Wednesday, December 29, 2021

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

Hari ini sudah genap 5 tahun arwah adikku Alifh Omar meninggal kami buat selamanya. Segalanya berlaku terlalu pantas, tanpa disedari pemergiannya sudah pun menjangkau 5 tahun.

Selepas pemergian adinda kami Alifh Omar, aku serta keluarga dalam keadaan yang teramat sedih. Ketika itu, aku bagaikan tiada semangat nak turun kerja, kadang-kadang terasa macam putus asa untuk teruskan kehidupan. Aku asyik terfikirkan arwah dan juga keadaan ibu bapaku yang masih trauma dengan kejadian itu. Ibu bapaku bukanlah sihat sangat. Berita yang mengejutkan seperti ini membuatkan mereka menjadi kemurungan serta sakit serta-merta.

Alhamdulillah, berkat sentiasa ingat dengan Allah dan menerima qada dan qadarnya, kami sekeluarga sedikit demi sedikit mampu meneruskan kehidupan. Walaupun masih sukar untuk keluar dari kepompong kesedihan, namun demi anak-anak (terutama sekali anak-anak arwah), hidup ini harus diteruskan juga.

Mana mungkin kami dapat melupakanmu. Sedangkan namamu masih lagi berlegar di dalam setiap doa-doa kami. Semoga Allah mencucuri rohmu dengan segala rahmatNya dan meletakkanmu di kalangan golongan orang-orang yang dicintaiNya.

Kami terlalu merinduimu.

Allahu marghfirlahu warhamhu wa'a'fihi wa'fu'anhum



Thursday, December 23, 2021

ULASAN RINGKAS ANIME : HORIMIYA (2021)

ULASAN RINGKAS ANIME : HORIMIYA (2021)

Dalam kehidupan kita, antara waktu yang amat dirasakan nikmat kebebasan dan kebahagian sejati ialah di waktu remaja. Ianya menjadi semakin menyeronokkan apabila berada di sekolah dan bertemu rakan sebaya. Zaman remaja merupakan saat yang penting bagi membentuk peribadi kita pada hari ini.

Begitulah yang diterapkan di dalam anime "Horimiya" ataupun dalam tajuk asal di dalam bahasa Jepunnya "Hori-san To Miyamura-kun" yang pertama kali disiarkan di televisyen Tokyo MX dan Animax pada Januari sehingga tamatnya episod anime ini di bulan April 2021. Anime yang diadaptasikan dari komik web ini merupakan sebuah karya ciptaan Hiroki Adachi ataupun dengan gelaran pseudonym Hero.

Anime ini mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Izumi Miyamura yang berperwatakan senyap, gloomy dan suka bersendirian. Dalam masa yang sama, Izumi mempunyai beberapa rahsia besar iaitu dia mempunyai beberapa tatu di badan dan tindik di telinga. Namun Izumi mampu menyembunyikannya dari pandangan rakan sekelas.

Pada masa yang sama, rakan sekelas Izumi iaitu Kyoko Hori ialah seorang remaja perempuan yang pintar di dalam kelas dan popular di sekolah. Sangat bertentangan dengan kualiti yang ada pada Izumi. Suatu hari adik lelaki Kyoko terjatuh di taman menyebabkan berlaku kecederaan. Adik Kyoko kemudiannya dibawa pulang oleh Izumi yang kebetulan berada di situ. Semasa sampai di rumah Kyoko, dia terkejut melihat wajah sebenar Izumi yang berbeza dengan perwatakannya di sekolah.

Anime ini juga mempunyai beberapa momen yang sangat dekat di hati seperti jatuh cinta pandang pertama, bertemu serta berkenalan dengan rakan-rakan dan juga konflik dalaman dalam persahabatan. Namun ada beberapa jenaka bersifat cringe serta awkward akan tetapi tidak mencacatkan jalan ceritanya. Anime ini hanya mempunyai 13 episod sahaja dan boleh dilayan melalui aplikasi Netflix.

Rating? 4 / 5



Monday, December 20, 2021

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

Pejam celik dan tanpa disedari, sudah 18 tahun aku meninggalkan zaman kolej aku. Aku dahulu pernah melanjutkan pelajaran di sebuah kolej dibawah seliaan MARA yang terletak di Beranang, Selangor. Bercerita pasal tempat aku study dulu ni, ada sesetengah orang Selangor pun tidak pernah dengar nama pekan kecil itu. Boleh dikatakan ianya tempat jin bertendang.

Setelah mengambil masa 2 tahun 6 bulan dalam tempoh tersebut, aku telahpun berjaya menghabiskan pengajian di sana. Pelbagai kisah suka duka yang aku perolehi di kolej tersebut. Penuh ranjau dan onak duri, chewah. Haha. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi yang aku berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cukup makan.

Gambar di bawah diambil semasa sehari sebelum hari konvokesyen aku yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Masa ini aku serta keluarga menetap sementara di Hotel Kowloon yang terletak tidak jauh dari Jalan TAR. Selain keluarga aku, kami juga didatangi dengan sahabat baik dengan sepupu aku.

Masih lagi merujuk kepada gambar di bawah. Dari kiri ialah sahabat baik aku Mohamad Luqman, Almarhum Alifh Omar (adik aku), Aku, Tam Spider (ya, ni betul-betul punya, bukan edit guna photoshop), adik aku Ariffin, Muslim dan sepupu aku Suharto Sedik. Pada masa ini kebetulan jumpa Tam Spider yang baru sahaja selesai makan malam di kedai mamak tidak jauh dari hotel yang kami diami.

It was a blast! Banyak kenangan manis masa ni. Kami adik beradik beserta rakan dan sepupu aku pergi ronda-ronda sekitar Kuala Lumpur dari Sogo sehinggalah ke Bukit Bintang. Kalau di tempat kami, agak jarang berjumpa dengan gedung membeli belah yang luas dan besar macam di sini. Kalau ada mesin merentas masa, ingin sangat nak kembali ke zaman ini. Huhu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...