Showing posts with label music review. Show all posts
Showing posts with label music review. Show all posts

Monday, January 3, 2022

ULASAN RINGKAS CD : ALENA MURANG - SKY SONGS (2021)

ULASAN RINGKAS CD : ALENA MURANG - SKY SONGS (2021)

Jika anda meminati genre "world music" dan mengetahui hal-hal terkini tentangnya, nama Alena Murang sudah semestinya seringkali menjadi sebutan di kalangan pentaksub irama sebegini. Artis yang bernama Alena Murang sudah banyak kali membuat persembahan di luar negara sepeti Amerika Syarikat, Jerman, Czech Republic, France, Australia dan semestinya di festival Rainforest World Music yang bertempat di Kuching, Sarawak sebelum adanya pandemik.

Alena Murang yang mempunyai darah kacukan Kelabit dan Itali ini sudah pun mempelajari kaedah bermain muzik Sape' sejak tahun 2000 dan di antara guru-gurunya ialah master Mathew Ngau dan Salomon Gau (beberapa individu penting yang bertindak sebagai tenaga pengajar dalam dunia muzik sape').

Album "Sky Songs" rilisan tahun 2021 ini merupakan sebuah karya bagi kesinambungan untuk EP terawal beliau yang bertajuk "Flight" (dikeluarkan pada tahun 2016). Mempunyai 8 buah lagu kesemuanya, album "Sky Songs" memberikan satu pengalaman baru dalam mengamati muzik kerana lagu-lagu di dalamnya adalah fusion di antara muzik tradisional dengan irama kontemporari.

Hampir kesemuanya lagu-lagu di dalam album ini sangat seronok didengar. Akan tetapi ada beberapa lagu yang mampu membuka mata serta memberikan kelainan seperti Maya', Warrior Spirit dan Thunder & The Moon (feel lagu ini seolah-olah mendengar muzik band Tool terutama sekali pada bahagian korus).

Manakala lagu berjudul "Sunhat Song" pula lebih ke arah rock & roll dan blues namun diselangi juga dengan elemen tradisional. Lagu ini agak menarik sebab liriknya seolah-olah menggalakkan kita untuk pergi ke kawasan hulu Sarawak seperti di Bario, Bakelalan dan Mulu, semata-mata untuk kembali kepada alam.

Rating? 4/5

P/S : Terima kasih buat Bandat Record Store! You guys are the best.




