Monday, April 25, 2016

CERPEN : BANGLASIA

Gambar diculik dari Google (Cadangan Untuk Hiasan)

Malam itu bunyian cengkerik hampir-hampir membingitkan. Namun lumrah alam memang begitu, malam pasti akan sepi dan membosankan tanpa riuh rendah bunyian sebegitu. Pak Murad serta anaknya Nasrul sedang melepak di beranda rumah mereka. Di malam hari ketika itu, aktiviti bermalasan sebegini memang menjadi pilihan yang tepat buat Pak Murad beserta anaknya yang tercinta, Nasrul.

Pak Murad hanya mengenakan singlet putih disertai dengan seluar pelikat yang dibelinya secara atas talian beberapa bulan dahulu. Pak Murad suka seluar sebegini, ada angin sepoi-sepoi bahasa sentiasa singgah di celah kangkangnya setiap kali dia memakai seluar itu. Dia nampak lebih muda dan cool setiap kali memakai seluar sebegitu. Di tangan Pak Murad ada tablet Samsung Tab 1 versi 7.0 yang sudah digunakan olehnya lebih 3 tahun.

Pak Murad suka membaca berita Harian Metrok melalui aplikasi telefon pibtar yang disyorkan oleh sahabatnya Pak Rezal, pemilik Warung Reggae Rastafari yang terletak di hadapan lorong rumahnya itu. Pak Rezal merupakan pengamal gaya hidup Rastafari tegar sehinggakan dia kini mengusahakan masakan Nasi Ganja yang pada asalnya terkenal di Ipoh itu. Entah apa kaitan Nasi Ganja dengan cerpen ini pun aku tak tau, blur. Melalui aplikasi telefon pintar Harian Metrok itu, Pak Murad amat mudah mendapatkan berita-berita sensasi dan penuh kontroversi baik dari dalam dan luar negara.

" Arghh...kerajaan buat kerja bodoh lagi! 1.5 juta orang Bangla nak dibawa masuk ke dalam negara kita ni. Apa diorang ingat orang kita ni malas bekerja ker? Bangang punya kerajaan," dengan tidak semena-mena Pak Murad naik berang setelah membaca artikel yang berkaitan agenda kerajaan itu di dalam Harian Metrok. Berderau darahnya naik ke kepala bagai ledakan lava dari gunung berapi. Kalau di kampungnya itu, Pak Murad lebih dikenali dengan sifat anarki dan mudah memberontak. Beliau bukanlah proksi kepada mana-mana parti politik, malah beliau membenci dunia politik itu sendiri. Baik pembangkang atau kerajaan, semua dia bantai.

"Ala rileks la pak. Kerajaan nak buat apa-apa pun, itu diorang punya hal la. Bukan ada kena mengena dengan kita pun," balas Nasrul sambil jari jemarinya masih lagi asyik "berperang" dengan sahabat-sahabat dunia maya nya di dalam permainan "Clash Of Clans" melalui telefon pintarnya. Nasrul bijak dalam mengawal emosi ayahnya itu sambil buat hal dia sendiri.

"Tak ada kena mengena kau kata? Kau tengok la nanti negara kita ni bertimbunan bangsa asing, terutama sekali di kawasan tempat tinggal kita. Kadar jenayah pasti akan naik. Baru-baru ni bapak baca ada kes budak sekolah kena gangguan seksual oleh mat bangla ni. Ni pasal keselamatan la Nasrul, kau dengar tak apa yang bapak cakap ni?" kata Pak Murad sambil menghempap tangan kanannya ke atas meja di ruang beranda itu. Terkejut beruk si Nasrul dibuatnya akibat perilaku ayahandanya sebentar tadi. Hampir terpelanting dan terlepas dari genggaman telefon iPhone Nasrul akibat terkejut tadi.

Sedang Pak Murad sedang ghairah berbicara dengan anaknya itu, tanpa disedari ada satu kelibat merayap masuk ke kawasan beranda rumah itu. Entiti itu berpakaian serba putih dengan menampakkan wajah yang sugul dan pucat lesu. Sebaik sahaja entiti itu sampai ke beranda, ianya terus menyentuh bahu Pak Murad dengan tiba-tiba.

"Opocot emak kau tambi!" melatah Pak Murad dibuatnya.

