Monday, June 25, 2018

Ulasan 12" EP : Ghost "If You Have Ghost" (2013)

 The 12" EP

Sedang berputar dan berkumandang lagu-lagu berhantu dari EP 12" "If You Have Ghosts" dendangan kugiran beraliran pengabdi setan iaitu Ghost. Ada vibe yang menyamankan dari aspek pendengaran namun lirik-lirik lagunya tetap jahat dan angker.

EP yang mengandungi 5 buah lagu sahaja ini mempunyai keunikannya tersendiri. Antara yang menariknya ialah Dave Grohl (Nirvana / Foo Fighters / Scream) juga menyumbangkan kreativiti beliau di dalam pembikinan EP; Dave bermain drums dan gitar untuk beberapa lagu. Dalam EP ini juga ada sebuah lagu cover yang bertajuk "I'm a Marionette" asalnya dendangan ABBA, kumpulan pop terkemuka dari Sweden. Versi Ghost untuk lagu ini ternyata amat berbeza sekali dan sesuai dengan muzik bawaan mereka. 



Walaupun durasi EP ini teramatlah singkat, namun nilai estetika rilisan ini amatlah berbeza berbanding album-album mereka yang lain. Lepas ni nak kena tunggu album baru pulak yang bakal diriliskan pada tahun ini juga.

If You Have Ghost - Ghost

Monday, June 18, 2018

Ulasan CD : Corumn 80's "Stop The Pressure" (1999)

 The EP Cover

Sedang memutarkan cakera padat dari band Corumn 80's rilisan tahun 1999 di bawah label Clockwork Records, sebuah label yang dibarisi pelbagai band punk oi! dan beberapa band dari genre berlainan. Kalau tak silap band metal Langsuyr pun pernah bernaung di bawah label ini semasa album "Asyik".

Aku masih ingat lagi semasa pertama kali mengenali band ini. Ianya sekitar tahun 2000 dan 2001, tatkala di masa itu aku masih lagi menuntut di sebuah kolej yang ditadbir pihak MARA. Kolej tersebut terletak di kawasan Beranang, tak jauh dari Kajang. Masa itu, lagu dari band ini yang bertajuk "Oh! Reena" memang dalam kategori heavy rotation di speaker-speaker radio di dalam kolej aku. Pernah menjadi kegilaan ramai jugaklah lagu ni ketika tu. Masa itu pun, band-band ska tempatan seperti Gerhana Skacinta, Ben Wavelength, Klux Klux Adventure dan Plague Of Happiness juga sedang mengorak langkah di dalam industri muzik.



Berbalik pada ulasan cd ini, setelah sekian lama barulah aku bertemu dengan seller yang ada jual cd ini dan dijual dengan harga kasih sayang. Setelah mendengar CD secara total, barulah aku dapat merasakan kenikmatan bunyian ska dari band ini.



Rupanya ianya hanyalah EP yang hanya memuatkan 5 buah lagu sahaja, mati-mati aku ingat sebelum ini ianya sebuah album penuh. Damn it! Aku lambat tahu hal-hal macam ni.

Aku rasa kekuatan sebenar muzik Corumn 80's dalam EP ini ialah permainan kibodnya. Band ini telah membuktikan bahawa genre ska tak perlu lengkap dengan bunyian sax, trombone mahupun trumpet bagi mencantikkan lagi lagu-lagunya. Cukup sekadar kibod dengan aturan hammond sahaja untuk menguatkan lagi mutu muzik mereka. 

Aku tak tahulah samada band ni masih aktif ke tidak. Ada sesiapa yang tahu pasal info yang lebih lanjut mengenai band ini?

Oh Reena - Corumn 80's (Live at KL Skanking Fest 2017)

What Have You Be - Corumn 80's

Monday, June 11, 2018

Ulasan Filem : The Avengers - Infinity War (2018)

The Poster

Jangan risau, tiada spoiler dalam ulasan ini.

Kini antara filem adiwira paling epic yang dinantikan sejak beberapa tahun lepas telah berada di pawagam berdekatan anda. Seperti filem-filem keluaran Marvel Studios sebelum ini, The Avengers : Infinity War ini menjanjikan sesuatu yang lain daripada lain. Ya, memang benar. Kelainan yang paling ketara dan unik dalam filem ini ialah kehadiran Thanos, makhluk perosak nombor satu di alam semesta.

