Showing posts with label travelog. Show all posts
Showing posts with label travelog. Show all posts

Thursday, April 7, 2022

DEMON SLAYER DI KEDAI HIPSTER "CHAT TEA"

DEMON SLAYER DI KEDAI HIPSTER "CHAT TEA"

Setelah sekian lama, akhirnya aku berjumpa juga dengan kedai ini. Ianya merupakah sebuah cafe yang menghidangkan air bobba tea dan beberapa minuman hipster yang lain. Tarikan utama kedai ini ialah lukisan mural di dindingnya.
Terdapat beberapa watak utama seperti Tanjirou Kamado, Zenitsu Agatsuma, Inosuke, Uzui Tengen dan Nezuko Kamado menghiasi sebahagian besar dinding kedai ini. Kebarangkalian owner kedai ini merupakan seorang die hard fan untuk anime ini adalah besar.
Kepada sesiapa yang meminati anime ini dan berada di Bintulu, bolehlah datang melawat ke premis ini yang terletak di kawasan Parkcity Commerce Square dan terletak sebelah saja dengan restoran Ayam Penyet House. Minuman di kedai ini pun boleh tahan sedapnya.








Wednesday, December 27, 2017

Entri Mini : Antara Kenangan Manis Sepanjang Tahun 2017



Beberapa acara menarik yang aku turut serta sepanjang tahun ini baik sebagai ahli band, krew, tauke distro mahupun penonton:

1. Sarawak Metal Regime part 1 (headline : Noxa)

2. Sarawak Metal Regime part 2 (headline : The Pilgrims)

3. Rocktoberfest 2017 (banyak sangat headlines)

4. Final Warfare : The Aftermath Of War (headline : Infectious Maggots)

5. Jam It Live 2.0 Gig (headline : Siksakubur)

Kenangan manis sepanjang 2017 ni. OK, lepas ni boleh berehat sekejap. Apa yang aku maksudkan dengan sekejap ialah cuba berehat daripada dunia permetalan dalam lebih kurang sebulan. Untuk bulan Disember ini aku cuba fokus kepada hal-hal kekeluargaan dahulu.

Monday, November 27, 2017

Journey To Final Warfare : The Aftermath Of War Gig 2017 (KM Plaza, Seremban)

The Flyer

Pada 28 Oktober yang lepas, aku sekali lagi berkesempatan menjadi sessionist pada posisi gitar bass untuk band Larrong. Kali ini kami beraksi di gig Final Warfare : The Aftermath Of War 2017 yang bertempat di Dewan Kelab Melayu Dato Shahardin KM Plaza, Seremban. Ianya merupakan satu penghormatan besar buat aku kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk bermain bersama band legenda dari Sarawak ini. Kalau berdasarkan flyer, ternyata banyak juga band-band yang power dan hebat belaka.  Tetapi antara banyak-banyak yang tersenarai, ada beberapa band yang aku teruja nak tengok persembahan mereka.

Terlebih dahulu, seminggu sebelum gig berlangsung, kami berlatih di Sibu bagi memperhaluskan lagi mutu persembahan kami. Di Sibu kami jamming hampir 3 jam di studio milik sahabat kepada tuan Tazudin, frontman Larrong. Ada penambahan sebuah lagu dalam setlist kami, cuma lagu-lagu terdahulu yang pernah dimainkan semasa Rocktoberfest masih dikekalkan. Kebanyakan struktur lagu-lagu yang dibawakan oleh Larrong ada sedikit teknikal. Tapi tak mengapa, aku bersedia dengan sebarang cabaran yang berkaitan dengan muzik sebegini.




Sesi jamming bersama Larrong seminggu sebelum gig Final Warfare

Apabila tiba hari yang dinantikan iaitu sabtu 28 haribulan Oktober, aku serta Rashid COG berangkat dari Lapangan Terbang Bintulu pada pukul 7:20 pagi kemudian transit sebentar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Pada pukul 10:40 pagi pula, kami berangkat ke KLIA2. Tiket penerbangan kami menjadi sebegitu rupa disebabkan ianya agak murah berbanding penerbangan secara langsung dari Bintulu ke KLIA2. Beli tiket penerbangan secara last minute la katakan. Apa-apapun segala kos penerbangan ditanggung oleh pihak pengurusan band. Kami berdua cuma datang ke venue dan perform.