Pak Murad jatuh terjelepok ke lantai beranda. Jantungnya berdegup kencang setelah disapa oleh satu entiti yang mengerikan dari belakang tubuhnya sebentar tadi. Samsung Galaxy Tab yang dipegangnya tadi hampir-hampir berentakan dengan bucu kerusi. Mujur ada Nasrul yang sempat menyambut tablet kepunyaan Pak Murad itu tadi. Terkejut juga si Nasrul dengan fi'il ayahnya sebentar tadi yang terperanjat bagai kena sampuk hantu seperti watak Nabila Huda dalam filem Munafik. Sungguh dramatik sekali. 

Tangan entiti yang memegang tubuh Pak Murad tadi semakin mendekatinya yang sudah jatuh tersungkur di lantai. Seperti tidak percaya, Pak Murad terpaku dan sukar bergerak setelah memandang wajah entiti seram di hadapannya. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hati, namun apakan daya. Dia tidak mahu membuat bising di waktu malam begini. Takut sahaja kalau-kalau ada jiran sekeliling yang membuat aduan kepada pihak polis, walhal hakikatnya tidak ada satu pun kegiatan jenayah dilakukan. 

Entiti yang berwajah sugul dan tidak bermaya di hadapannya itu berpakaian serba putih dan rambutnya panjang mengurai. Menambahkan lagi keseraman di waktu berkenaan, entiti yang mengerikan di hadapan Pak Murad ketika itu mula menyebut namanya. Seolah-oleh telah lama mengenali Pak Murad. 

"Ngapain jatuh ke lantai bapaknya? Waduh riuh bangat sih," tiba-tiba entiti yang berwajah sugul dan keputih-putihan tersebut mula membukakan mulutnya lantas berbicara bersama Pak Murad. Alangkah terkejut Pak Murad apabila isteri keduanya, Fitrya (masih muda dan bergetah. Kalau nak gambar posing lawa-lawa dia, boleh la PM gua) yang berasal dari Kalimantan Barat itu menunjukkan wajah yang mengerikan. 

"Waduh darling, kenapa muka awak putih dan pucat macam mayat ni sayang? Dah la siap berbaju putih pulak ni," Pak Murad mula memberanikan dirinya bertanya satu soalan kepada isterinya itu. "Kan ini bedak sejuk yang abang belikan untuk saya tempohari. Saya suka memakainya di waktu malam begini," jawab Fitrya dengan nada yang sedikit marah-marah manja. Walaupun wajahnya diselindungi oleh lapisan bedak sejuk, namun Fitrya masih mampu menampakkan ekspresi muka marah yang mengkagumkan dan semestinya brutal tak ingat. Cuba bayangkan bagaimana kalau Rosmah Mansur memakai bedak sejuk di waktu malam. Ha, begitulah ekspresi muka Fitrya pada ketika itu. 

 "Saya dengar tadi, abang Murad bukan main lagi mengutuk orang Bangla yang akan masuk ke Malaysia untuk bekerja di sini. Enggak bagus abang berkata sedemikian rupa. Saya ni bagaimana bang? Dahulu nasib saya pun sama seperti mereka," Fitrya mula meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada suaminya itu. 

 "Nggak. Bukan begitu, sayang. Janganlah sayang samakan diri sayang dengan orang-orang Bangla ni. Bangla lain, sayang lain," Pak Murad cuba untuk memberi penjelasan yang bernas tentang isu Bangla tadi kepada isterinya itu. Namun ianya tidak berhasil juga. Isterinya si Fitrya masih lagi merajuk dan mempamerkan wajah yang melankoli serta menakutkan itu. 

 "Aaah...malas saya mahu melayan abang. Bagus sahaja saya pergi tidur," kata Fitrya lalu beredar dari beranda tersebut dan terus berjalan memasuki bilik tidur. Baju pijamas warna putih yang dipakai Fitrya itu masih lagi menampakkan tubuhnya yang seksi dan menggiurkan. Punggung isterinya itu memang menawan, sesuai kalau diajak menari dangdut Goyang Dumang. Namun begitu, Pak Murad akur dengan situasinya sekarang. Isterinya sudah merajuk. Memang susah untuk dipujuk. Maka secara otomatiknya, Pak Murad tidak akan mendapat sebarang "ganjaran" daripada isterinya pada malam itu. Pak Murad hanya mampu berhuhu sampai pagi. "Waduh...adik manis, adik manis," Pak Murad bermonolog sendiri sambil menyesali setiap kata tuturnya sebentar tadi. 

