Wednesday, October 25, 2017

Journey To Rocktober Fest 2017 With Larrong (Part 3)

Susulan dari bahagian pertama dan kedua.

Larrong : The Rocktober Fest 2017 line-up

OK, kali ni aku nak tulis entri blog yang lebih serius. Ianya melibatkan pembabitan aku sebagai sessionist pada posisi pemain bass semasa festival ini.

Sebenarnya niat asal aku ke festival ini adalah untuk berhibur sambil menyaksikan persembahan band-band yang hebat belaka disamping mengambil kesempatan berjual beberapa merchandise seperti koleksi CD serta fanzines di booth yang disediakan oleh pihak penganjur.

Namun betul lah kata orang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Tuhan yang tahu. Aku telah diamanahkan di saat akhir oleh tuan Tazudin dalam menggalas posisi pemain bass. Memang benar, rezeki itu kadang-kadang ianya tidak datang dalam bentuk wang ringgit. Kesempatan beraksi bersama band death metal legenda seperti Larrong ini juga adalah salah satu rezeki tersebut. Lebih-lebih lagi membuat persembahan bersama mereka di festival rock yang berprestij ini.

Hakikatnya, aku bukan siapa-siapa. Kalau setakat membuat persembahan di gig yang venue hanyalah pub ataupun dewan yang mempunyai ruang kecil, bagi aku itu sudah memadai. Aku cuma mampu bergerak dalam scene muzik yang lingkungannya hanyalah dalam kawasan tertentu sahaja. Mungkin ada yang suka menggelar aku "weekend rocker" sahaja. Aku tak kesah. Hakikatnya itu adalah kebenaran tentang aku. Tetapi apabila datang peluang keemasan sebegini, aku juga menerimanya dengan rela hati. Bagi aku, pengalaman yang dilalui apabila melibatkan diri di dalam acara sebegini semestinya berharga.

Tak pernah terfikir pun sebelum ini untuk aku jadi sessionist untuk Larrong. Aku dah jadi peminat band ini sejak zaman kaset lagi serta semasa mereka keluarkan CD EP mereka yang pertama berjudul "Dakan Perana Tana" awal dekad 2000 dahulu, kalau tak silap la. Semasa zaman fanzines dekad 90'an dulu pun aku dah tau pasal band ni.

Jutaan terima kasih aku ucapkan buat tuan Tazudin kerana memberi kepercayaan terhadap aku menjalankan tugas selaku sessionist untuk kugiran beliau. Walaupun aku ni boleh dianggap semacam "bidan terjun" tetapi chemistry di antara aku dengan anggota-anggota Larrong amat mudah terhasil dan kami cepat memahami pemikiran masing-masing dari perspektif muzik. 

Ini sudah semestinya menjadi satu memori manis yang pastinya amat sukar untuk aku lupakan. Jika ada kesempatan dan rezeki, inshaAllah aku sudah pasti ingin sekali beraksi bersama mereka lagi di mana-mana persembahan pada masa akan datang. 

 Agi Idup Agi Death Metal!

Troops Of Doom - Larrong (Sepultura Cover) : Live at Rocktober Fest 2017

Larrong : Live at Rocktober Fest 2017 (The almost complete footage, lagu "The Tortured Land" tak diambil videonya)


Monday, October 23, 2017

Journey To Rocktober Fest 2017 With Larrong (Part 2)

Sambungan dari bahagian pertama : Journey To Rocktober Fest With Larrong (Part 1)

Selesai sahaja makan malam dan mengambil gambar kenang-kenangan bersama beberapa rockstar yang merayau di lobi hotel tersebut, kami pun pergilah check in di sebuah homestay yang terletak di tengah bandar Miri. Dalam masa yang sama, aku dah buat temujanji dengan kawan aku yang memiliki sebuah studio jamming di Miri di mana lebih kurang pukul 12 tengah malam nanti kami akan berlatih di studio tersebut sehinggalah pukul 3 pagi. Studio Decibel Music milik kawan aku ni terletak di bahagian Luak, sedikit jauh dari kawasan bandar Miri.

Latihan intensif tersebut akhirnya membuahkan hasil kerana kitorang praktis sampai betul-betul ada chemistry yang kukuh. Pendek kata, praktis sampai perfect la. Keesokan harinya iaitu 7 Oktober, kami sudah pun mula bergerak ke studio yang sama pada pukul 10.30 pagi untuk menjalani jamming yang terakhir sebelum membuat persembahan pada pukul 3 petang nanti. Selesai sahaja sejam kami berjamming, kami pun terus ke venue untuk mendaftarkan diri dengan pihak organizer. Oh ya, kalau diikutkan band Larrong sepatutnya menjalani sesi soundcheck pada hari khamis sebelumnya. Namun akibat kekangan masa dan komitmen lain, kami tidak dapat menjalani sesi soundcheck tersebut. Aku pulak jadi bidan terjun pada masa tu. Tak terfikir pun akan jadi sessionist mereka pada festival tu.

