Showing posts with label penawar hati. Show all posts
Showing posts with label penawar hati. Show all posts

Wednesday, March 27, 2024

Love Will Never Die

At 40, Franz Kafka (1883-1924), who never married and had no children, walked through the park in Berlin when he met a girl who was crying because she had lost her favourite doll. She and Kafka searched for the doll unsuccessfully. Kafka told her to meet him there the next day and they would come back to look for her.

The next day, when they had not yet found the doll, Kafka gave the girl a letter “written” by the doll saying “please don’t cry. I took a trip to see the world. I will write to you about my adventures.”

Thus began a story which continued until the end of Kafka’s life.

During their meetings, Kafka read the letters of the doll carefully written with adventures and conversations that the girl found adorable.

Finally, Kafka brought back the doll (he bought one) that had returned. “It doesn’t look like my doll at all,“ said the girl.

Kafka handed her another letter in which the doll wrote: "my travels have changed me.” the little girl hugged the new doll and brought her happy home.

A year later Kafka died. Many years later, the now-adult girl found a letter inside the doll. In the tiny letter signed by Kafka it was written:

“Everything you love will probably be lost, but in the end, love will return in another way.”

(Source : Mohammad Esmat FB)

Thursday, June 30, 2022

QUE SERA SERA, WHATEVER WILL BE, WILL BE

 QUE SERA SERA, WHATEVER WILL BE, WILL BE

Aku suka quote yang diperkatakan oleh Keanu Reeves ini. Ianya merupakan salah satu kaedah yang matang untuk kita berhadapan dengan kehidupan tanpa dibelenggu dengan stress dan depresi.
Diusia aku sekarang, kalau boleh aku malas dah nak berhadapan dengan sebarang konfrontasi. Kalau boleh nak hidup dengan tenang tanpa berbalah dengan sesiapa pun.
Kehidupan kita terlalu singkat untuk memikirkan tentang hal-hal yang menyakitkan hati serta bertengkar sesama sendiri. Diharapkan semuanya baik-baik sahaja. Semoga kehidupan kita semua sudah boleh kembali seperti sebelum kedatangan COVID19. Amin.



Monday, April 4, 2022

DEFINISI "FIRASAT" MENURUT ISLAM (RUJUKAN DARIPADA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)

DEFINISI "FIRASAT" MENURUT ISLAM (RUJUKAN DARIPADA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)

Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan amat perlu bagi kita merujuk sumber-sumber yang sahih agar sebarang perbincangan benar-benar menepati maksud dan mencapai sasarannya.
Pertamanya, kami definisikan dahulu makna dan maksud firasat itu.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka: firasat adalah sesuatu yg dirasakan atau diketahui sebelum terjadi sesuatu peristiwa.
Pada istilahnya pula, firasat memberi maksud:
• Ustaz Syeikh Abu Ali Ad-Daqaq berkata, "Firasat adalah suara batin yang masuk ke dalam hati dan meniadakan kontradiksi. Setiap suara hati memiliki nilai hukum yang menguasai hati. Kata firasat merupakan pecahan dari kata farasa yang mengandung makna menerkam atau memburu. Farisah as-sabu'u memiliki makna terkaman binatang buas. Tetapi, makna pembandingnya tidak boleh diertikan dalam konteks hati sahaja. Keberadaannya adalah bergantung kepad kualiti iman. Setiap orang yang imannya lebih kuat, pasti firasatnya lebih tajam."
• Abu Said Al-Kharraz mengatakan "Barangsiapa melihat dengan cahaya firasat bererti dia melihat dengan cahaya Al-Haq. Sumber ilmunya berasal dari Al-Haq. Dia dapat melihat tanpa lupa dan lalai. Hukum kebenaran Tuhan mengiringi gerakan lidahnya. Manusia seperti ini berbicara dengan menggunakan pancaran sinar kebenaran Tuhan. Ucapannya yang menyatakan dia memandang dengan cahaya Al-Haq ertinya dia melihat dengan cahaya yang dikhususkan Allah kepadanya."
• Muhammad Al-Wasiti mengatakan, "Firasat adalah pancaran cahaya yang memancar ke dalam hati, penguasaan ma'rifat yang membawa rahsia-rahsia ke dalam hati, dari sesuatu yang gaib menuju yang ghaib sehingga dia mampu melihat sesuatu menurut sisi mana Tuhan memandang. Dia boleh berbicara dengan hati makhluk."
Dalil Firasat
Kami nyatakan di sini dalil berkenaan firasat. Firman Allah SWT:
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda." (Surah al-Hijr:75)
Sebagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata "al-Mutawassimin" dalam ayat ini:
• Ibn al-Qayyim rahimahullah berkata, "Mujahid berkata, ' (Mereka adalah) Para ahli firasat."
• Ibn 'Abbas RA berkata, ''’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar)."
• Qatadah berkata, "Orang-orang yang mengambil pelajaran."
• Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang Mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya."
• Imam al-Maraghi berkata, “Takutlah kepada firasat orang Mukmin kerana dia dapat melihat menerusi cahaya Allah SWT. Kemudian Nabi SAW membaca: ‘Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar, terhadap tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi yang memerhatikan tanda-tanda. Ada dua bentuk firasat iaitu:
1. Apa yang diletakkan oleh Allah SWT di dalam hati orang yang soleh sehingga mereka mengetahui perihal manusia menerusi taksiran dan perkiraan.
2. Sesuatu yang diketahui melalui petunjuk pengalaman dan akhlak.
Orang dahulukala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Ilyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman,
وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: "Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu." (Surah Muhammad :30)
Sebagian orang-orang soleh menyatakan, "Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset."
Ibn al-Qayyim mengatakan, "Rahsia hal ini, bahawa suatu perbuatan akan dibalas dengan hal yang setimpal. Barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari apa yang diharamkan Allah, maka Dia akan menggantinya dengan yang sejenisnya, yang lebih baik dari itu. Sebagaimana dia telah mengekang cahaya pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, maka Allah melepaskan cahaya batin dan hatinya sehingga dengannya dia dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang melepaskan pandangannya namun tidak menjaganya dari hal-hal yang diharamkan Allah SWT."
Firasat hanya dimiliki oleh seorang Mukmin sedangkan selain Mukmin tidak memiliki firasat tetapi hanyalah ilusi. Oleh itu, perlu dibezakan antara firasat dan prasangka (zhan), kerana prasangka boleh jadi salah dan benar, boleh terjadi dengan ketaatan atau kemaksiatan, dengan hati yang hidup, sakit atau mati dan juga di antaranya ada yang haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa." (Surah al-Hujurat:12)
Hadith اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
Sabda Rasulullah SAW:
اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”
Riwayat al-Turmuzi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat (7843)
Firasat Imam al-Syafie
Berkenaan dengan firasat Imam al-Syafie dimana al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang muridnya pernah berkata: “Apabila kami masuk menemui Imam al-Syafie ketika hampir meninggal dunia, lantas beliau memandang dengan renungan tajam kepada kami semua seraya berkata: ‘Kamu hai Abu Ya’qub (Al-Buwaiti) akan mati dengan besi kamu. Kamu pula hai al-Muzani akan menguasai Mesir sehingga kamu dianggap secerdik manusia pada zamanmu. Adapun kamu hai Muhammad, akan mengikut kembali mazhab ayahmu iaitmu mazhab Maliki. Sedangkan kamu hai al-Rabi’, banyak memberi manfaat kepadaku dalam menyebarkan kitab dan mazhabku.”

Ternyata apa yang difirasatkan oleh Imam al-Syafie adalah benar belaka. Itulah tajamnya firasat Imam al-Syafie dan benarlah sabda Nabi SAW seperti dalam hadith yang kami nyatakan di atas.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya dengan sebaik mungkin.