Nasrul hanya mampu tersengeh melihat gelagat ayahnya itu dengan isteri mudanya, si Fitrya bekas tukang masak di kantin kilang papan yang terletak tidak jauh dari kampungnya itu. Nasrul kemudiannya meneruskan "peperangannya" di alam Clash Of Clans melalui telefon pintarnya itu.

TAMAT

Monday, April 18, 2016

Ulasan Kontot Untuk Buku "Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanmu?"

Setelah selesai berjogging, aku terus sambung baca buku ini...

Selesai membaca buku kumpulan puisi karya Allahyarham Rahimidin Zahari bertajuk "Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanmu?" (panjang gila tajuk buku ni kan?) sambil ditemani alunan bayu laut, desiran air di pantai dan mentari jingga di kala petang yang damai. 

Sebuah karya dari seorang insan biasa tetapi berbakat luarbiasa. Pada luarannya, mungkin buku ini mempunyai tajuk yang panjang berjela. Namun editor buku ini, Tuan Sinaganaga ada sebabnya tersendiri kenapa ia bersifat begitu. Dan sebab itu ada dijelaskan di dalam buku kecil ini. 

Sedikit maklumat tentang Rahimidin Zahari, beliau merupakan bekas pengurus Panggung Istana Budaya dan juga merupakan seorang penyair tersohor dalam dunia sastera Melayu kontemporari. Beliau telah menghasilkan 11 buku antologi puisi yang telah diterjemahkan ke dalam Inggeris, Rusia, Portugis, Arab, Korea dan Thailand. Beliau telah meninggal dunia pada tahun lepas (2015) akibat pendarahan dalam otak.

Bagi saya, kebanyakan sajak-sajak arwah Rahimidin mempunyai makna yang dekat di hati oleh golongan orang kebanyakan macam saya, awak, dia dan mereka. Seolah-olah riwayat hidupnya diceritakan dalam sajak-sajaknya lantas menuntut jiwa pembacanya mengenali arwah dalam bentuk rohani, kalau dalam bahasa orang putihnya, inner-self la. 

Buku ini bagi saya wajib dibaca bagi yang memiliki cinta di hati, tidak kira apa bangsa, dari agama mana juga anda sekalipun. Tahniah kepada Sindiket Sol-Jah kerana telah menghasilkan buku instant classic ini.

Monday, April 11, 2016

CERPEN : KERANAMU GADIS BERKURUNG TURKOIS BERBAU WANGI MANIS

Gambar dicilok dari MyMetro tanpa izin

(DIINSPIRASI OLEH KEJADIAN SEBENAR)

 Adi Irwansyah baru empat bulan bekerja di Mukah, Sarawak. Namun perwatakannya mudah disenangi oleh warga-warga tempatan di tempat itu. Adi juga seorang baik budi bahasanya. Tidak pernah bercakap kasar pada mana-mana individu yang dijumpainya. Oleh kerana ciri-ciri positif yang penuh dengan anjakan paradigma inilah yang menyebabkan Pak Ayang (bukan nama sebenar) mengambil Adi bekerja di restoran miliknya di tengah bandar Mukah. Pemuda bernama Adi Irwansyah berasal dari Sengkawang, Kalimantan Barat ini sememangnya ringan tulang. Segala pekerjaan yang disuruh oleh Pak Ayang akan segera diusahakannya.

 Cuma ada satu obsesi si Adi ini yang begitu membimbangkan. Adi suka bermain dengan apa-apa kenderaan beroda dua dalam keadaan luar biasa. Segala macam motosikal dan basikal yang dinaikinya pasti akan disusuli dengan lagak ngeri. Aksi wheelie sudah menjadi satu skill wajib setiap kali Adi menunggang motosikal mahupun basikal.

 Adi sebenarnya terinspirasi dengan gaya-gaya lasak sebegini setelah menonton sarkis semasa dia masih kecil dahulu. Dia masih ingat lagi, Royal London Circus membuat acara jelajah mereka di Pontianak ketika itu. Ayahanda Adi membawanya pergi menonton sarkis tersebut dan salah satu aksi yang disukai serta digilainya sehingga sekarang ialah lagak ngeri motosikal scrambler di dalam sangkar bulat. Terbeliak mata Adi sebulat-bulatnya semasa menonton aksi tersebut. Keterujaan untuk meniru aksi stuntman itu semakin meluap-luap dan akhirnya telah dilaksanakan oleh Adi dengan menggunakan sebuah basikal buruk milik datuknya.