Monday, November 22, 2021

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

Pada 23 September 2021, brader Roslan menghadiahkan beberapa kaset dari zaman silamnya. Ianya merupakan beberapa kaset genre black metal hasil daripada beli atau trade melalui interaksi dengan beberapa distro tempatan pada lewat 90'an dan awal tahun 2000 dahulu. Katanya, hobi membeli kaset black metal seperti ini juga diamalkan oleh seorang sahabatnya iaitu Alim. Mereka berdua pernah menubuhkan sebuah band black metal sekitar pertengahan dekad 90'an yang dikenalk dengan nama "Meragen". Pembelian kaset-kaset bermula dari membaca beberapa fanzine genre metal di waktu tersebut di mana terdapat beberapa distro membuat senarai kaset dari luar negara untuk diniagakan kepada para pembaca.
Antara kaset tersebut ialah band Pest (black metal dari Finland), Jääportit (juga band black metal dari Finland akan tetapi dari cover artwork ni aku dapat rasakan ianya ke arah atmospheric), Jackal's Truth (black metal dari Greece, dari gambar band pun dah ala Rotting Christ) dan juga Lathebra (black metal dari Italy, yang ini sebijik macam Mayhem dengan corpse paint dan entah apa-apa lagi). Kondisi masih elok dan tidak berkulat. Menakjubkan sebab walaupun sudah berusia 20 tahun, kaset ini masih nampak elok dan boleh dimainkan.
Selepas menerima kaset-kaset ini tadi, terasa nak study pasal band-band ini dan cuba merujuk pada beberapa koleksi zine lama-lama aku. Manalah tau terserempak nama band ni kat dalam zine. Kalau guna Google pun ok gak, cuma itulah kadang-kadang info pun tak banyak mana sebab rilisan ini boleh dikira agak obscure dan susah nak cari sekarang.
Kita mulakan dengan band "Jackal's Truth" dengan demo nya yang bertajuk "Dominus Silvae" (1997). Band ini membawakan genre epic / melodic black metal. Ianya dianggotai oleh Kostas (vokalis, gitar), Zacharias (gitar), George (bass), George A. (drums) dan dibantu oleh pemain keyboard selaku sesionist iaitu Grigoris. Kaset demo ini hanya mempunyai 3 buah lagu sahaja iaitu "Opening...The Veil Of Wisdom", "Jackal's Truth (Part 1 & 2)" dan "The Nameless City". Demo ini banyak menghasilkan bunyian keyboard yang mengasyikkan dan melodi gitar yang menarik. Ianya seperti mendengar album "Triarchy Of The Lost Lovers" (1996) dari band Rotting Christ. Band yang berasal dari Greece ini mula aktif pada tahun 1996 dan telah pun berpecah. Tidak dinyatakan pula dalam website Encyclopedia Metallum bila tahun sebenar band ini berpecah. Band ini sempat menghasilkan sebuah demo dan menyertai projek album kompilasi.
Kemudian kita teruskan dengan ulasan kaset dari band Lathebra dengan kaset demo mereka yang berjudul "Angel's Twilight Odes" (1997) yang diriliskan oleh label Noctilucae Creationes. Band yang membawakan genre melodic black metal ini mula ditubuhkan pada tahun 1996 dan dibubarkan pada akhir dekad 90'an. Kaset demo "Angel's Twilight Odes" ini merupakan satu-satunya rilisan mereka. Dianggotai oleh Francesco Palumbo (bass), Rosario Memoli (drums), Bruno Villani (gitar), Francesco Galano (gitar) dan G. Principe C. (vokalis), band ini mempunyai sound yang hampir sama dengan As Sahar melalui album "Meditasi Embun Pagi". Kaset demo ini mempunyai 5 buah lagu dan mempunyai kekuatan melodi yang sangat bagus. Ternyata pembubaran band dari Italy ini sangat merugikan buat scene muzik gelap di sana.
Selepas itu kita beralih kepada kaset seterusnya iaitu dari band "Pest" dengan demo mereka "Hail The Black Imperial Hornsign" (1998). Band ini berasal dari negara Finland ini mula aktif pada tahun 1997 dan dibubarkan pada 1999. Band ini sempat menghasilkan 2 demo, 2 single dan sebuah 4-way-split album bersama band Clandestine Blaze, Bloodhammer dan Nightside pada tahun 1999. Dianggotai oleh Nazgul (vokalis, pemain keyboard), Skratt (bass), Nigrantium (drums) dan Iskariot (gitar), band ini membawakan genre black metal secara straight forward dan dipengaruhi dengan band-band black metal tersohor seperti Mayhem, Burzum, Immortal dan banyak lagi.
Terakhir sekali, aku akan ulas kaset dari Jääportit dengan album pertamanya yang bertajuk "Kauan Koskematon". Jääportit merupakan sebuah one-man project band yang diasaskan oleh Tuomas M. Mäkelä. Band dari Finland ini mula aktif sejak 1997 dan masih lagi bertahan sehingga sekarang. Aku rasa antara keempat kaset yang aku buat ulasan sekarang, hanya Jääportit sahaja yang masih lagi aktif berbanding lain. "Kauan Koskematon" merupakan album pertama dan diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Noitavasara. Ianya mempunyai 8 buah lagu. Lagu-lagu dari Jääportit banyak dipengaruhi oleh band atau artis seperti Mortiis, Burzum, Arcana dan Dead Can Dance. Membawakan genre ambient, atmospheric, drone dan dark wave, Jääportit telah menghasilkan 7 buah album, sebuah demo dan kompilasi "Tribute To H. P. Lovecraft - Yogsothery".
Keempat-empat kaset yang aku ulas ini mempunyai kualiti mixing serta mastering yang bagus walaupun tidaklah sehebat band ternama lain. Boleh dikatakan kesemuanya telah mencapai usia yang agak veteran namun muzik mereka masih lagi relevan untuk didengar bagi pencinta genre tersebut.
Jika difikirkan balik, agak menakjubkan bagaimana aktiviti trade atau beli kaset melalui fanzine seperti di dekad 90'an dahulu banyak membantu penggiat muzik gelap ketika itu dalam meluaskan perspektif mereka. Berutus surat melalui snail mail dan kadang-kala harus menunggu berbulan-bulan, namun aktiviti trade kaset ketika itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
Situasi ini sebenarnya sangat jarang dilihat di dalam komuniti peminat muzik itu sendiri pada zaman sekarang. Sedangkan muzik dalam format fizikal pun sudah kurang mendapat tempat di hati peminat, inikan pula kita bercerita tentang aktiviti trade kaset dengan rakan-rakan dari negara luar. Mungkin itu hanya kekal menjadi sebahagian daripada memori buat mereka yang pernah mengharungi zaman tersebut.








Thursday, October 7, 2021

KASET BUXNID (KELUARAN BANDAT RECORDS)

 KASET BUXNID (KELUARAN BANDAT RECORDS)

Jika anda mengikuti perkembangan muzik independen di Bintulu khususnya pada beberapa tahun sebelum pandemik, anda mungkin perasan tentang kehadiran EP self-titled dari band ini yang diriliskan dalam format CD sebelum ini. Pengeluaran CD tersebut dibuat secara DIY dan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan peminat muzik underground di Sarawak, bahkan ianya juga pernah dijual di beberapa kedai muzik di Semenanjung Malaysia sebelum ini.
Bercerita tentang band ini iaitu Buxnid, kugiran ini sudah lama bertapak di bumi Bintulu. Kalau tidak silap aku, band ini sudah wujud dalam era awal 2000an lagi. Untuk kepastian boleh buat sesi interview dengan ahli band ini sendiri nanti. Sebelum ini Buxnid pun pernah membuat beberapa persembahan di beberapa lokasi di dalam Sarawak. Oh ya, jika anda meminati bunyian grunge ala Butterfingers dan Nirvana, anda pasti menyukai muzik bawaan Buxnid.
Label yang meriliskan EP ini dalam format kaset pula ialah Bandat Records yang berpengkalan di Kuching, Sarawak. Bandat Records merupakan sebuah label yang banyak menjual material artis tempatan juga dan sebelum ini mereka pernah meriliskan kaset dari band grunge Kuching iaitu Fuz Muff. Aku suka prinsip label ini yang banyak menolong dalam meriliskan material band-band Sarawak khususnya.