Thursday, February 10, 2022

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

Pada tahun 1987, aku dan keluarga masih lagi tinggal di Miri. Pada ketika itu kami tinggal di sebuah kawasan perumahan bernama Taman Bumiko. Ianya terletak tidak jauh dari kawasan bandar, hanya beberapa minit perjalanan menggunakan kereta.
Semasa kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan tersebut, arwah datuk serta nenek sebelah mak aku kerap ke Miri untuk menziarahi kami. Mereka berdua sebenarnya berasal dari sebuah perkampungan yang terletak tidak jauh dari Tanjung Manis iaitu Kampung Rajang. Kampung ini terletak berhampiran dengan kawasan Belawai. Boleh check di Google untuk kepastian.
Arwah datuk aku ni jenis yang happy go lucky. Dia ni senang dibawa berjalan ke mana-mana. Dia suka mencuba pelbagai makanan di sesuatu kawasan yang baru diterokainya. Paling dia gemari ialah western food terutama sekali burger. Ayat yang paling iconic serta masih aku ingat sehingga kini tentang arwah datuk aku ialah "kau luk keman baga!" (dari bahasa melanau yang bermaksud "aku nak makan burger"). Ayat itu juga sering didengari ketika arwah bertandang di rumah kami.
Pada suatu hari semasa arwah datuk dan nenek tinggal sementara di rumah kami ketika itu, berlaku satu insiden yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Masa itu aku masih lagi kecil, umur aku dalam lingkungan 7 tahun begitu. Arwah datuk tiba-tiba ajak aku seorang sahaja pergi ke bandar semata-mata nak makan burger di Sugarbun. Kepada mereka yang tidak tahu, Sugarbun merupakan sebuah perniagaan makanan berbentuk franchise yang sangat popular di Sarawak. Kalau di Filipina ada Jollibee, di Sarawak pula ada Sugarbun.
Maka kami berdua pun pergilah ke bandar menggunakan bas. Aku masih ingat lagi, masa itu tambang bas cuma 30 sen. Sesampai sahaja kami di terminal bas, datuk mengajak aku pergi ke Wisma Pelita Tunku. Wisma ini sebenarnya merupakan sebuah kompleks membeli belah yang sangat popular di Miri pada tahun 80'an. Boleh dikatakan ianya bagai satu mercu tanda kemajuan di Miri pada ketika itu. Kalau di Pulau Pinang ada Komtar, Miri ada Wisma Pelita Tunku.
Di bahagian tingkat bawah kompleks membeli belah tersebut, terdapat restoran Sugarbun yang menjadi lokasi tumpuan kami berdua. Tanpa berlengah masa, aku serta arwah datuk masuklah ke dalam restoran tersebut. Kami berdua mengambil tempat duduk serta meja yang bersebelahan dengan cermin, senang untuk kami melihat gelagat orang ramai dari luar restoran tersebut. Agak lama jugalah kami duduk tercegat di tempat duduk tersebut tanpa disapa atau dilayan oleh sesiapa pun, termasuk pelayan di restoran tersebut.
Tidak lama selepas itu, datang seorang pelayan restoran tersebut ke arah kami berdua. "Pakcik, minta maaf ya. Kalau nak ambil order makanan, sila ke kaunter. Ini restoran layan diri," kata pelayan tadi.
Menggelabah juga arwah datuk aku masa itu. Manalah dia tahu restoran itu berkonsepkan layan diri. Tapi arwah datuk aku cukup selamba, dibawanya aku sekali ke kaunter. Kami pun sama-sama memilih makanan yang dimahukan. Arwah datuk aku semestinya memilih burger daging kesukaannya. Haha. Seronok tengok dia makan.
Kini selepas 33 tahun, aku kembali ke Wisma Pelita Tunku. Keadaan di tempat itu sudah tidak ceria dan sibuk seperti dahulu. Tidak ramai pengunjung yang datang, malah banyak kedai sudah tutup dan tidak beroperasi lagi. Mungkin disebabkan kegawatan ekonomi akibat pandemik COVID19 yang berlaku sekarang.
Ajaibnya restoran Sugarbun yang pernah dikunjungi oleh arwah datuk dan aku dahulu masih lagi beroperasi seperti biasa. Malah ada perkhidmatan Food Panda disediakan oleh franchise perniagaan berkenaan. Cuma itulah, keadaan di dalamnya sunyi sepi. Semasa aku masuk ke dalam restoran tersebut, aku disapa oleh pelayan di kaunter. Tanpa berfikir panjang, aku order burger ayam ala carte satu dan beberapa ketul naget untuk anak aku. Selesai berurusniaga di kaunter, aku terus keluar dari premis berkenaan.
Tanpa disedari, ada air mata mengalir di pipi semasa aku memegang plastik berisi burger dan naget tersebut. Aku rindu arwah datuk.
Innalillah wa inna ilaihi rojiun




Wednesday, December 29, 2021

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

Hari ini sudah genap 5 tahun arwah adikku Alifh Omar meninggal kami buat selamanya. Segalanya berlaku terlalu pantas, tanpa disedari pemergiannya sudah pun menjangkau 5 tahun.

Selepas pemergian adinda kami Alifh Omar, aku serta keluarga dalam keadaan yang teramat sedih. Ketika itu, aku bagaikan tiada semangat nak turun kerja, kadang-kadang terasa macam putus asa untuk teruskan kehidupan. Aku asyik terfikirkan arwah dan juga keadaan ibu bapaku yang masih trauma dengan kejadian itu. Ibu bapaku bukanlah sihat sangat. Berita yang mengejutkan seperti ini membuatkan mereka menjadi kemurungan serta sakit serta-merta.

Alhamdulillah, berkat sentiasa ingat dengan Allah dan menerima qada dan qadarnya, kami sekeluarga sedikit demi sedikit mampu meneruskan kehidupan. Walaupun masih sukar untuk keluar dari kepompong kesedihan, namun demi anak-anak (terutama sekali anak-anak arwah), hidup ini harus diteruskan juga.