 Dengan menggunakan basikal itu jugalah Adi dapat membuat lagak wheelie nya yang pertama. Selepas itu Adi mencuba aksi yang sama dengan motosikal EX5 milik ayahnya pula. Malang tidak berbau. Semasa membuat wheelie dengan menunggang motosikal tersebut, Adi jatuh terjelepok ke dalam parit kecil di hadapan jalanraya rumahnya. Masa itu kecederaan yang dialaminya tidaklah seteruk mana. Setakat calar di dahi dan ada bentuk kilat macam Harry Potter. Namun ianya tidak berakhir di situ. Adi tetap nekad untuk menjadi pelakon aksi ngeri profesional suatu hari nanti. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahinya. Kini Adi hanya mampu menjadi salah seorang dari kalangan berbilion warga tenaga kerja Indonesia yang berkhidmat di negara asing.

 Jadi bilakah datangnya watak gadis berbaju kurung turkois berbau wangi manis? Sabar. Cerita ni belum habis lagi.

Sebenarnya anak Pak Ayang ada 3 orang kesemuanya. Yang sulung namanya Uqasha (demi menjaga hak privasi, ini bukanlah nama sebenar) serta 2 orang anak kembar iaitu Nasrul dan Murad. Si Uqasha berumur 20 tahun, baru lepas mengambil peperiksaan STPM, sedang menunggu untuk kemasukan ke IPTA dan kini menolong ayahnya di kedai buat sementara. Yang 2 lagi anak kembar Pak Ayang pula adalah si Murad dan Nasrul, juga baru habis mengambil peperiksaan PT3 dan kadang-kadang ada menolong ayahnya di gerai. Oh ya, nama Murad dan Nasrul adalah nama sebenar. Budak hipster mana ada pakai nama samaran bagai. Tak cool la. 

 Kalian mesti tertanya-tanya perihal isteri Pak Ayang kan? Sebenarnya isteri Pak Ayang sudah lama meninggal. Itu pun semasa melahirkan si Murad dan Nasrul dahulu. Kesian Pak Ayang, sudah lama menduda. Sehingga kini dia masih lagi belum kahwin. Fokusnya kini hanya pada perniagaan restorannya sahaja. 

 Berbalik kepada kisah si Adi Irwansyah tadi, Adi sebenarnya menaruh hati terhadap Uqasha, anak sulung Pak Ayang tu. Setiap hari, Adi akan show-off skill lagak ngeri berbasikalnya di hadapan restoran Pak Ayang apabila sudah selesai berkerja, demi nak menunjuk-nunjuk di hadapan Uqasha. Dalam kepala otak Adi, mungkin dengan cara itu sajalah dia dapat menambat hati Uqasha. Uqasha terkadang hanya menguntum senyuman tapi ianya tidaklah bermakna dia pun suka juga kepada si Adi. Hanya si Adi sahaja yang perasan nak mampus. 

 Oh ya, pasal basikal yang digunakan oleh Adi tadi semasa membuat aksi wheelie di hadapan restoran Pak Ayang, ianya sebenarnya kepunyaan si Murad dan Nasrul. Kira macam basikal gunasama lah. Mereka berdua kan kembar. Apa salahnya kalau kongsi basikal. Kalau mengharapkan gaji Adi untuk beli basikal mountain warna merah jenama Shimanok itu, jangan haraplah. Gigit jari sampai ke sudah. 

 Ini bukan kali pertama si Adi membuat aksi wheelie di hadapan restoran Pak Ayang. Jika dihitung dengan jari dan selama dia berkerja di restoran Pak Ayang, sudah 300 kali si Adi membuat aksi itu. Sudah berbuih mulu Pak Ayang berpesan dengan Adi supaya jangan membuat aksi tersebut. Namun Adi tetap juga berdegil. 

 Semasa membuat percubaan untuk kali yang ke 301, Adi baru sahaja selesai mengemas dapur di restoran itu. Oh, lupa nak bagitau, Adi bukan sahaja sekadar seorang tukang masak di restoran itu. Dia juga memegang jawatan tukang sapu lantai, pungut sampah, cashier, tukang garu belakang badan Pak Ayang yang banyak panau tu dan banyak lagi lah. Pendek kata, si Adi ini memang betul-betul multitasking. Adi sebenarnya orang harapan Pak Ayang. 

 Berbalik kepada cerita tadi, setelah selesai mengemas restoran, Adi terus mengambil basikal mountain berwarna merah milik Murad dan Nasrul tanpa meminta izin terlebih dahulu. Tapi Murad dan Nasrul tidak berkecil hati. Agaknya sudah terbiasa kena buli, jadi mereka pun tidaklah kesah sangat. 