Selesai sahaja makan tengahari di Cafe yang sama seperti malam sebelumnya, kami pun dibawa menuju ke dewan menunggu oleh beberapa krew festival tersebut. Dalam bilik menunggu tersebut,kami juga ditemani oleh beberapa band lain yang turut sama membuat persembahan pada petang itu. Antara mereka ialah band Wildhorse (band grunge dari Kuching), Boil (band grunge dari Sabah), Falling Farewell (band Metalcore dari Miri) dan Saturday Heroes (Punk Oi! dari Kuching). Untuk menghilangkan rasa gemuruh dan takut, aku pun mulalah berborak dengan ahli-ahli band lain. Mesra juga diorang ni. 

Kira-kira setengah jam sebelum persembahan, kami dibawa keluar dari dewan tersebut menuju ke belakang hotel dan diarah untuk menaiki sebuah van yang akan membawa kami ke backstage. Perasaan aku masa itu agak bercampur aduk. Pergh, memang layanan tip-top ala rockstar ni. Cuma aku terfikir juga, kalau kami lambat ke venue pada masa itu, sudah pastinya pelbagai masalah akan timbul. Inilah perbezaan di antara penganjuran festival dengan gig. Setiap band harus disiplin dan punctual dengan masa. Kalau tak, slot anda akan diisi oleh band seterusnya. 

Sesampainya kami di backstage, kami dibawa ke sebuah khemah yang terletak di sebelah pentas utama. Pentas utama tersebut dibahagikan kepada 2 bahagian; stage 1 dan stage 2. Kami akan beraksi di atas stage 2. Selepas itu, seorang liaison crew memberitahu kepada kami supaya naik ke atas stage 2 untuk set-up instruments masing-masing. Masa yang diberikan untuk kami adalah lebih kurang 20 minit untuk soundcheck sikit-sikit. Di atas pentas tersebut, aku melihat bagaimana krew-krew berkerja. Mereka ini diketuai oleh Jennifer Thompson, selaku stage manager yang sering mengendalikan acara-acara besar seperti Rock The World (hampir setiap tahun syarikat dia dilantik untuk mengendalikan acara ini) dan baru-baru ini acara penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur. 

Selesai sahaja kami buat sesi soundcheck dan band yang sebelumnya iaitu Wildhorse menyudahkan persembahan mereka, kini giliran kami pula untuk beraksi. Entah kenapa, perasaan gugup yang aku simpan dalam hati tadi semakin hilang selepas berada di atas pentas. Ianya hilang sebab aku lihat di dalam crowd yang hadir di hadapan stage pada masa itu, ada juga rakan-rakan dari Bintulu yang turut sama datang menyokong kami. Terharu jugalah walaupun hakikatnya mereka juga ingin menyaksikan persembahan band-band lain selepas kami. Haha. Berikut merupakan beberapa gambar semasa Larrong membuat persembahan ketika itu.

 Larrong : Live at Rocktober Fest 2017. Ok, aku faham. mimik muka aku agak keterlaluan.

 Aku selaku bassist terjun (Photo credit : Olee Eternal Zine)

 Masa ni kami tengah soundcheck. Bass Craftman aku digabungkan dengan amp Hartke.

 Sesi soundcheck yang ditemani oleh krew-krew di bawah jagaan Jennifer Thompson

 Aku buat muka acah-acah ganas dengan devil horns yang tak berapa nak evil sangat

 Dari kini : Rashid COG, San Burns (vokalis Larrong) dan dibelakangnya aku tengah borak-borak dengan krew, Encik Asri.

 Pada ketika ini, kami sudah bersedia untuk beraksi.

 Tuan Tazudin Supreme Vayoh tengah shredding

 Pada masa ini, kami mulakan setlist dengan sebuah lagu cover iaitu Troops Of Doom (Sepultura)

 Crowd pada masa itu mula membentuk circle pit di tengahnya

 Walaupun panas terik pada petang itu, namun crowd makin galak menuju ke hadapan stage

 The Mighty Larrong

 Abam Rashid COG di atas podium khas untuk drummer

 Aktiviti headbanging sudah semakin menjadi-jadi di bawah pentas

 Abam Rashid dah tak berbaju semasa pertengahan setlist kami. Berpeluh bagai nak rak!