Sesampainya kami di KLIA2 pada pukul 12:40 tengahari, aku dan Rashid disambut oleh rakan organizer merangkap pengurus kepada band-band metal UG iaitu Zaki Cendol a.k.a. Apo Jang. Ramai rakan-rakan sepermetalan terbiasa memanggilnya Apo Jang saja. Apo Jang ni dulu kami pernah bersua dengan beliau semasa gig Sarawak Metal Force 2017 part 2 pada bulan September. Masa itu Apo Jang jadi pengurus / krew untuk band melodic death metal dari Seremban iaitu AS I END. Apo Jang ni ceria orangnya dan mudah mesra.

 Rashid (drummer Curse Of God) dan aku

Rashid dan aku semasa baru sahaja keluar dari perut kapal terbang di KLIA2

Tanpa melengahkan masa, kami bertiga singgah sebentar di sebuah restoran mamak tidak jauh dari kawasan Sepang. Perut dah lapar, aku tengok muka Rashid pun dah layu semacam. Kami pun order Nasi Kandar dari pelayan restoran tersebut. Selesai sahaja kami makan tengahari bersama, kami pun berangkat ke Senawang kerana di sana band Larrong akan jamming sejam dua sebelum giliran kami beraksi di pentas gig. Kami mula praktis pada pukul 3 petang dan berakhir dekat-dekat pukul 6 petang begitu. Giliran kami kalau diikutkan rundown ialah pada pukul 6 petang. Mujurlah Senawang ni taklah jauh sangat dari Seremban.

 Bass Craftman aku (photo credit : San Burns)

Larrong semasa sesi jamming sebelum gig (photo credit : Apo Jang)

Sebenarnya gig sudah berlangsung pada pukul 2 petang. Jadi di antara kami berjamming dari pukul 3 hingga 6 petang, beberapa band sudah mula membuat persembahan masing-masing. Agak sedih juga kerana tak berkesempatan melihat band-band seperti Ironbird, Thrashit, Dukuns dan Demorforessus membuat persembahan. Setelah selesai jamming kami terus berangkat ke venue. Sesampainya kami di venue, band Kugiran D'Tepi Pantai sedang membuat persembahan. Set mereka baru bermula. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapatlah juga aku tengok Tuan Kombat serta rakan-rakan beraksi. Suasana masa itu agak rare bagi aku. Mana tidaknya, sungguh jarang sekali kau tengok metalheads headbanging sambil dengar lagu surf music. Kebanyakan lagu bergenre surf yang didendangkan oleh kugiran tersebut memang hebat belaka. 

Selesai sahaja Kugiran D'Tepi Pantai melakukan persembahan mereka, organizer mengumumkan bahawa acara berehat sebentar selama setengah jam. Pukul 6:30 baharu bermula kembali. Giliran Larrong adalah selepas masa rehat tersebut. Pada masa yang terluang, kami mulakan sesi soundcheck. Apabila selesai waktu rehat, maka giliran sudah bermula. Berikut merupakan songlist kami pada petang tersebut:

1. The Cult Of Death
2. The Tortured Land
3. Nuclear Armageddon
4. Lack Of Comprehension (Dead cover)




Larrong semasa membuat persembahan (photo credit : Matt Manang Bakak)

Persembahan kami terpaksa dipendekkan masanya bagi memberi ruang buat beberapa band seterusnya beraksi. Secara keseluruhan, aku berpuas hati juga dengan persembahan kami walaupun ada terkucil pada beberapa bahagian lagu. Namun ianya tidaklah ketara sehingga menjejaskan kualiti persembahan kami secara total. Paling seronok ialah apabila beberapa orang lama seperti brader Lan Bear (gitaris Infectious Maggots) turut sama headbanging bersama khalayak ramai di hadapan stage pada ketika kami membuat persembahan. Salute!