Jika anda ingin mendapatkan kaset Buxnid EP ini, bolehlah menghubungi pihak Bandat Record Store dengan harga RM 15 sekeping. Sudah pastinya ianya adalah sebuah material muzik yang akan menjadi khazanah berharga di masa akan datang.
Terbaik
Buxnid!





Monday, June 21, 2021

MENGAPA AKU MASIH LAGI MENDENGAR MUZIK DALAM FORMAT FIZIKAL?

 MENGAPA AKU MASIH LAGI MENDENGAR MUZIK DALAM FORMAT FIZIKAL?

Di zaman yang serba moden dan dihuni oleh masyarakat celik IT ini, kebanyakan di antara kita memilih untuk menikmati muzik dalam bentuk yang lebih mudah untuk diakses, tidak kira apa pun lokasi serta masa. Dewasa ini, muzik mampu diperolehi di hujung jari dan semudah dengan menekan butang di telefon pintar anda.
Penggunaan beberapa aplikasi di telefon pintar seperti YouTube Music, iTunes, Apple Music, Deezer, Spotify dan Tidal banyak memudahkan peminat muzik untuk mendengar lagu-lagu kesukaan mereka baik di mana jua mereka berada. Disamping mempunyai kualiti bunyian yang
mantap
(seperti yang ditawarkan oleh Tidal), aplikasi yang disebut tadi menjanjikan kekuatan carian serta akses muzik dari pelbagai artis seluruh dunia. Jika anda seseorang yang menetap di Amerika, adalah tidak mustahil untuk anda mendapatkan muzik dari K-Clique hanya dengan menggunakan aplikasi tersebut. Sekadar contoh sahaja.
Namun, ada juga beberapa golongan, baik muda ataupun yang telah berusia masih lagi meminati muzik dalam format fizikal seperti kaset, CD dan piring hitam. Kenapa situasi ini masih lagi berlaku sedangkan muzik kini terlalu mudah untuk diakses? Kenapa masih mahu susah-susah untuk mendengar muzik dalam format yang belum tentu menjanjikan kualiti digital yang memuaskan? Persoalan sebegini sebenarnya banyak diajukan kepada para pencandu serta pencinta muzik dalam format fizikal ini. Terdapat pelbagai alasan yang diberikan namun ada beberapa daripadanya masih lagi dikira relevan sehingga ke hari ini.
Aku sebagai salah seorang pencinta muzik dalam format fizikal ini semestinya akan memberikan beberapa alasan serta hujah yang dirasakan cocok dengan pemikiran aku sekarang. Namun dalam masa yang sama, aku masih juga melanggan Spotify serta YouTube Music dan sentiasa menggunakan aplikasi tersebut dalam beberapa keadaan seperti semasa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, travelling ataupun bersiar-siar bersama keluarga menggunakan kereta.
Antara sebab kenapa aku masih lagi menggemari format fizikal ialah nilai sentimental yang ada padanya. Aku mula mengumpul kaset sejak aku berumur 12 tahun dan kaset pertama yang aku beli ialah The Cranberries album "No Need To Argue" rilisan tahun 1994. Sehingga ke hari ini aku masih lagi simpan kaset berkenaan dan menjadi salah satu priced possession aku. Mungkin sejak zaman itu juga aku masih lagi menyimpan rasa seronok apabila mempunyai sebarang album kesukaan aku dalam format fizikal. Boleh dikatakan passion la.
Antara sebab lain ialah nilai aesthetic yang ada pada format fizikal yang hanya peminatnya sahaja yang memahami. Keseronokan membaca lirik pada sleeve sambil mendengar lagu-lagu dari walkman ataupun pemain sistem yang lain amatlah sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin situasi ini juga boleh sahaja disamakan dengan mendengar muzik melalui aplikasi telefon namun perasaannya sedikit berbeza di mana anda feel memegang sleeve yang dipenuhi dengan artwork yang cantik serta lirik ataupun kredit itu lebih dirasai berbanding digital. Engkau boleh saja Google lirik mana-mana lagu, tetapi feel membaca lirik melalui sleeve asal CD atau kaset ternyata lebih mengagumkan.
Nilai aesthetic lain yang aku suka berkenaan format fizikal ialah jika ianya dibeli semasa acara yang melibatkan artis membuat persembahan baik di konsert mahupun gig. Sebagai tanda kenangan kita semasa menghadiri majlis tersebut dan juga sebagai simbol kita menyokong artis-artis pada masa tersebut, pembelian CD atau kaset adalah salah satu cara untuk kita menyimpan kenangan serta memori tersebut. Kalau kau jumpa artis yang kau suka, takkan kau nak dia sign autograf di handphone atas alasan kau dengar muzik mereka secara sah dan rasmi melalui aplikasi muzik. Sebaik-baiknya jika ada CD atau kaset, sekurang-kurangnya ianya adalah format paling tepat untuk tujuan berkenaan.
Alasan lain pula, jika kita mengumpul format fizikal, secara tidak langsung kita juga terdedah dengan ilmu tentang sistem bunyian. Sebagai contoh, dulu aku dengar kaset ataupun CD hanya menggunakan walkman ataupun discman. Sekarang aku lebih suka mendengar muzik di ruang tamu dengan setting sound system yang lebih memuaskan hati dan sedikit upgrade berbanding dahulu. Proses untuk upgrade ini memakan masa sebenarnya bagi aku. Kalau dahulu aku cuma guna player dan terus langsung menyalurkan bunyian ke speaker. Sekarang aku lebih suka menggunakan perantaraan mixer sebelum sound muziknya tersalur ke speaker. Ini semuanya bergantung kepada bajet anda sebenarnya.
Antara sebab lain ialah ianya juga menjadi satu trend untuk beberapa generasi baru. Dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini, format fizikal seperti piring hitam mula kembali menjadi trend pada anak-anak muda. Jika kalian masih ingat Jack White, frontman untuk band The White Stripes, beliau juga merupakan pengusaha pembikinan piring hitam. Syarikat beliau iaitu "The Third Man Vinyl Pressing Plant" sudah pun mula beroperasi sejak tahun 2001 dan antara penyumbang kepada kepesatan perniagaan yang sering mendapat tempat ini ialah permintaan yang luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia. Sekarang ini artis-artis milenial seperti Dua Lipa, Billie Eilish, Khalid, Post Malone, Kendrick Lamar dan even Blackpink juga meriliskan album mereka dalam format piring hitam. Atas sebab ini jugalah yang mendorong kepada kebangkitan format ini di pasaran.
Kalau diikutkan banyak lagi alasan yang aku boleh bagi. Tapi tidak mengapa, cukup sebahagian sahaja yang mampu aku beri. Kalau aku tulis banyak-banyak pun nanti, jenuh juga orang nak baca, betul tak?
Ya, aku faham. Ada sesetengah format fizikal ini harganya terlalu mahal. Namun di mata peminat muzik format fizikal, ianya tidaklah menjadi satu isu besar. Apalah beza sangat dengan individu lain yang juga mempunyai hobi. Sebagai contoh kepada mereka yang menyukai dunia permotoran mahupun memancing, kau rasa barang-barang yang mereka beli berkaitan dengan hobi mereka itu harga sepuluh sen ataupun seringgit? Sama juga dengan peminat muzik format fizikal. Anda juga boleh memilih samada mahu menjadi pengumpul yang avid ataupun kasual sahaja. Pilihan di tangan anda dan dalam hal ini tiada paksaan sebenarnya. Ianya bergantung kepada kemampuan bajet anda juga.