 Gabungan Lelaki Berisi (kalau sebut boroi karang kena kutuk pulak dah)

 Seperti biasa, aku akan terlebih aksi atau dalam bahasa omputehnya "over acting"

 The voice of Larrong, Mr. San Burns

 Pada ketika ini, kami sudahi setlist kami dengan sebuah lagi lagu cover iaitu Lack Of Comprehension dari band death metal Death

Selesai sahaja persembahan kami, Tuan Tazudin melemparkan beberapa helai t-shirt Sarawak Metal Regime dan CD Larrong ke arah crowd. Berpusu-pusu mereka mengambil merchandise tersebut.

Setlist kami pada petang itu ialah:

1. Troops Of Doom (Sepultura cover)
2. The Tortured Land 
3. Dawn Of Eternity (Massacre cover)
4. Nuklear Armageddon
5. Lack Of Comprehension (Death cover)

2 buah lagu asal Larrong, 3 pula lagu cover. Memandangkan aku dengan Rashid cuma sekadar sessionist, jadi pilihan lagu tersebut amat sesuai dengan kami sebenarnya. Selepas selesai kami beraksi, kini giliran band Boil (grunge dari Sabah) pula untuk melakukan soundcheck. 

 Dari kiri; Tazudin Supreme Vayoh dan Aziz

Antara tulang belakang Larrong, saudara San Burns

 Boil (from Sabah)

 Saturday Heroes (Punk Oi! From Kuching)

 Bergambar kenang-kenangan bersama Olee, editor fanzine Eternal Zine (2 dari kiri) di photo booth Rocktober Fest 2017

Larrong (Rocktober Fest 2017 line-up)

Bersambung ke bahagian 3 (akhir)

Wednesday, October 18, 2017

Journey To Rocktober Fest 2017 With Larrong (Part 1)

Poster Rasmi

Pada 6 dan 7 Oktober yang lepas, telah berlangsung satu festival yang berorientasikan muzik rock iaitu Rocktoberfest 2017 bertempat di Beachfront, Parkcity Everly Hotel di Miri, Sarawak. Buat julung kalinya, festival yang sedemikian dibuat di perkarangan hotel tersebut. Sebelum ini venue tersebut hanya sering diadakan Borneo Jazz Festival sahaja. 

Festival rock yang dianjurkan oleh Northeastern Group ini telah pun membuat promosi lebih awal sebelum itu. Kira-kira dalam bulan Mac atau April begitu pihak penganjur telahpun membuat aktiviti mempromosikan acara ini di pelbagai media sosial. 

Festival ini merangkumi 37 buah artis / kugiran dari dalam dan luar negera termasuk Slapshock (band nu-metal dari Filipina), XPDC, OAG, The Times AKA, Hujan, Monoloque, Massacre Conspiracy, Masdo, Nicestupidplayground dan banyak lagi. Oh ya, lupa nak bagitau. Band Pakcik Aru (Koffin Kanser dan Republic Of Brickfields) pun turut sama mengikuti festival ini. Antara salah satu sebab aku nak sangat pergi ke festival ini ialah nak tengok persembahan Koffin Kanser dan Republic Of Brickfields. Dulu masa aku belajar di kolej kat Semenanjung Malaysia, aku selalu la jugak join tengok gig, terutama sekali kalau headline nya ialah Koffin Kanser. Masa itu tengah hangat dengan muzik nu-metal. Pakcik Aru ni kiranya serupa macam Max Cavalera versi Melayu la. Haha.

Rocktober Fest 2017

Pada awalnya, ramai yang kurang yakin dengan penganjuran festival ini. Yelah, di Miri scene muzik underground / independent nya agak kurang menyerlah berbanding Kuching mahupun Sibu. Malas nak cerita pasal Bintulu (out of topic). Akan tetapi pihak penganjur telah membuktikan bahawa tanggapan negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak adalah tidak tepat sekali malah festival ini berlangsung dengan jayanya selama 2 hari berturut-turut.

Bagi pihak aku pula taklah kesah sangat. Lagipun aktiviti promosi untuk acara ini telah lama dibuat dalam pelbagai cara; media sosial, surat khabar, radio dan macam-macam lagi. Pada mulanya aku bercadang nak join festival ni sekali dengan berniaga. Aku bercadang nak jual beberapa CD band metal underground, fanzines dan t-shirt metal pre love. Bayaran sewa untuk tapak di booth jualan pun sudah aku buat beberapa hari sebelum festival. Namun ada berlaku beberapa rombakan dalam perancangan asal. 

Larrong, merupakan sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam scene death metal tempatan. Band yang telah wujud hampir 30 tahun ini telahpun membina fanbase mereka sejak dari zaman kaset / pertukaran fanzine melalui pos manual sehinggalah ke era penggunaan media sosial sekarang. Larrong telah dipilih untuk membuat persembahan di festival ini. Aku pun pada mulanya tumpang gembira juga sebab kesemua ahli band ini adalah kawan aku juga. Sambil datang ke festival itu dan berhibur, kita boleh support teman-teman kita juga. 