Selesai sahaja set Larrong, kini giliran Putrified Remains membuat persembahan. Band yang dikatakan jelmaan versi Malaysia bagi band-band Greece Metal seperti Varathron dan Rotting Christ ini semestinya antara band yang dinantikan. Brader Suffian selaku frontman band ini antara admin group Vinyl Passion (Facebook) dan seringkali berinteraksi dengan aku di alam maya. Sekarang dah jumpa depan mata, pada mulanya kelu lidah tak terkata. Tapi tak lama lepas tu (setelah mereka membuat persembahan) kami jadi mesra apabila berbicara. Yelah, kedua-dua kami minat dengan piring hitam. Tapi koleksi piring hitam lagi dahsyat dari aku. Haha. Persembahan Putrified Remains ternyata tidak mengecewakan. Aku kagum dengan persembahan mereka. Selesai sahaja mereka beraksi, kini tiba giliran Mortuary Ancestor untuk menakluk pentas gig tersebut.



Putrefied Remains

Mortuary Ancestor sebenarnya pada ketika dalam rangkaian jelajah ke beberapa venue gig di Semenanjung Malaysia. Pada hari jumaat sebelumnya, mereka membuat persembahan di sebuah gig yang bertempat di Soundmaker (kalau tak silap) di Pulau Pinang. Hari sabtu pada masa itu pula, mereka beraksi di gig Final Warfare. Oh ya, lupa nak khabar. Mortuary Ancestor merupakan sebuah band death metal dari Sandakan, Sabah. Sebelum ini aku pernah menyaksikan persembahan mereka di Sarawak Metal Regime 2017 part 2 di Sibu pada bulan September lepas. Persembahan mereka memang power giler beb. Speechless jugak lah dibuatnya apabila mendengar riff-riff gitar yang jahat dari mereka. Manakala vokal pula memang mantap. Ada ala-ala slamming brutal death metal begitu. Pada ketika itu, Shaun Harun (ex-drummer untuk Mantak dan Crown Ov Horns) menggalas jawatan sebagai tukang pukul untuk band ini.



Mortuary Ancestor

Selepas Mortuary Ancestor, giliran As Sahar pula untuk mendominasikan pentas. Sebagaimana yang kebanyakan peminat band ini sudah maklum, One Barchiel sudah tidak lagi bersama mereka atas beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Walapun ini adalah kali pertama aku melihat As Sahar beraksi, tetapi persembahan mereka amat tidak mengecewakan. Antara lagu yang menjadikan aku histeria sekejap semasa mereka membuat persembahan ialah Meditasi Embun Pagi. Sejak dari zaman kaset di dekad 90'an lagi aku dah dengar lagu ini. Kini dah melihat mereka beraksi depan mata, seakan-akan mimpi jadi kenyataan la jugak.



As Sahar

Apabila As Sahar sudah selesai, kini hanya tinggal sebuah band sahaja lagi untuk mengamuk di atas pentas iaitu Infectious Maggots. Ya, inilah band yang aku nantikan untuk membuat persembahan pada ketika itu. Band yang berpaksikan genre Industrial Grindcore ini masih lagi bertahan di dalam arena muzik underground tanah air. Line-up mereka pada ketika itu masih sama seperti di KL Metalcamp pada bulan Ogos lepas. Cuma ada pertukaran ahli di mana Kombat (The Pilgrims, Kugiran D'Tepi Pantai) pada posisi gitar ketiga dan Madec (vokalis band grindcore Negation) pada posisi vokal. Apabila lagu pertama mereka didendangkan, meremang juga bulu roma dibuatnya. Sound mereka masih lagi berat sepertimana di dalam kaset-kaset mereka sebelum ini. Lan Bye selaku drummer masih lagi relevan sebagai penyandang gelaran "the human machine-gun" seperti yang pernah diwar-warkan sebelumnya oleh beberapa pihak.