Monday, May 3, 2021

FLEUR : TRIO ROCK N ROLL DARI INDONESIA

Bermula dengan memainkan beberapa lagu cover dari kumpulan all girl legenda Dara Puspita, kumpulan ini mula mengorak langkah dalam dunia muzik Indonesia sejak tahun 2017. Nama asal band ini ialah Flower Girls tetapi ditukar kepada Fluer! selepas salah seorang anggotanya mengundur diri iaitu Rika Putrianjani di posisi gitar.
Band yang pada asalnya adalah satu projek ensemble ketika diadakan sebuah acara tribute buat kugiran legenda Indonesia "Dara Puspita" di Belgium ini, sudahpun melakukan beberapa siri tour di Eropah sebelum berlakunya pandemik. Muzik band ini mudah diterima oleh kebanyakan pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat kerana bersifat retro serta catchy. Ada juga pendapat mengatakan mereka seumpama band Fur (sebuah lagi band rock and roll dari Britain) versi perempuan.
Dianggotai oleh Tanya Ditaputri (vokal dan gitar), Tika Pramesti (drums dan vokal) dan Yuyi Triachma (bass dan vokal), kugiran Fluer ini juga mula mendapat tempat di hati peminat muzik Malaysia apabila pernah berkolaborasi dengan Noh Hujan dalam membawakan lagu "Angin Kencang" secara duet pada 26 Disember 2020.
Antara lagu-lagu popular mereka ialah "Lagu Lama", "Muka Dua" dan "Merona". Menariknya tentang single mereka bertajuk "Lagu Lama", proses rakamannya dibantu oleh Wahyu Sudiro (ex band Triad) dan proses mastering pula dilakukan oleh Viki Vikranta (Kelompok Penerbang Roket).
Fleur dijangka akan meriliskan album pertama mereka pada tahun ini. Nantikan.




