Thursday, September 16, 2021

12" LIAM GALLAGHER MTV UNPLUGGED (2020)


Piring hitam ini merupakan pembelian yang entah ke berapa kali dari distro Sonik Kicks yang diusahakan oleh Lim WT melalui aplikasi Instagram. Boleh dikatakan aku sudah jadi "regular customer" untuk distro ini. Antara sebab utama menjadikan aku suka berurusan dengan distro ini ialah servisnya yang cepat serta cekap.
OK kita letak ke tepi sekejap tentang proses pembelian tersebut, terus langsung bercerita tentang LP ini. Liam Gallagher MTV Unplugged merupakan sebuah album live yang dirakamkan di Hull City Hall, terletak di bandar Kingston tempat kelahiran Tom Holland (Spiderman).
Hull City Hall merupakan sebuah bangunan sivik yang banyak digunakan dalam menjayakan acara muzik seperti rock, pop dan serta classical (kini ianya menjadi salah satu pusat pemberian vaksin untuk rakyat UK). Rakaman MTV Unplugged ini dibuat pada 3 Ogos 2019, beberapa bulan sebelum pandemik berlaku.
Rakaman MTV Unplugged ini berjaya memuatkan 10 buah lagu termasuk 5 daripadanya adalah lagu-lagu dari Oasis. Ianya merupakan album live pertama dari Liam Gallagher dan berjaya menduduki tempat pertama di dalam carta UK Album Charts. Album ini juga mencapai rekod dalam penjualan terbesar piring hitam di UK pada June 2020. Mungkin disebabkan pandemik serta banyak masa di rumah, rakyat UK kembali membeli format piring hitam sebegini untuk menikmati muzik di rumah. Sekadar pandangan peribadi aku sahaja.
Selepas kejayaan 2 buah album sebelum itu seperti "As You Were" (2017) dan "Why Me? Why Not" (2019), kredibiliti Liam Gallagher sebagai rockstar tersohor dari UK mulai mendapat sentuhan pembaikpulih. Ramai yang tahu bagaimana perilaku Liam Gallagher ketika bersama Oasis yang sering dianggap angkuh dan kasar (serta beberapa masalah lain seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol). Ini menyebabkan kebanyakan media massa ketika itu banyak memberi pandangan negatif terhadap beliau. Walaupun semasa bersama Beady Eye (kugiran kedua Liam selepas Oasis), tabiat buruk tersebut masih sukar dibuang oleh Liam.
Mungkin boleh dianggap sebagai sebuah keajaiban, Liam Gallagher kini dapat berdiri di atas kaki sendiri tanpa bantuan abangnya Noel ataupun populariti Oasis. Namun di dalam rakaman MTV Unplugged ini, Liam masih lagi merasa selesa menyanyikan beberapa lagu Oasis kegemarannya. Mungkin beliau tidak pernah melupakan asal usulnya dahulu. Menambahkan lagi perisa serta hebatnya album live ini ialah kehadiran Paul "Bonehead" Arthurs, salah seorang anggota asal Oasis yang bermain gitar dalam beberapa lagu (kebanyakannya lagu Oasis). Mungkin boleh dianggap mini reunion Oasis kot.
Salah satu sebab aku menyukai album ini ialah pemilihan lagu-lagu oleh Liam sendiri. Ada keseimbangan dalam penyampaian di antara material solonya dan juga beberapa lagu Oasis. Dari segi arrangement muziknya juga dilihat agak kemas, teratur dan kena pada tempatnya. Walaupun lagu-lagu yang dipersembahkan tidaklah terlalu "guitar-driven" seperti di zaman Oasis, Liam Gallagher mampu membuktikan bahawa muziknya masih lagi relevan di era ini.
"But oh, I remember how you used to shine, back then
You went down so easy like a glass of wine, my friend
When the dawn came up you felt so inspired to do it again
But it turns out you only get to do it once"
- "Once" by Liam Gallagher




Stand By Me - Liam Gallagher (Live at MTV Unplugged)

2 comments:

  1. ko sebut Hull ni.
    Aku saje2 kat Twitter , follow kedai2 muzik fizikal dan buku2 berkenaan muzik dan hiburan. Dan kedai2 ni terletak di Hull.

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...