 Lan Bear of Infectious Maggots

 Infectious Maggots

  Infectious Maggots

Aku bersama Madec (vokalis untuk Infectious Maggots dan Negation). Beliau menggantikan Fathul di bahagian vokal.

Selesai sahaja majlis tersebut yang diakhiri oleh persembahan Infectious Maggots, pihak organizer menyeru kesemua yang hadir pada sesi gig tersebut untuk bergambar beramai-ramai. Sesi fotografi pun bermula. Agak seronoknya juga kerana dapat bergambar bersama rakan-rakan baru dan lama. Apabila ramai khalayak sudah keluar dari dewan tersebut maka aku dengan Rashid berpisah dengan beberapa ahli kumpulan Larrong. Tuan Tazudin serta San Burns (vokalis Larrong) akan kembali ke Kuala Lumpur. Mereka hendak menghadiri gig Kuala Lumpur Death Fest yang bertempat di Publika pada keesokan harinya. Band Mortuary Ancestor juga akan membuat persembahan di venue tersebut. Sibuk sungguh mereka. Tak mengapa, janji minat.

 Aku bersama rakan blogger Faizal Skudal (blog The Journey Continue)

 Aku bersama tauke distro dan label Goatlordth Record, tuan Rosaizat

 Larrong bersama Infectious Maggots (photo credit : Taz Taj)

 Sesi fotografi setelah selesai gig (photo credit : Apo Jang)

Aku bersama Malek Hanael of As Sahar

Manakala aku dengan Rashid pula dibawa oleh pihak penganjur untuk menghadiri makan malam di sebuah restoran tidak jauh dari kawasan seremban iaitu Restoran Man Tom Yam. Dalam pukul 10 malam begitu jugalah kami sampai di sana. Di sana kami berborak sambil bercerita tentang hal-hal yang berkaitan dengan masalah dunia. Yang menariknya, aku berborak dengan ramai kenalan facebook di mana sebelum ini hanya berhubung di alam maya sahaja. Manakala abang Kombat pula belanja makan aku dengan Rashid. Terharu dan malu rasa diri ini. 

Selesai sahaja makan malam, Apo Jang terus membawa aku dan Rashid ke KLIA2. Oh ya, lupa nak khabar. Aku dan Rashid kena bermalam di KLIA2 kerana penerbangan kami balik ke Bintulu pada keesokan harinya iaitu ahad 29 Oktober adalah pada pukul 7:20 pagi! Haha. Sememangnya letih.

Apabila dilihat secara umum, gig ini berjalan dengan jayanya. Diberitahu sebelum ini, ini merupakan siri kedua untuk gig Final Warfare. Siri pertama dibuat pada tahun lepas. Semoga selepas ini, pihak penganjur jangan malu serta segan untuk membawa lebih banyak band muzik ekstrim dari kepulauan Borneo.

Secara keseluruhan, gig ini berjalan dengan sukses. Kesemua barisan band yang turut serta menjayakan gig ini juga membuat persembahan masing secara all-out. Rasa bertuah juga kerana dapat menyaksikan persembahan beberapa band idaman seperti Putrefied Remain, Mortuary Ancestor (Sabah), Kugiran D'Tepi Pantai, As Sahar dan Infectious Maggots dengan mata kepala aku sendiri. Selama ni selalu dengar melalui CD dan kaset sahaja. Mungkin ada beberapa kekurangan di beberapa sudut berkaitan dengan penganjuran gig ini (part ni aku malas nak cerita panjang) namun boleh diperbaiki untuk manfaat di masa akan datang. Semoga pihak penganjur akan lebih gigih serta berhati-hati di masa akan datang.

Sehingga berjumpa lagi semua. Kadang-kadang lepak setakat sejam dua dengan rakan-rakan mempunyai minat yang sama ni rasa tak cukup pulak. Lebih-lebih lagi apabila kau berjumpa dengan beberapa rakan yang kau selalu tegur di facebook namun baru pertama kali berjumpa di alam nyata.