 
Lagu Lama - Fleur!

Monday, April 19, 2021

ULASAN RINGKAS : 12" LP DEFTONES - AROUND THE FUR

12" LP DEFTONES - AROUND THE FUR
Pembelian ini dilakukan dengan kerjasama Bandat Record Store, sebuah kedai ataupun distro yang menjual rilisan muzik dalam format fizikal baik dari artis mainstream mahupun underground. Bandat Record Store terletak di Kuching, Sarawak dan katalog barangan jualan mereka boleh dilihat melalui akaun Instagram rasmi mereka dengan nama yang sama.
"Around The Fur" merupakan album kedua daripada band alternative metal Deftones yang diriliskan pada tahun 1997. Ianya diriliskan di bawah label Maverick Recording Company milik penyanyi pop sensasi era 80'an iaitu Madonna. Secara teknikal, Madonna bertindak sebagai boss untuk band ini juga. Selepas kejayaan karya debut mereka berjudul "Adrenaline" pada tahun 1995, Deftones tidak mengambil masa yang lama dengan menghasilkan album kedua ini.
Secara peribadi, album inilah yang memperkenalkan aku dengan muzik Deftones. Pertama kali mendengar dan menonton Deftones adalah melalui Music Video mereka yang berjudul "Be Quite And Drive" dari rancangan MTV berjudul Alternative Nation, kalau tidak silap pada tahun 1998. Sejak itu, aku menjadi sedikit obses dengan band ini. Aku sanggup ikat perut dan menabung semata-mata hendak beli kasut Puma Suede yang pernah digayakan oleh Chino Moreno suatu ketika dahulu dalam kebanyakan footage persembahan live mereka.
LP ini dibuat dan dibentuk dengan sifat yang cukup sempurna di mana ianya mempunyai berat 180 gram dan disertakan dengan sebuah kertas yang dituliskan lirik lagu serta beberapa gambar band ini. Paling aku rasa sedih apabila terpandang wajah mendiang Chi Cheng bersama keluarganya. Dalam gambar tersebut dilihat mendiang Chi Cheng duduk bersebelahan dengan isterinya sambil ditemani dengan seorang bayi (kemungkinan besar ianya adalah anak beliau).
Selain "My Own Summer" dan "Be Quite And Drive", terdapat banyak lagi lagu-lagu yang
hebat
di dalam album ini seperti "Mascara", "Lotion", "Around The Fur", "Dai The Flu" dan "Head Up" (kolaborasi bersama Max Cavalera dari Soulfly). Pendek kata semua lagu best lah. Ini merupakan sebuah album yang aku jarang skip satu lagu pun ketika mendengarnya. Banyak memori album ini bagi aku di mana sebahagian besarnya berkait rapat dengan zaman remaja aku pada akhir era 90'an dan juga awal dekad 2000.
Cover hadapan LP
Cover belakang LP beserta senarai lagu
Inlay lirik beserta gambar extra

My Own Summer - Deftones (Official Music Video)




Thursday, April 15, 2021

GEORGE HARRISON'S LIVING IN THE MATERIAL WORLD (NETFLIX)

Ulasan Ringkas Dokumentari : George Harrison - Living In The Material World
Apabila kita berbicara tentang kugiran rock and roll terkemuka dunia iaitu The Beatles, sudah pastinya nama Paul McCartney, John Lennon, Ringo Star dan George Harrison akan hadir di fikiran kita. The Fabulous Four ini telah menghasilkan satu fenomena kegilaan remaja pada era 60'and dan 70'an dengan aura Beatlemania mereka. Kisah hidup mereka juga rasanya ramai sudah tahu dan seringkali disiarkan di media massa. John, Paul dan Ringo antara selebriti yang sering menjadi bahan hangat di dalam mana-mana tabloid hiburan ketika itu.
Namun nama George Harrison seringkali disisihkan oleh pihak media. Mungkin kerana George merupakan seorang yang berprofil sederhana dan kurang mendedahkan kisah peribadinya kepada pihak media. Tetapi ada beberapa sisi kehidupan George yang sungguh menarik dan tidak ada pada mana-mana artis popular pada ketika itu. Nama George Harrison tiba-tiba menjadi buah mulut peminat muzik pop apabila beliau meriliskan album solo pertamanya "All Things Must Pass" pada tahun 1970. Di dalam album tersebut mengandungi beberapa lagu yang bersifat luar norma dari kebanyakan lagu pop. Ianya lebih berbentuk spiritual dan percubaan mengenali Tuhan dalam konteks Hinduisme.
Dokumentari ini juga membawa kita menjejaki kisah hidup George yang ramai tidak tahu sebelumnya seperti bagaimana beliau menjadi begitu rapat dengan pemain sitar terkemuka Ravi Shankar semasa pembikinan album solo pertamanya, penghasilan album berbentuk mantra oleh The Rahdra Krishna Temple (diterbitkan oleh George Harrison sendiri dan anehnya album ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga pernah memasuki carta Billboard 100), hubungan benci-tapi-cinta beliau dengan sahabat baiknya Eric Clapton, pembentukan projek superbandnya iaitu The Travel Wilbury (yang dianggotai oleh Tom Petty, Bob Dylan, Roy Orbison serta George sendiri) dan masalah kesihatan beliau. Beliau pernah di diagnosis menghidap kanser sebelum ini namun berjaya mengharunginya buat seketika.
Tidak terasa, dokumentari ini memakan masa 3 jam lebih untuk dihabiskan tontonannya dan dibahagikan kepada 2 bahagian (zaman semasa The Beatles dan post-perpecahan mereka). Martin Scorsese selaku sutradara dokumentari sememangnya melakukan tugas naratif yang sungguh bijak sekali tanpa bantuan suara latar sebagak narrator. Martin Scorsese sebenarnya tidak asing lagi dengan genre dokumentari. Selain menghasilkan filem yang hebat bertaraf Oscar seperti Gangs Of New York dan The Departed, beliau juga sebelum ini pernah menghasilkan beberapa dokumentari tentang biografi artis-artis ternama seperti The Rolling Stones dan Bob Dylan.
Dokumentari ini wajib ditonton jika anda adalah penggemar muzik rock secara general. Ianya juga membuka mata kita dalam memahami setiap tingkah laku yang pernah dibuat oleh George Harrison tatkala beliau masih hidup dahulu. Oh ya, dokumentari ini juga boleh ditonton melalui Netflix.
Rating? 3.5/5
Official Documentary Poster