Mana mungkin kami dapat melupakanmu. Sedangkan namamu masih lagi berlegar di dalam setiap doa-doa kami. Semoga Allah mencucuri rohmu dengan segala rahmatNya dan meletakkanmu di kalangan golongan orang-orang yang dicintaiNya.

Kami terlalu merinduimu.

Allahu marghfirlahu warhamhu wa'a'fihi wa'fu'anhum



Monday, December 20, 2021

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

Pejam celik dan tanpa disedari, sudah 18 tahun aku meninggalkan zaman kolej aku. Aku dahulu pernah melanjutkan pelajaran di sebuah kolej dibawah seliaan MARA yang terletak di Beranang, Selangor. Bercerita pasal tempat aku study dulu ni, ada sesetengah orang Selangor pun tidak pernah dengar nama pekan kecil itu. Boleh dikatakan ianya tempat jin bertendang.

Setelah mengambil masa 2 tahun 6 bulan dalam tempoh tersebut, aku telahpun berjaya menghabiskan pengajian di sana. Pelbagai kisah suka duka yang aku perolehi di kolej tersebut. Penuh ranjau dan onak duri, chewah. Haha. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi yang aku berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cukup makan.

Gambar di bawah diambil semasa sehari sebelum hari konvokesyen aku yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Masa ini aku serta keluarga menetap sementara di Hotel Kowloon yang terletak tidak jauh dari Jalan TAR. Selain keluarga aku, kami juga didatangi dengan sahabat baik dengan sepupu aku.

Masih lagi merujuk kepada gambar di bawah. Dari kiri ialah sahabat baik aku Mohamad Luqman, Almarhum Alifh Omar (adik aku), Aku, Tam Spider (ya, ni betul-betul punya, bukan edit guna photoshop), adik aku Ariffin, Muslim dan sepupu aku Suharto Sedik. Pada masa ini kebetulan jumpa Tam Spider yang baru sahaja selesai makan malam di kedai mamak tidak jauh dari hotel yang kami diami.

It was a blast! Banyak kenangan manis masa ni. Kami adik beradik beserta rakan dan sepupu aku pergi ronda-ronda sekitar Kuala Lumpur dari Sogo sehinggalah ke Bukit Bintang. Kalau di tempat kami, agak jarang berjumpa dengan gedung membeli belah yang luas dan besar macam di sini. Kalau ada mesin merentas masa, ingin sangat nak kembali ke zaman ini. Huhu.