Adios Amigos!

Larrong : Live at Final Warfare 2017


Infectious Maggots : Live at Final Warfare 2017

Monday, May 29, 2017

Ziarah Serta Jalan-Jalan Cari Makan di Tapak Urban Street Dining, KL

Sambungan dari entri INI.

Setelah selesai membeli beberapa buku di Pesta Buku Antarabangsa 2017 bertempat di PWTC (sila rujuk post aku sebelum ini) maka dengan tiba-tibanya perut pun terasa lapar. Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Dalam cadangan asal, kami mahu pergi ke Tapak™ Foodtrucks Urban Street Dining. Ianya terletak di Jalan Ampang, tidak jauh dari Ampang Park dan KLCC.

Aku serta rakan karibku Edham (bukan nama sebenar) tanpa melengahkan masa, terus menghubungi Grabcar melalui aplikasi dari telefon pintar. Bertolak dari hotel kami (nama dirahsiakan) yang terletak di Jalan Tunku Abdul Razak, ianya cuma mengambil masa hanya 10 minit sahaja untuk sampai ke sana. Sesampainya kami di lokasi tersebut, kami seakan-akan tidak percaya dengan vibe yang ada di kawasan tersebut. Sungguh meriah sekali dan variasi makanan yang ada di sana juga cukup menarik perhatian dan menggiurkan. Maklumlah perut tengah lapar. Seakan hari-hari adalah hari raya di Tapak™ Food Trucks ini. Perut cuma ada satu. Tapi makanan yang ingin dimakan terlalu banyak nak dipilih. Tak tau yang mana satu lebih sedap, sedang-sedang ataupun tak lazat langsung. Tapi kesimpulan yang dapat dibuat ialah semua makanan di sini bagus-bagus belaka. Tidak ada yang mengecewakan. Di sini terdapat makanan yang pelbagai seperti burger, hot dogs, nasi lemak, pizza, lasagna, vietnamese cuisines dan banyak lagi. Pendek kata, macam-macam ada.

 Orang ramai sedang beratur untuk memesan minuman 

 Salah sebuah food truck yang menarik di sini

Antara tujuan asal aku ke sini ialah untuk ziarah food truck sahabat aku iaitu Mohammad Namazi Salleh. Beliau merupakan seorang pemuzik serta penguasa bisnes foodtruck yang berorientasikan makanan dari Sarawak seperti Mi Kolok, Laksa Sarawak, Mi Belacan dan banyak lagi. Sudah lebih berpuluh tahun kami tak jumpa. Dahulu kami pernah berjiran di sebuah kawasan perumahan yang terletak di Miri, Sarawak.

Sebagai tanda sokongan, aku pun belilah Mi Kolok yang diusahakan Namazi dengan isterinya itu. Fuh, boleh tahan sedap dan ada kelainan dalam resepi mereka. Haha, jauh-jauh aku datang, Mi Kolok juga yang aku cari. Typical Sarawakian kot. Kami tak boleh jauh dari Mi Kolok.

Sempat juga aku berborak panjang lebar dengan saudara Namazi. Ada juga aku bertanyakan khabar mak ayah dia di Miri. Semasa aku kecil dahulu, aku dan adik-adikku pernah berlajar mengaji dengan ibu Namazi. Syok juga mendengar pengalaman Namazi bergelumang di dalam industri muzik tempatan ni. Namazi pun pernah membawa band dia ke Indonesia untuk tujuan promosi album bersama label rakaman mereka. Sungguh teruja aku mendengarnya. Oh buat yang tak tahu, Namazi merupakan abang kepada Noh Salleh, frontman kumpuan Hujan.

Namazi juga ada buat sesi busking di hadapan food trucknya. Syok betul melihat persembahan beliau. Aku dah lama mengidam nak tengok dia menyanyi sebenarnya. Sehingga berjumpa lagi, sahabat. Ada rezeki bolehlah kita lepak dan ngeteh lagi.