Official Trailer

Monday, April 12, 2021

APAKAH LAGU RADIOHEAD KEGEMARAN ANDA?

Jika ditanya soalan sebegini, nescaya ramai yang akan mengatakan "Creep" sebagai jawapannya. Siapa boleh lupa dengan lagu yang pernah menjadi salah satu anthem rock yang ikonik ketika dekad 90'an itu. Selain daripada lagu "Smells Like Teen Spirit" daripada Nirvana, "Creep" juga merupakan salah sebuah lagu yang sering dimainkan di setiap studio jamming sejak dekad 90'an sehingga sekarang, itupun jika bisnes sewa studio jamming masih lagi hidup sehingga sekarang.

Radiohead merupakan sebuah kugiran yang berasal dari Oxfordshire, Britain dan telahpun mula aktif di dalam scene muzik rock antarabangsa sejak awal penubuhannya pada tahun 1985. Band yang dianggotai oleh Thom Yorke (vokalis, gitar, keyboards), Jonny Greenwood (gitar, synth, keyboards), Colin Greenwood (bass, synth, keyboard), Ed O' Brien (gitar, vokal latar) dan Phil Selway (drums) ini mula mendapat perhatian media massa antarabangsa semasa rilisan album pertama mereka berjudul "Pablo Honey" pada tahun 1993.

Aku masih ingat lagi semasa kali pertama aku mendengar lagu "Creep" ini. Ianya melalui kaset kompilasi Pop Is Dead yang pernah dikeluarkan oleh syarikat EMI pada awal dekad 90'an dahulu. Kaset tersebut milik kawan sekolah aku. Kalau tidak silap aku mendengarnya melalui Walkman sekitar tahun 1995 begitu. Tidak lama selepas itu, Radiohead meriliskan album kedua mereka pada tahun yang sama dan band ini menjadi kegilaan ramai remaja seusia aku ketika itu. Lagu-lagu hit seperti "High And Dry" dan "Fake Plastic Trees" banyak mendominasi carta-carta di kebanyakan negara. Radiohead sudahpun mencapai status Rockstar pada masa tersebut. Secara peribadi, aku lebih menyukai album "The Bends" kerana aku tidak akan skip satu lagu pun jika mendengar karya tersebut. Bagi aku ianya adalah karya Magnum Opus buat Radiohead.

Selera mendengar lagu-lagu Radiohead bagi aku ada pasang surutnya dan juga hubungan "love and hate" sepanjang aku mengikuti perkembangan band ini. Ada masa aku akan layan satu album. Ada ketika pula aku akan mempunyai perangai selektif dalam memilih mana-mana lagu pada album tertentu. Tidak semua album Radiohead mampu membuat aku jatuh cinta pandang pertama. Ada beberapa album mereka yang mengambil masa lebih kurang tiga ke empat tahun untuk aku hadam dan benar-benar memahami, sebagai contoh album "Kid A" (2000) dan "Amnesiac" (2001). Kedua-dua album ini pada awalnya aku kurang minat mendengarnya, diselangi dengan kontroversi (masalah dengan syarikat rakaman dan isu peribadi setiap personel di dalam band) yang menyelubungi album-album ini semasa ianya rilis pada tahun tersebut. 