Sunday, December 5, 2021

APA KATA AL-QURAN APABILA KITA TELAH MENCECAH UMUR 40

APA KATA AL-QURAN APABILA KITA TELAH MENCECAH UMUR 40

Tiba-tiba aku teringat dengan kata-kata bekas vokalis Infectious Maggots iaitu saudara Fathullah semasa beliau ditemuramah oleh Iman Tang dan Edy J melalui Instagram baru-baru ini. Beliau berkata tentang umur 40 di mana terdapat satu surah di dalam Al Quran yang menceritakan secara spesifik mengenai usia tersebut. Ianya berkenaan dengan Surah Al Ahqaf ayat 15, perbetulkan aku jika aku silap.
Dalam beberapa bulan lagi usia aku akan menganjak ke angka 40. Seharusnya aku kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba Allah yang bersyukur kepadanya kerana masih lagi diberi peluang untuk bertaubat kepadaNya, berbakti kepada mak ayah dan juga beramal soleh. Ya, aku sedar yang kudrat aku sudah tidak macam dulu lagi. Ada ketikanya perwatakan aku tidak mencerminkan usia aku sebenar (masih merasakan jiwa muda remaja). Mentaliti begini aku kena ubah, dan seharusnya selari dengan usia aku juga.
Di bawah merupakan artikel yang berkaitan usia 40, diambil dari page Facebook "kumpulan hadith sahih". Diharap ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua. Amin.
******************************************
Al-Qur'an Menyebut Umur 40 Tahun
Allah memberi perhatian khusus tentang angka 40 ini:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya akutetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; danjadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).”
(Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)
Ayat ini menyatakan umur 40, iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Syaratnya dia mulai daripada sejak dia baligh lagi. Kebanyakkan ulama’ bersungguh-sungguh dalam beribadah mengurangi tidurnya, ketika mencecah usia ini.
Dalam ayat ini juga Allah berpesan supaya;
1. Berbakti kepada kedua ibu-bapa (ada ayat lain dalam surah al-Isra’ dan Luqman) kerana jika dia sudah 40 tahun pasti ibu-bapanya sudah melepasi 60 tahun, umur yang memerlukan banyak bantuan.
2. Mensyukuri nikmat iaitu dengan beramal soleh yang diredhaiNya (menjadikan semua nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk beramal soleh)
3. Bertaubat dan berserah diri, maksudnya tidak mahu lagi buat maksiat dan menyedari kita adalah hak Allah dan akan kembali kepadaNya. Maknanya apabila sudah mencapai umur 40 tahun sudah tidak ada dosa, sudah capai puncak keIslaman dan berjaya mendidik putera dan puterinya.
Biasa kita dengar pendapat Helen Rowland “Life Began at Forty?”. Semua ni tidak benar sepatutnya inilah masa penanda aras menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka. Barat memperdayakan dengan fakta umur.Lihatlah bagaimana mereka cuba meresapkan ideology untuk memperdayakan Islam. Kita pulak tersenyum dan bangga bila menerimanya. Kononnya kita mengikut arus kemodenan ideology. Tapi lebih nyata kalau kita terima istilah orang tua- tua dulu menyatakan “Rumah Kata Pergi, Kubur Kata Mari “
“Jika sampai umur 40 tahun dan tidak ambil tahu langsung tentang asal kejadiannya, dan kewajibannya dan tidak mahu bertaubat, maka Syaitan akan mengusap dahinya dan gembira dia kerana orang ini tidak ada gunanya di dunia dan di akhirat”.
“Seseorang hamba yang muslim itu, apabila sampai 40 tahun Allah ringankan hisabnya, apabila sampai 60 tahun Allah anugerahkan kepadanya rezeki suka kembali kepadaNya (banyak bertaubat), apabila sampai 70 tahun Allah jadikan dia dikasihi oleh ahli langit, apabila sampai 80 tahun Allah teguhkan hasanahnya dan Allah hapuskan sayyi’ahnya (kejahatannya), dan apabila sampai 90 tahun Allah ampunkan apa yang terdahulu dan yang terkemudian daripada dosa-dosanya, Allah izinkan dia memberi syafa’at kepada ahli rumahnya dan dituliskan namanya di langit sebagai tawanan Allah yang berada di bumi”.Riwayatal-Hafidzal-Musili
Al-Alusi, pengarang kitab tafsir Ruh al-Ma’ani berkata, telah disebut oleh bukan seorang bahawa manusia itu apabila telah mencapai umur ini, akhlaknya telah begitu kuat bertapak pada dirinya, hampir-hampir tidak akan dapat dihilangkan lagi selepas itu. Beliau membawakan sepotong hadis tanpa menyebut perawinya. Hadis itu bermaksud: “Sesungguhnya syaitan mengheretkan tangannya di atas muka orang yang mencapai umur 40 tahun dan tidak bertaubat sambil berkata, “demi bapaku, wajah yang tidak akan berjaya.”
Selain itu beliau membawakan satu Hadis yang dikeluarkan oleh Abu al-Fath al-Azadi daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
Al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi adalah seorang laki-laki yang shalih, cerdas, sabar, murah hati, berwibawa dan terhormat. Ia berkata, "manusia yang paling sempurna akal dan pikirannya adalah apabila telah mencapai usia 40 tahun. Itu adalah usia, di mana pada usia tersebut Allah Ta'ala mengutus Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, dan fikiran manusia akan sangat jernih pada waktu sahur." (Lihat: al-Wafyat A'yan, Ibnu Khalkan: 2/245)
Keistimewaan Umur 40 Tahun
Sebahagian orang menyebut, umur empat puluh tahun penuh teka-teki dan penuh misteri. Sehingga terbit sebuah buku berjudul, "Misteri Umur 40 tahun" yang diterbitkan pustaka al-tibyan – Solo, diterjemahkan dari buku berbahasa Arab, Ya Ibna al-Arba'in, oleh Ali bin Sa'id bin Da'jam.
Seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun berarti akalnya sudah sampai pada tingkat kematangan berfikir serta sudah mencapai kesempurnaan kedewasaan dan budi pekerti. Sehingga secara umum, tidak akan berubah keadaan seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun.
Al-Tsa'labi rahimahullah berkata, "Sesungguhnya Allah menyebutkan umur 40 tahun karena ini sebagai batasan bagi manusia dalam keberhasilan maupun keselamatannya."
Ibrahim al-Nakhai rahimahullah berkata, "Mereka berkata bahwa jika seseorang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya." (Lihat: al-Thabaqat al-Kubra: 6/277)
Allah Ta'ala telah mengangkat para nabi dan Rasul-Nya, kebanyakan, pada usia 40 tahun, seperti kenabian dan kerasulan Muhammad, Nabi Musa, dan lainnya 'alaihim al-Shalatu wa al-Sallam. Meskipun ada pengecualian sebagian dari mereka.
Imam al-Syaukani rahimahullah berkata, "Para ahli tafsir berkata bahwa Allah Ta'ala tidak mengutus seorang Nabi kecuali jika telah mencapai umur 40 tahun." (Tafsir Fathul Qadir: 5/18)
Dengan demikian, usia 40 tahun memiliki kekhususan tersendiri. Pada umumnya, usia 40 tahun adalah usia yang tidak dianggap biasa, tetapi memiliki nilai lebih dan khusus.
Memperbaharui Taubat
Usia 40 tahun haruslah menjadi titik tolak dan perbaharuan taubat penyesalan seseorang atas dosa-dosa dan kufur nikmat selama hidupnya. Karena pada usia ini benar-benar telah merasakan banyaknya nikmat dan tidak sebandingnya rasa syukur terhadapnya. Maka pengakuan dosa pasti akan mengalir dari orang yang mau merenungkan masa lampaunya, sehingga dari itu lahir penyesalan, tumbuh istighfar dan taubat kepada Allah.
" Wahai Allah , Tuhan kami , tunjukilah kami untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami dan kepada ibu bapak kami dan karuniakan kami untuk dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai .. berilah kebaikan kepada kami dan anak cucu kami .. Sesungguhnya kami bertobat kepada MU dan sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang berserah diri."
" Wahai Allah, Tuhan kami , bantulah kami untuk berdzikir, bersyuku dan memperbaiki ibadah-ibadah kami kepada-Mu."
Marilah kita bersama-sama berdoa agar sisa-sisa umur kita ini dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat, dalam redha Allah. Kita Cuma harapkan rahmat dan keampunan Allah Ta’ala.
Rasulullah saw bersabda, “Tak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya, dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan”.(HRTirmidzi).
Usia lanjut juga merupakan sebuah keistimewaan. Dalam sebuah hadits qudsi Rasulullah saw menyampaikan firman Allah SWT, “Demi kemuliaan-Ku, keagungan-Ku, dan keperluan hamba-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu menyiksa hamba-Ku, baik laki-laki mahupun perempuan, yang telah beruban kerana tua dalam keadaan muslim“. Dalam hadits lain beliau bersabda, “Sebaik-baik di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya”. (HR At-Tirmidzi).
Sekian, mudah-mudahanan memberi manfaat.