 Saudara Muzzy sedang busking di hadapan food truck beliau

 Iklan ubat gigi bersama saudara Muzzy

 Get the table!


Ini merupakan food truck yang diusahakan oleh saudara Muzzy serta isterinya

Apabila perut dah kenyang dan badan pun keletihan, maka sudah tiba masanya untuk kami beredar. Katil di hotel pun sudah mula memanggil untuk menyuruh kami mendarat di atasnya.

Konsep taman foodtrucks sebegini sebenarnya boleh diaplikasikan di tempat aku jika ada beberapa pengusaha bisnes tersebut betul-betul serius serta komited dalam mengerjakannya. Ianya tidak mustahil kerana di Kuching pun sudah ada projek sebegini. Asalkan kuasa membeli sentiasa ada, itu sudah memadai juga.

Mudahan projek sebegini dapat direalisasikan di tempat aku suatu hari nanti. Ianya tidak mustahil. Cuma perlu ada kuasa membeli yang kuat (dua kali aku sebut pasal ni, serius ni beb haha), beberapa pengusaha foodtrucks yang bersatu hati dan konsisten dalam perniagaan sebegini. Elemen-elemen ini sahaja sudah cukup untuk menghidup suasana begini.

Jari tunjuk langit


P/S: Selamat menjalai ibadah puasa buat semua.

Monday, May 15, 2017

Ziarah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (28 & 29 April 2017)

"Tengok-tengok buku. Jumpa tokoh-tokoh buku. Pertemuan tidak dirancang di kalangan ulat-ulat buku. Nasib baik tak jadi ulat bulu,"

Setelah hampir seminggu berkursus dan berkampung di akademi yang terletak di Bangi (bukan lokasi sebenar), sudah tiba masanya aku ke tempat yang sudah lama diidamkan. Tempat yang aku maksudkan ialah Putra World Trade Center (PWTC). Ini adalah kerana mulai hari ini bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2017) selama seminggu.

Serius cakap, perasaan aku ketika masuk ke bangunan ini seolah-olah seperti masuk ke sebuah festival muzik yang masyuk-masyuk seperti Woodstock, Reading mahupun Coachella (yang ini aku merujuk kepada status yang pernah ditulis oleh Nami Cob Nobbler sebelum ini). Banyak gila booth yang terdapat di sini. Ya Allah, hasutan syaitan untuk aku berbelanja boros mula menusuk kalbu. Aku betul-betul mabuk melihat lautan buku di sini.

Mula-mula aku singgah booth Fixi. Terbeli la jugak beberapa buku disebabkan terlihat tawaran yang "luarbiasa". Tapi tak ada yang istimewa sangat selain beberapa buku baru yang aku tak kenal penulisnya. Jangan silap, buku-buku baru ni best belaka cuma aku saja yang tak berapa into sangat kepada kebanyakan buku mereka.

Lepas tu terjumpa pula booth Roman X Selut. Mak aih, ini baru tempat aku. Mereka juga ada menjual buku puisi yang sudah lama aku cari seperti buku-buku karya Khoer Jurzani, Aloy Paradoks dan Arafat Hambali. Heaven betul rasa aku. Nak ditambahkan rasa teruja aku pula, tuan Aloy pun ada sekali di booth tersebut. Tak sah kalau tak ambil gambar dengan dia.

Seperti yang telah diwar-warkan dalam page Lejen Press di facebook, ada diadakan sesi penulis Nami Cob Nobbler bertemu bersama peminat. Jadi aku serta sahabat karib aku, Edham (bukan nama sebenar) pun tanpa membuang masa pergilah ke booth mereka. Sesampainya kami di booth Lejen, aku pun belilah novel terbaru Nami yang bertajuk "Natalia". Lepas beli jer aku pun terus ke meja Nami dan minta dia turunkan tandatangan ke buku-buku tulisan dia yang aku beli. Setelah aku bagitau yang aku pernah sumbangkan beberapa cerpen seram aku ke webpage SosialKrew (page ini dikelolakan oleh Nami sendiri), lalu kami pun berborak panjang seolah-olah sudah lama berkawan. Mana tak nya, selalu kami berinteraksi melalui facebook sahaja. Baru hari ini bersua muka.

