berlaku di Bintulu di mana konsep "Street Jam" telah diperkenalkan oleh beberapa individu serta organisasi.

Bintulu Street Jam ini sebenarnya telahpun dibuat banyak kali sebelum ini. Secara spesifik ianya bermula di Bintulu Paragon semasa volume yang pertama, diikuti di beberapa lokasi seperti Kampung Jepak dan sebagainya sehinggalah buat julung kalinya ia beralih lokasi di Pantai Tanjung Batu bagi siri yang ke 4.

Terdapat lebih 20 band yang terlibat kali ini di mana ianya merangkumi kugiran-kugiran dari Bintulu sendiri, Miri, Mukah, Sibu dan juga Brunei. Street Jam kali ini juga buat pertama kalinya dibuat dalam skala yang agak besar. Dari segi kelengkapan bunyian yang disediakan juga amat memuaskan walaupun terdapat beberapa masalah teknikal semasa acara ini berlangsung. Namun ianya masih dianggap mampu diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Di dalam acara ini juga telah digabungkan beberapa band dari pelbagai generasi. Golongan otai juga tidak dilupakan. Band-band seperti Medusa, Pro X dan Natas juga datang menyerikan majlis dengan persembahan mereka yang bertenaga. Ini menunjukkan mereka masih lagi berbisa walaupun sudah berusia. Namun apresiasi dari golongan muda tetap ada buat mereka ini.

Kugiran-kugiran dari Brunei seperti Flowers, Hangs dan Pemuzik Kena Reject juga dianggap sebagai salah satu daya penarik semasa acara ini berlangsung. Masing-masing menunjukkan bakat mereka yang luarbiasa. Diharap mereka dari negara jiran ini akan sentiasa ke Bintulu untuk membuat persembahan jika diberi peluang.

Band-band dari daerah lain juga tidak ketinggalan seperti TOYS (sibu), Sareepdols (Balingian) dan Nimang Ensera (Miri) juga tidak mahu melepaskan peluang untuk beraksi di temasya ini. Masing-masing membawakan genre yang berlainan sekaligus memberikan variasi yang unik dalam acara ini. Persembahan mereka rata-rata amat mantap dan semestinya bertenaga.

Akhir sekali, tidak lupa juga buat band-band dari Bintulu sendiri seperti Jagindas, Froctuse, Erectus, Cerobong Hitam, Buxnid, KoersiveForse, D-Dropper Tuner, Gedong Riot Crew, Generation Of Oi!, Nogas, Overdrill, Tahi Suci dan lain-lain telah memberikan persembahan yang "all out" dan tidak berbelah bagi. Ramai di kalangan pemuzik Bintulu yang menyertai acara ini telah lama hiatus sebelum ini, namun akhirnya telah membuat comeback dan cuba melepas geram haha. Keputusannya, mereka semua telah kembali aktif dan diharapkan agar hobi bermain muzik mereka ini akan tetap istiqomah dan kembali menjadi lebih kreatif.

Acara yang dibuat selama 2 hari ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan autoshow dari persatuan pemilik Harley Davidson Bintulu serta jualan pelbagai hidangan daripada beberapa food trucks serta gerai-gerai makanan. Tidak lupa juga beberapa gerai yang menjual merchandise seperti CD dan tshirt band-band tempatan serta luar negara.

Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan buat pihak penguatkuasa Bintulu Development Authority (BDA) kerana telah memberi ruang buat acara ini dijalankan. Buat Studio Reigo (selaku salah sebuah entiti penting di belakang tabir) serta saudara Azri (Gedong Riot Crew) dan Nazre (D-Dropper Tuner) yang bertindak menjadi tulang belakang acara ini, pengorbanan anda amatlah dihargai oleh para pemuzik yang menyertainya. Diharap acara ini akan dibuat di venue yang lebih power dan menjadi lebih sukses di masa akan datang.

 Official Poster




 Kumpulan Hangs dari Brunei


 NV Unity

Herman Akmal

 Erectus

 Erectus

 Erectus

 KoersiveForse

 Erectus

 Tahi Suci

 Tahi Suci

 Flowers (Brunei)

 Buxnid

 Tauke CD On Demand dan Ijau D Koceng



 T.O.Y.S. (Sibu)


Cerobong Hitam 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...