 Ketika itu, Uqasha sedang menyapu sampah di hadapan restoran. Uqasha mengenakan baju kurung berwarna turkois dan memakai wangian yang entah jenama apa tetapi berbau manis. Serupa macam minyak wangi yang dipakai oleh pegawai kaunter BR1M di pejabat Along Kerajaan. 

 Adi mula membuat aksi wheelie. Matanya masih lagi mengerling ke arah Uqasha yang sedang asyik menyapu. Dilihatnya Uqasha membalas pandangannya dengan senyuman yang paling manis, tidak seperti selalu. 

 Entah kenapa, percubaan wheelie kali ke 301 ini bagai ingin mengundang bencana buat Adi. Dirasakannya rantai basikal itu bagai terlalu kendur. Senyuman yang tajam menikam oleh Uqasha tadi seolah-olah menggangu fokusnya untuk berwheelie. Adi hilang pedoman dan sekaligus keseimbangan badannya juga di luar kawalannya. 

 Terasa bagai sepantas kilat, basikal yang ditunggang Adi tadi merempuh beberapa meja di restoran Pak Ayang. Semakin gelabah Adi dibuatnya. Uqasha hampir dilanggar namun dia sempat mengelak lantas berlari ke tepi. 

 Malang tidak berbau, sudahlah melanggar meja-meja di restoran itu, badan Adi terjatuh pula dari basikal tadi. Kali ini kecederaannya bukan alang-alang. Kemaluan Adi terhentak pada salah satu bucu meja di restoran itu. Adi jatuh tersungkur. Seluar Jeans Levis tiruan yang dipakainya itu terkoyak pada bahagian zip hadapan. 

 Seluruh urat di badan Adi bagaikan kejang seketika. Kesakitan yang dialamainya amat sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Senak perut juga apabila anu terhentak dengan benda tajam seperti bucu meja. Adi mengerang kesakitan. Terasa ada sesuatu yang ingin dimuntahkan oleh Adi. Perutnya terasa sakit yang amat sangat, lantas membuatkan Adi memuntahkan 2 ketul objek berbentuk bebola daging bersalut darah dari mulutnya. Kejantanan Adi sudah tiada lagi. Selang beberapa minit kemudian, Adi dibawakan ke hospital Mukah dan berita tentang kemalangan ngeri itu terus terpampar di dalam e-Newspaper Harian Metrok tidak lama selepas itu. 

 Oh ya, pada bahagian bebola scrotum yang terkeluar dari mulut itu, acah saja beb. Mana mungkin benda macam itu boleh terjadi. Ataupun besar kemungkinan boleh jadi? 

 TAMAT

Monday, April 4, 2016

Reviu Kontot : Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen



Reviu Kontot : Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen

Jika dilihat dari segi zahirnya buku, ianya tidaklah menjanjikan apa-apa sifat keterujaan. Namun, jangan cepat menilai sesuatu hanya berdasarkan kulit yang kurang kacak. Buku ini walaupun hanya mempunyai mukasurat yang tidak sampai helaian ke 100, namun isinya seolah melawan arus serta di luar dari kotak pemikiran manusia urban lagi cliche itu.

Penceritaan pada setiap cerpen di dalam buku ini amat menarik kerana diolah dalan bentuk noir serta ada penambahan elemen satira, angker (rujuk cerita "Malaikat Dalam Botol"), kritikan sosial dan bermacam-macam lagi yang aku rasa baik kalian baca sendiri untuk mengamatinya.

Buku ini sebenarnya penuh dengan pengisian yang mudah hadam walaupun kebanyakan ceritanya mempunyai naratif yang bersimpang siur seolah-olah tanpa tujuan. Namun itulah kehebatan si penulis. Benda merepek sebeginilah yang menjadi bahan humor bagi kebanyakan belia Malaysia yang berjantina lelaki khususnya. Tak, gua tak tipu. Kebanyakan lawak stoner dalam buku ni rasanya mudah difahami oleh orang lelaki yang pernah menyusuri zaman-zaman nakal. Serius, ianya betul-betul berupaya menggeletek hati anda.

Aku harap Lang Rahman akan menghasilkan buku yang terbaik sebegini (ataupun lebih bagus lagi) di masa akan datang. Akhirulkalam, bacalah buku ini sambil melayan lagu-lagu reggae dari Peter Tosh. Jangan lupa letak hashtag #hembosss
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...