Selesai sahaja berborak dengan Nami, kami pun pergi ke booth Thukul Cetak dan Dubook. Antara buku-buku yang dalam wishlist aku ialah koleksi buku puisi tulisan T. Alias Taib. Tapi malangnya buku tersebut tidak sempat dibawa ke PWTC atas beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Untuk memujuk diri, aku beli ajer la buku-buku apa yang ada. Buku T. Alias Taib tu aku boleh beli secara atas talian lain kali. Takdehal punya.

Nak dijadikan cerita, di booth yang sama juga kelihatan beberapa sosok-sosok yang aku cukup familiar. Aku terjumpa Muthalib Othman, ZF Zamir dan Faisal Tehrani. Apa lagi, aku ambil lah gambar sekeping dua sebagai tanda kenangan. Bolehlah aku jadikan sebagai modal untuk bercerita kepada cucu-cucu aku apabila sudah tua nanti. Haha.

Secara keseluruhan, ini betul-betul paradise buat ulat buku seperti aku. Terfikir juga dalam benak fikiran aku. Kenapalah tak dibuatkan festival buku sebegini di Sarawak, tanah tumpahnya darahku?

Sekadar pendapat aku yang bernilai 10 sen.

 Buat tanda pis di depan poster PBAKL 2017


 Bersama Aloy Paradoks, antara tulang belakang bagi rumah penerbitan Roman X Selut. Beliau juga merupakan seorang artis yang giat di dalam dunia teater.


 Bersama Nami Cobb Nobbler, penulis novel Awek Chuck Taylor dan Natalia. Best betul dapat jumpa peminat Radiohead berhati kental macam dia ni.


 Aku sepatutnya bertumbuk dengan Ejen Ali ni, tapi tak jadi disebabkan saiz badan dia lebih besar dari aku. Cuak siot.


 Bersama Dr. Faisal Tehrani. Novel beliau yang bertajuk "Cinta Hari-Hari Rusuhan" antara buku yang paling aku suka baca semasa zaman remaja dahulu. Masa itu novel tersebut diterbitkan oleh Creative Enterprise, syarikat sama yang menerbitkan majalah Gila-Gila.


 Bersama ZF Zamir, salah seorang penerbit buku yang bernaung di bawah label Thukul Cetak.


 Bersama Muthalib Othman, orang kuat disebalik label Dubook Press serta Thukul Cetak.


 Bersama rakan penulis yang pernah sama-sama berkolaborasi di dalam buku kompilasi cerpen seram yang bertajuk "Lebuhraya" (terbitan SO? Publishing)


 Jangan salah anggap. Aku tengah tanya pasal harga buku. Bukan mintak nombor phone awek tu. Please lah.


Antara rampasan perang dari pesta buku tersebut

 Pada hari keduanya iaitu 29 haribulan April 2017, aku kembali lagi ke PBAKL dalam melunaskan misi yang sama iaitu untuk membeli buku-buku puisi T. Alias Taib. Terserempak pula dengan Asma Nadia, penulis novel "Syurga Yang Tidak Dirindukan". Kelihatan beliau sedang fokus dalam mempromosikan novel-novelnya.


Bergambar kenang-kenangan bersama Asma Nadia. Oh ya, novel yang aku pegang itu memang aku beli khas untuk isteri aku. Maklumlah orang perempuan kan suka novel-novel jiwang macam ni.


Koleksi buku-buku puisi hasil nukilan T. Alias Taib, seorang penyair yang berasal dari Terengganu. Sajak terawal hasil nukilan arwah yang paling aku suka ialah "Status Simbol" yang pernah dideklamasikan oleh Pyan Habib di dalam filem Mat Som.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...