Selamat harjadi buat aku :)




Thursday, September 9, 2021

KESAN-KESAN SAMPINGAN SELEPAS PENGAMBILAN DUA DOS VAKSIN COVID-19 (COMINARTY)

 (Entri ini asalnya ditulis pada 21 Jun 2021)

Kesan-kesan sampingan yang aku nak bagitahu ni sebenarnya merujuk kepada pengalaman peribadi aku sahaja sebab aku yakin setiap individu mempunyai interaksi yang berbeza terhadap vaksin ini. Apa-apapun ianya hanyalah bersifat sementara dan kebanyakannya bertahan dalam tempoh lebih kurang 48 jam begitu.
Aku telahpun melengkapkan 2 dos vaksin cominarty (pengeluarnya Pfizer BioNTech) pada sabtu lepas (19 Jun 2021) dan mendapatkannya lebih kurang pukul 10 pagi begitu. Selesai sahaja mendapatkan suntikan tersebut, aku terus balik rumah. Seperti suntikan kali pertama dahulu, kepala aku terasa mengantuk sangat. Setelah selesai mandi dan solat, aku pun tidur sekejap.
Mimpi ngeri bermula apabila aku bangun tidur petang tersebut. Antara tanda-tanda yang aku alami ialah:
1. Suhu badan naik mendadak
Keadaan menjadi sedikit panik apabila suhu badan aku naik menjadi 3.7 celcius begitu. Kalau dibawa pergi supermarket ni confirm aku tidak dapat masuk. Akan tetapi selepas beberapa jam kemudian, suhu mula reda sedikit namun badan masih lagi terasa panas. Demam teruk jugalah dibuatnya.
2. Lenguh pada sendi-sendi
Paling tidak boleh tahan apabila sendi-sendi di kaki dan tangan mula terasa lenguh lain macam. Aku nak berjalan pun terasa menyeksakan. Kejadian begini berlaku hampir 2 hari.
3. Urat leher terasa menegang
Oleh kerana aku pernah mengalami masalah kolesterol dan masih lagi memakan ubat darah tinggi, maka simptom sebegini bukanlah asing bagi aku. Kepada mereka yang masih lagi mempunyai masalah darah tinggi, keadaan ini sangat biasa dialami. Namun apabila ianya datang selepas menerima vaksin kedua ni, terasa beban yang teramat sangat.
4. Pening kepala
Pernah terbaca beberapa info sebelum ini bahawa kena makan ubat panadol selepas vaksin dos kedua. Aku ingatkan ianya tidaklah penting sangat. Aku silap. Nasib baiklah ada beberapa tablet Panadol Activfast yang tinggal di dalam simpanan aku. Kepeningan yang dialami sebenarnya tidaklah teruk sangat, cuma rasa tidak selesa apabila ianya bergabung dengan masalah lain seperti sengal badan dan demam.
Nasihat aku, perlu banyak minum air kosong selepas vaksin kedua, sediakan panadol dan koyok jika perlu dan banyakkan berehat. Pengalaman aku, selepas hari ketiga, penyakit-penyakit tersebut mula beransur hilang dan aku boleh bekerja seperti biasa. Jangan risau, ianya hanyalah tindak balas antibodi kita terhadap vaksin tersebut dalam membentuk imuniti secara sempurna.