Walaupun begitu, aku tetap setia mengikuti perkembangan band ini. Sehinggakan beberapa projek solo setiap ahli band ini juga aku ambil perhatian walaupun tidaklah sampai hendak membeli format fizikal para setiap rilisan mereka. Paling tidak pun, aku cuma beli CD album solo pertama Thom Yorke yang berjudul "The Eraser" (2006). Itu sahaja, selebihnya aku akan dengar melalui Spotify ataupun YouTube. Tetapi untuk album Radiohead sendiri, aku lebih suka memiliki kesemua rilisan mereka dalam format CD ataupun LP. Bagi aku ianya adalah satu kepuasan peribadi yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. 

Hampir kesemua album Radiohead mempunyai nilai sentimental buat aku terutama sekali 3 album terawal mereka iaitu "Pablo Honey", "The Bends" dan "Ok Computer". Manakala album "Kid A" dan "Amnesiac" pula adalah satu sesi ekperimen yang berjaya membawa hala tuju band ini ke arah yang lebih kreatif dan melangkaui sebarang batasan. Manakala album "Hail To The Theif" (2003) sehinggalah ke album paling akhir mereka iaitu "A Moon Shaped Pool", Radiohead sudah mencapai satu peringkat di mana mereka sudah pun merasa selesa dengan bunyian yang mereka inginkan. 

Tapi ada beberapa factor yang harus diambil kira juga. Aku masih teringat satu komen dari netizen di Facebook yang menulis "sekarang ini Radiohead hanya buat bunyian, tiada lagi menghasilkan melodi". Kata-kata tersebut sebenarnya sangat tepat sekali kerana pada 10 tahun kebelakangan ini Radiohead tidak lagi menghasilkan muzik yang bermelodi hampir sempurna seperti 3 album terawal. Mungkin zaman itu sudah lama berakhir dan para peminat mereka hanya mampu rendezvous sahaja dengan memori lalu. 

Berbalik kepada soalan asal, bagi aku agak sukar untuk memilih mana satu lagu Radiohead yang menjadi kegemaran. Sebabnya banyak sangat yang aku suka. Akan tetapi jika terpaksa memilih, aku akan mengambil lagu "Fake Plastic Trees" sebagai soundtrack kehidupan serta kegemaran sepanjang zaman. Dari perspektif lain, lagu tersebut mempunyai erti yang sangat mendalam dan sangat peribadi buat aku.