Aku dah tahu awal yang Larrong mengambil khidmat Rashid (drummer dari band black metal Bintulu iaitu Curse Of God) selaku tukang pukul untuk sesi tersebut. Lagilah aku rasa gembira sebab kawan rapat aku dapat jadi sessionist untuk band hebat ini. Rashid ada memaklumkan kepada aku yang dia telah mengikuti sesi jamming bersama Larrong beberapa hari sebelum festival berkenaan. 

Pada hari khamis 5 haribulan Oktober yang lepas, sehari sebelum bermulanya festival tersebut, ahli-ahli kumpulan Larrong telah singgah sekejap ke Bintulu untuk berjumpa dengan Rashid sambil mengikuti sesi jamming. Kemudian aku perasan satu benda. Tiada bassist pula kali ini dalam band berkenaan. Dikhabarkan oleh San Burns, vokalis Larrong, bahawa Hadi (bassist asal mereka) berhadapan dengan masalah mengambil cuti rehat. Pada mulanya aku angguk sahaja. 

Kemudian, tiba-tiba si Rashid menyuarakan pendapatnya, "Wei, bagus ambik si Adi Herman ni jadi sessionist untuk posisi pemain bass". Maka dengan sebulat suara, kesemua ahli asal band Larrong bersetuju dengan pendapat Rashid. Aku sebenarnya agak keberatan, akan tetapi apabila aku fikir balik - what the hell -  ini peluang keemasan beb! Peluang begini amat jarang dijumpa. 

Aku pun turut sama berjamming bersama mereka sebelum bertolak ke Miri pada petang jumaat 6 haribulan Oktober tersebut. Entah macam ada magis yang merasuk ke dalam badan, lagu-lagu dalam songlist Larrong amat mudah untuk aku pelajari walaupun hakikatnya riff-riff gitar mereka agak teknikal. Kalau kau suruh aku main gitar dan bawa lagu Larrong, memang aku tak sanggup. Cukuplah aku selesa di posisi pemain bass sahaja haha.

Sesampainya kami di Miri kira-kira dalam pukul 6:30 petang pada hari jumaat tersebut, kami terus melaporkan diri di Parkcity Everly Hotel kepada pihak penganjur. Suasana pada petang jumaat tersebut pun sudah mulai havoc dan happening. Antara band-band yang membuat persembahan pada petang hingga ke malam hari tersebut ialah Republic Of Brickfields, The Times AKA, Monoloque, Slapshock (band nu-metal dari Filipina ini antara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan penonton) dan banyak lagi. Selepas melaporkan diri, kami pun makan sekejap di cafe hotel tersebut bersama band-band lain.

OK, bahagian ini yang syok aku nak cerita ni. Semasa kitorang dengan menjamu selera, ramai pula ahli-ahli band yang popular datang ke cafe tersebut. Aku terserempak dengan Bakri (drummer untuk Gerhana Skacinta, Monoloque, Koffin Kanser dan abang kepada Emma Maembong, eh?), Azreen (vokalis band punk rock legend Subculture), Rich (vokalis band Estranged dan bekas pelajar AF, duh), Loque (vokalis band Monoloque dan Butterfingers) dan ramai lagi. Perasaan berbunga-bunga di hati tu memang ada cuma aku kena cool sekejap. Yelah, perut dah lapar beb. Kau tolak ketepi kejap pasal orang lain. Lapar giler kitorang masa tu. 

Selesai sahaja makan malam, barulah aku mengambil kesempatan untuk bergambar dengan beberapa artis yang aku cakap tadi. Selalu kita tengok diorang dalam TV, VCD Rock The World mahupun dalam video di Youtube. Kali ni kita dapat jumpa depan mata. Syoklah juga. Rasa macam budak remaja lah pulak haha.

 Bersama Azreen dari Subculture 

 Bersama Bakri (drummer Koffin Kanser, Republic Of Brickfields, Monoloque, Gerhana Skacinta)

 The Times AKA sedang membuat persembahan

 Bersama Larrong (line-up Rocktober Fest 2017). Photo Credit : Tazudin Larrong


 Bersama Aru (Koffin Kanser, Republic Of Brickfields). Amboi!

 Bersama Loque (Monoloque dan Butterfingers)

 Dari Kiri : Fadzil (dari label Muzik Box JB), Aru Koffin Kanser, Tazudin Larrong, Aziz Larrong dan San Burns Larrong.

Dari Kiri : Izzo XPDC bersama Razib (vokalis band Mother Earth merangkap krew untuk Larrong) dan aku (as usual)

Bersambung...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...