Thursday, July 8, 2021

KE ARAH PEMIKIRAN NARCISSISTIC ATAUPUN SEKADAR IGNORANCE?

Apabila kita semakin berusia terutama sekali menganjak umur 40 tahun, kita akan berada di dalam situasi di mana cara berfikir lebih kepada "selesa dengan apa yang ada" di sekeliling kita. Kita akan lebih cenderung mengagungkan zaman silam kita berbanding meraikan perbezaan dengan golongan lebih muda. Tidak semuanya berfikiran sebegini namun sebahagian besar lebih ke arah mentaliti sebegini.
Bagi pendapat aku lah, adakalanya generasi baru mempunyai idea-idea yang relevan dengan situasi semasa. Aku cuba mengelakkan berfikiran jumud dalam banyak hal. Lebih-lebih lagi jika melibatkan hobi serta passion aku terhadap sesuatu. Sebagai contoh dalam dunia muzik, aku cuba sedaya upaya memahami selera muzik mutakhir. Tapi yang pastinya tidak semua yang dapat masuk kepala. Mungkin hanya sebahagian besar sesuai dengan selera, ada tertentu yang sukar diterima.
Kadang-kala jika sudah berusia, ramai yang sudah selesa dengan comfort zone masing-masing. Hanya sebilangan kecil yang ingin keluar dari kepompong dan mencuba hal-hal yang baru. Perkara ini tidaklah menunjukkan satu kekurangan ataupun sisi negatif sebenarnya, kita kena ambil kira faktor usia, tenaga dan masa juga. Ramai yang berfikir, jika ingin mencuba sesuatu hal yang di luar norma, nescaya akan membawa kepada buang masa dan tenaga. Mungkin betul, mungkin juga sebaliknya.
Penyelesaiannya, bagi mereka yang seusia dengan aku, cubalah untuk berfikiran terbuka walaupun sedikit. Tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Dalam masa yang sama, janganlah lupa jatidiri serta pengalaman kita yang lepas kerana perkara sebeginilah membentuk peribadi kita sekarang.

Thursday, May 20, 2021

BAYANGKAN JIKA MALAYSIA SENASIB SEPERTI PALESTINE

Ya, aku tahu. Isu ini bukan benda baru. Konflik Palestine dan Israel ini sudah wujud sejak hampir 7 dekad lamanya. Isu ini sudah pun berlegar di kebanyakan media massa sejak kita baru lahir lagi. Ramai yang bersikap ignorant merasakan ianya sudah basi untuk diperkatakan dan muak dengan situasi tersebut. Namun ada juga yang masih bersimpati dengan apa yang terjadi.