Apa yang membezakan Marvel dan DC cinematic universe ialah jalan penceritaan masing-masing. Jika dilihat dari sisi storyline yang benar-benar teratur serta menarik, tentunya ianya berpihak kepada Marvel, berdasarkan undian ramai penonton. Pihak penulis-penulis skrip di dalam produksi Marvel ternyata amat berhati-hati serta teliti dalam merungkaikan jalan cerita yang melibatkan puluhan adiwira dan dikumpulkan dalam sebuah filem. Mengkaitkan watak-watak yang pelbagai serta signifikan dari pelbagai rangkaian sebenarnya bukan satu kerja mudah. Apatah lagi jika ianya cuba diterjemahkan dalam naskah filem untuk tontonan para penonton yang rata-ratanya bukanlah peminat tegar komik.

Watak Thanos yang dibawa oleh Josh Brolin adalah pusat perhatian (center of attraction) dalam filem ini. Josh membawakan watak ini dengan baik sekali. Walaupun ianya watak yang dibantu dengan kesan khas (CGI) namun sepanjang perjalanan filem ini, pelbagai emosi telah diluahkan baik dari sisi seorang antagonis yang amat kejam mahupun dalam perspektif makhluk lemah. Sense of purpose dalam semua tindakan yang dibuat oleh Thanos dalam filem ini diterangkan hampir secara teliti dan menepati kehendak para peminat kental komik Marvel.

Seperti yang dijangka, setelah hampir 2 jam menonton filem ini, babak akhir filem ini agak tergantung dan ianya adalah disengajakan. Membuatkan para penonton menagih sebuah kesinambungan untuk filem ini yang lebih epic lagi. Seperti filem-filem Marvel yang lepas, bahagian end credit juga merupakan saat-saat yang ditunggu oleh para peminat mereka. Walaupun begitu, hint yang diberikan pada end credit filem ini juga gagal memberi pembayang untuk filem susulan nanti, membuatkan para penonton tidak senang duduk serta ternanti-nanti. Namun secara keseluruhan, filem ini berjaya menyampaikan segala intipati pentingnya. 

Rating aku? 3.5 / 5 

P/S : Aku masih lagi dengan cara lama, pergi ke Miri semata-mata untuk menonton filem. Ini adalah kerana atas alasan peribadi.

The Official Trailer

Monday, June 4, 2018

Ulasan CD : Suaka "Tiga" (2017)

CD Suaka "Tiga"

Kalau diikutkan, muzik thrash metal sebenarnya bukanlah "makanan" aku. Aku agak memilih kalau mendengar apa-apa lagu dari sub genre ini. Telinga aku hanya akan memilih band-band thrash yang kena dengan citarasa, dan Suaka adalah di antara band-band tersebut.

Nak kata sound mereka serupa macam Toxic Holocaust, Municipal Waste ataupun Warbringer, tidaklah terlalu ketara sebab dari pemilihan riff gitar mereka langsung tidak mempunyai persamaan. Apatah kalau disamakan dengan band-band The Big Four, jauh panggang dari api. Keunikan mereka terletak pada penulisan lagu yang sangat bagus dan tidak terlalu tipikal seperti band-band thrash yang lain.

Band berasal dari New York ini semestinya menyuntik satu elemen yang segar di dalam muzik mereka walaupun amat kuat pengaruh classic hard rocknya. Band yang ada diantara ahlinya berketurunan Indonesia ini sememangnya punyai potensi lebih jauh untuk beraksi di atas pentas yang lebih besar di kemudian hari. 

Sayang seribu kali sayang, aku tak berkesempatan menonton persembahan mereka di Sibu pada 23 haribulan April yang lepas. Apa-apapun hampir kesemua lagu mereka ni memang power tak ingat dunia. 

Forget Bay Area for awhile, this is New York thrash metal to the max!

Suaka : Live at Hexagon 2017

HMHC - Suaka (live at Brooklyn 2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...