Thursday, April 1, 2021

APAKAH ITU "JAPANESE CITY POP" DAN PENGARUHNYA DI DALAM MUZIK TEMPATAN SERTA TANAH SEBERANG

Era 70’an serta 80’an merupakan satu rangka masa yang menyaksikan pembangunan dalam sosioekonomi di negara Jepun khususnya di mana komuniti awam di sana sama-sama terlibat dalam membentuk sebuah bangsa yang maju. Keadaan ekonomi Jepun yang semakin pulih selepas kekalahan mereka ketika perang dunia kedua menyebabkan rakyat-rakyatnya mula bergiat aktif di dalam pembangunan teknologi, sains, ekonomi serta pendidikan.
Di dalam kedua-dua dekad inilah kita dapat saksikan negara Jepun amat kehadapan sebagai contoh di dalam industry automotif yang banyak mengeluarkan jenama kereta yang bermutu tinggi seperti Honda, Mazda, Toyota dan banyak lagi.
Begitu juga dengan industri hiburan Jepun di mana pada ketika ini juga menyaksikan pembangunan yang pesat. Syarikat penerbitan filem mahupun animasi banyak menghasilkan karya-karya bermutu ketika ini. Sememangnya nama-nama watak seperti Godzilla, Ultraman dan Space Cop Gaban sering meniti di bibir kanak-kanak Asia ketika itu. Sehingga kini, Jepun masih lagi maju dalam penghasilan karya-karya fantasi sebegitu terutama sekali jika melibatkan permainan video game serta anime.
Bagaimana pula dengan industri muzik? Muzik yang dihasilkan oleh artis-artis Jepun ketika ini sudah pun mencapai standard yang sama seperti negara-negara maju yang lain. Jika kita lihat dari sudut muzik popular ketika itu, genre-genre seperti funk, jazz, disko dan RnB sudahpun meresap ke dalam jiwa anak-anak muda Jepun ketika itu. Jika di negara barat, muzik funk yang popular seperti Bonie M, ABBA, Bee Gees dan Earth, Wind and Fire sudah pun mendominasi sebahagian besar carta-carta terhangat di kebanyakan negara, jepun juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk sedemikian rupa.
Pada ketika ini di Jepun sudah pun maju dengan muzik groovy dan ala disko sebegini. Sedikit kelainan yang dibawa oleh artis Jepun dalam genre ini ialah dari segi penyampaian, penulisan lagu serta lirik yang banyak menggambarkan situasi para remaja serta belia ketika itu. Liriknya lebih berkisar tentang cinta zaman moden dan penghasilan muziknya pula lebih progresif di mana perubahan kod pada lagu tanpa menjejaskan struktur utama iaitu verse dan korus dianggap satu identiti utama muzik pop Jepun ketika itu.
Berganjak ke arah lebih kurang 30 tahun selepas era kegemilangan muzik disko dan pop Jepun, pada tahun 2018 sebuah akaun bernama City Lover telah memuatnaik sebuah lagu berjudul "Plastic Love" dan tanpa diduga lagu tersebut mendapat interaksi algoritma paling sibuk di dalam YouTube sehingga ia terpaksa dihapuskan pada tahun 2020. Sebelum ianya dipadamkan dari YouTube, lagu tersebut sentiasa menjadi rekomendasi setiap kali anda mencari lagu-lagu popular. Secara tidak sengaja nama penyanyinya Mariya Takeuchi menjadi sebutan para peminat muzik pop antarabangsa.
Di Jepun, Mariya Takeuchi bukanlah sebuah nama asing. Lagu "Plastic Love" tersebut diambil dari album pertamanya yang berjudul Variety dan diriliskan pada tahun 1984. Kesemua lagu di dalam album tersebu diterbitkan dan ditulis oleh suami Tatsuo Yamashita, seorang komposer terkenal di dalam industri muzik ketika itu. Tatsuo Yamshita sendiri banyak menghasilkan album-album
hebat
seperti Ride On Time (1980), For You (1982), Big Wave (1984) dan banyak lagi.
Disebabkan fenomena internet ini, sebuah pergerakan revival terhadap muzik City Pop telah bermula. Muzik sebegini telah mendapat tempat di hati golongan milenial menyebabkan terlahirnya ramai artis membawakan nuasa City Pop. Bahkan ada artis Jepun yang berpindah ke Korea (pusat kepada industri muzik K-Pop) semata-mata untuk mengetengahkan muzik sebegini dalam gaya yang lebih segar. Sebagai contoh Yukika Teramoto yang terkenal dengan lagu "Seoul Lady" telah pun mendapat tempat di hati peminat muzik K-Pop lantas memberi jalan serta ruang kepada artis-artis Korea sendiri memperjuangkan muzik tersebut seperti Yubin, Eyedi dan Rainbow Note, sekadar menamakan sebahagian.
Di negara kita pula, revival untuk muzik Japanese City Pop juga mendapat perhatian pada sesetengah artis. Sebagai contoh duo Pastel Lite mula menerapkan elemen City Pop di dalam muzik mereka melalui album kedua mereka yang berjudul "Pop Bilik Tidur". Duo ini juga masih lagi mengekalkan bunyian electro pop mereka yang sudah pun menjadi trademark selama mereka aktif di arena muzik. Contoh yang lain pula ialah kugiran Joanna And Co. di mana telah meriliskan single berjudul "Kini Ku Sepi" yang sungguh kuat elemen City Popnya. Originaliti pada muzik mereka amat ketara dari segi penulisan lagu. Manakala lagu berjudul "Wajah-wajah (Sahabat)" yang dibawakan oleh band Grey Sky Morning pula sedikit sebanyak mengambil progresi kod yang sama dengan lagu "Stay With Me" dendangan mendiang Miki Matsubara.
Jika kita lihat dari segi pendedahan muzik City Pop di negara kita, sebenarnya genre ini bukanlah asing di dalam masyarakat kita. Sejak zaman 80'an lagi, Malaysia telah menyaksikan pelbagai artis yang berjaya membawa muzik sebegini bahkan menghasilkan identiti mereka sendiri.
Sebagai contoh Dato Sheila Majid yang meriliskan album pertamanya berjudul "Dimensi Baru" di mana lagu-lagu di dalamnya seperti "Pengemis Muda" dan "Dia" sangat kuat pengaruh City Pop nya. Namun ketika itu, terma City Pop tidak pernah wujud dan hanya digunapakai semasa era millennium baru ini.
Antara artis serta kumpulan tempatan yang membawakan nuansa ini ialah Francesca Peter, Freedom, Kenny Remmy Martin dan Casey (era 90'an) sekadar menamakan sebahagian. Kalau ketika itu, ianya sekadar dinamakan muzik pop ataupun disko.
Manakala di negara jiran kita iaitu Indonesia, muzik sebegini masih lagi aktif dan diberi nafas baru oleh beberapa artis dan kumpulan tersohor seperti Mondo Gascaro (cuba dengar lagu "Dan Bila" hasil duet dengan Pablo Cikaso), Diskoria (menghimpunkan dua orang DJ yang bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu disko era baru), Maliq and D'Essentials dan ramai lagi. Ternyata Indonesia sudah maju lebih kurang 10 tahun ke hadapan di dalam bidang muzik bukan sekadar dalam irama City Pop bahkan pada genre-genre yang lain. Ini adalah fakta, tidak berniat hendak memburukkan industri muzik kita sendiri.
Akhir kata, muzik City Pop atau disko ini akan sentiasa hidup dan aktif di dalam industri muzik baik antarabangsa mahupun tempatan. Semoga akan lahir lebih ramai lagi artis di negara kita yang membawakan muzik sebegini.
Mariya Takeuchi
Miki Matsubara
Anri

Dato' Sheila Majid

Kumpulan Freedom

Diskoria

Pastel Lite

Plastic Love - Mariya Takeuchi











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...