Masih ramai juga di antara kita dalam masyarakat Malaysia tidak peka dengan apa yang berlaku di sana. Mungkin bagi mereka ianya tidak ada kena mengena dengan negara kita. Pilihan di tangan masing-masing. Samada kita mahu duduk selesa di rumah tanpa menghiraukan kesusahan mereka ataupun sama-sama membantu meringankan kesengsaraan mereka, ianya bergantung kepada keputusan kita sendiri.
Aku bercakap bukan memihak kepada mana-mana agama ataupun bangsa. Aku cuba untuk berlaku adil buat semua apabila membicarakan tentang hal ini. Bagi sesetengah pihak, ianya agak complicated untuk dibincangkan disebabkan ada sentimen keagamaan yang dicampur-adukkan, walhal ianya lebih kepada isu kemanusiaan. Sesiapa sahaja harus merasa simpati dengan kesengsaraan mereka di Palestine, bukan setakat umat Islam sahaja. Ini adalah isu umat manusia sejagat, bukan hanya memihak kepada sebahagian kelompok sahaja.
Berbalik kepada tajuk asal perbicangan ini, bagaimana jika tiba-tiba sahaja pelarian berbangsa Yahudi (beraliran ekstrimis) datang ke tanah Malaysia (pada mulanya Malaysia akan merasa simpati kepada mereka kerana kebanyakan mereka adalah mangsa Holocaust pada perang dunia kedua) akan tetapi mereka mula mengambil tanah kepunyaan rakyat asal dan mengusir kesemua penduduk peribumi seperti apa yang berlaku pada peristiwa Nakba (Palestinian Exodus) di dalam tahun 1948? Pihak yahudi ekstrimis ini boleh sahaja claim yang Gunung Pahang, Gunung Santubong ataupun Gunung Kinabalu adalah sebenarnya tapak kuil nabi Sulaiman seperti yang mereka claim di Palestine. Mereka boleh sahaja berkata Messiah mereka akan jatuh ke bumi Malaysia berdasarkan kepercayaan mengarut mereka. Ini cuma hypothetical speaking.
Kebenarannya tidak begitu. Masih ramai lagi masyarakat Yahudi Hasidic di United Kingdom dan Amerika mengutuk serangan Zionist terhadap Palestine. Anda boleh rujuk tentang kelompok Neturei Karta di Google, sebuah komuniti Yahudi yang membantah sekeras-kerasnya keganasan regime Zionist. Bagi aku puak Yahudi ini mengamalkan toleransi yang sangat baik berbanding sebahagian mereka yang berfikiran sekular seperti di Israel. Pihak kerajaan Ireland mengutuk sekeras-kerasnya pembabitan kerajaan UK dalam pembentukan negara haram Israel, ramai juga ahli politik negara itu yang membenci tindakan bacul pihak Zionist tersebut. Ahli parlimen Amerika, Norman Gary Finkelstein, seorang berbangsa yahudi (ayah dan ibunya merupakan bekas tahanan Auswitz semasa perang dunia kedua) merupakan salah seorang ahli politik berpengaruh di negaranya yang lantang mengutuk serangan Israel terhadap Palestine selama ini. Beliau masih lagi menjadi aktivis yang giat menentang keganasan tersebut.
Hakikatnya memang begitulah. Isu Palestine dan Israel ini tidak seharusnya dilihat dari aspek keagamaan semata-mata, ianya wajib dinilai dari segi kemanusiaan. Bayangkan rakyat Palestine yang beragama Kristian juga dibunuh dengan kejam di sana (boleh saksikan sendiri apa yang berlaku di hari Natal hampir setiap tahun, namun media massa antarabangsa banyak menutup isu ini). Jadi kepada rakan-rakan beragama Kristian di Malaysia, berdoa jugalah buat mereka yang seagama kamu di Palestine sebagaimana kami umat Islam mendoakan sahabat-sahabat seagama kami. Zionist menindas tidak kira apa agama pun selagi mereka adalah rakyat Palestine. Percayalah, jika kita sebagai rakyat majmuk tinggal di Palestine, nescaya tidak ada satu pun daripada kita akan terlepas dari kekejaman mereka.
Ada beberapa artis serta kumpulan rock dari dunia barat juga menyokong pihak Palestine seperti Roger Waters (salah seorang pengasas band Pink Floyd), Rage Against The Machine dan Gamma Ray, sekadar menamakan sebahagian. Mereka dikecam teruk oleh sebahagian kecil peminat mereka kerana memihak kepada Palestine. Peminat mereka yang sebegitu sebenarnya kurang peka dengan situasi sebenar dan hanya menerima secara membabi buta dengan apa sahaja berita dari CNN dan Fox News (pro Israel).
Bagaimana pula dengan Hamas? Mereka cuma membuat retaliation dan self defense terhadap apa yang berlaku. Media barat dan Israel terlalu mudah melabelkan mereka sebagai teroris sedangkan pihak yang paling awal melakukan kekejaman ialah Israel. Jika kita lihat dari kekuatan ketenteraan, Zionist lebih berteknologi tinggi dan mempunyai kekuatan nuklear yang entah datang dari mana. Jadi siapa yang lebih dominan? Hamas dengan senjata mereka yang terhad ataupun Zionist dengan bala tentera mereka yang canggih?
Ketahuilah, sebelum peristiwa Nakba pada tahun 1948, Palestine merupakan sebuah negara berdaulat yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan agama. Ada 3 agama utama yang tinggal dengan harmoni di Palestine suatu ketika dahulu iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Sehingga kini masih ada lagi puak Yahudi asal Palestine yang berani menentang keganasan Zionist.
Apa yang kita mampu di Malaysia lakukan ialah berdoa (tidak kira apa agama sekalipun) agar konflik ini cepat berakhir dan disegerakan urusan perdamaian. Semoga bumi Palestine kembali menjadi sebuah negara sebenarnya sebelum invasi pada peristiwa Nakba.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...