Thursday, March 31, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : THE BATMAN (2022)


Setelah banyak kali terserempak dan terbaca beberapa ulasan mengenai filem ini, akhirnya aku tergerak hati untuk menontonnya. Jika melibatkan filem superhero, aku tidak berfikir dua kali untuk menontonnya di pawagam, baik ianya dari dunia Marvel ataupun DC comics kerana ianya pasti berbaloi untuk ditonton di lokasi tersebut. Namun setelah menontonnya sehingga habis, "The Batman" arahan Matt Reeves ini bukanlah sebuah filem adiwira yang tipikal. Malah ada yang berpendapat ianya bukanlah berkonsepkan superhero secara total dan aku bersetuju dengan pendapat ini.
"The Batman" lebih berorientasikan kepada genre penyiasatan dan juga crime drama. Jika anda yang jenis suka menonton siri TV seperti CSI mahupun Law Order, anda mungkin terhibur dengan filem ini. Cuma ianya masih lagi dibayangi dengan beberapa watak utama di dalam komik DC tersebut seperti The Riddler, Penguin dan Catwoman.
Jika anda perasan, pada bahagian awal dan akhir filem ini, ada babak di mana watak Bruce Wayne bermonolog dan menjadi narrator dalam memperjelaskan keadaan sebenar di bandaraya Gotham. Konsep ini hampir sama (ataupun sengaja dibuat begini) dengan genre "noir". Filem ini berjaya menaikkan kembali konsep tersebut dengan ciri-ciri pentingnya seperti latarbelakang yang kelam, adegan perbualan yang deep dan misterius serta jalan cerita yang mempunyai elemen kejutan di beberapa babak.
Antara faktor lain yang menjadi daya tarikan filem ini secara tidak sedar ialah music score nya. Michael Giacchino yang ditugaskan menjadi komposer music latarbelakang filem ini ternyata berjaya menghasilkan runut bunyi yang sesuai dengan mood filem ini. Dengan menjadikan lagu "Something In The Way" dari kugiran grunge Nirvana sebagai bahan rujukan dan asas untuk music score nya, Michael Giacchino berjaya melengkapkan filem ini menjadi satu filem gabungan genre "noir" dan crime drama yang sangat bagus.
Kalau dibandingkan ciri-ciri watak Batman ini dengan yang sebelumnya, aku rasa versi Robert Pattinson ini sedikit kurang dari pelbagai aspek. Dari segi penggunaan gajet ada yang nampak obsolete seperti bat mobile dan motosikalnya, akan tetapi Matt Reeves pandai menyeimbangkan dengan beberapa barangan lain yang penggunanya "di luar kotak pemikiran". Kalau hendak tahu apa gajet yang aku maksudkan, kenalah tengok filem ini. Bagi aku, Batman versi Ben Affleck mempunyai gajet
hebat
dan memukau berbanding yang lain.
Secara keseluruhan, filem "The Batman" ini berbaloi untuk ditonton kerana ianya mempunyai jalan cerita yang sangat menarik dan mampu membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang 3 jam durasinya. Filem ini mengingatkan aku dengan satu lagi filem crime drama iaitu "Seven" (1995) lakonan Brad Pitt dan Morgan Freeman. Antara persamaan yang aku dapat kesan di antara kedua-dua filem ini ialah watak antagonis yang telah mencapai matlamatnya di hujung cerita walaupun telah berjaya diberkas (maaf untuk spoiler ini). Pengakhiran filem ini hampir-hampir biblical dan sama taraf dengan "Joker" lakonan Joaquin Phoenix.
Rating? 4.5 / 5




Monday, March 28, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : BELLE (2021)

 ULASAN RINGKAS FILEM : BELLE (2021)

...dan sedikit promosi untuk beberapa barangan Uniqlo
Aku mula mengetahui tentang filem ini sekitar penghujung tahun lepas apabila berkunjung ke kedai menjual pakaian hipster iaitu Uniqlo (hipster ala orang Jepun kot). Aku suka membelek-belek di seksyen menjual t-shirt grafik sebenarnya kerana banyak desain yang lawa belaka. Ada di antaranya inspirasi daripada siri anime kesukaan aku seperti Demon Slayer, Jujutsu Kaisen, Neon Genesis Evangelion dan banyak lagi. Tidak lama selepas itu aku pun terserempak dengan koleksi tshirt tribute kepada Studio Chizu.
Kepada yang mengenali dunia anime, nama Studio Chizu ini sangat sinonim dengan beberapa filem anime terkenal seperti "The Girl Who Leapt Through Time", "The Boy and The Beast", "Mirai", "Wolf Children", "Summer Wars" dan banyak lagi. Kebanyakan filem anime dari Studio Chizu ini adalah arahan Mamoru Hosoda. Nama pengarah ini juga sebenarnya tidak asing juga di luar Jepun kerana filem "Mirai" arahan beliau pernah dinominasikan di beberapa kategori semasa Academy Awards yang ke-91 dan menjadi pemenang di Annie Awards sebagai Filem Animasi
Terbaik
.
Di dalam koleksi tshirt Uniqlo dari Studio Chizu itu, aku tertarik dengan 2 buah baju tee yang mempunyai desain menarik dan ianya mempromosikan sebuah filem terbaru arahan Mamoru Hosoda iaitu "Belle". Sebelum itu pun aku sudah menonton trailer filem ini di Youtube. Dengan penggunaan CGI yang cutting edge dan kualiti anime nya yang
hebat
, filem "Belle" ini menjanjikan sesuatu keunikan dari filem-filem Mamoru Hosoda yang lain. Namun akhirnya, aku tak jadi beli tshirt-tshirt dari filem "Belle" sebab lebih tertarik nak beli yang ada desain untuk filem "The Girl Who Leapt Through Time". Baru sekarang rasa menyesal sebab tak beli huhu.
Berbalik kepada ulasan filem ini, "Belle" merupakan sebuah filem anime bergenre fantasi, muzikal dan teen romance. Ada sedikit penambahbaikan pada filem ini jika dibandingkan dengan karya-karya Mamoru Hosoda sebelum ini. Jika dahulu elemen CGI tidak berapa ditekankan di dalam filem beliau. Akan tetapi dalam filem ini, elemen itulah yang menjadi salah satu ramuan utama untuk "Belle".
Kali ini Mamoru Hosoda cuba bereksperimentasi dengan genre muzikal di mana jika dilihat dalam industri animasi Jepun, membuat filem anime yang berorientasikan nyanyian adalah sesuatu yang janggal. Namun Mamoru Hosoda berjaya membuktikan yang beliau berjaya menghasilkan karya epik ini. Elemen muzikal sebenarnya menjadi salah satu daya tarikan penting di dalam filem ini. Vokal dari penyanyi / penulis lagu iaitu Kaho Nakamura tersangatlah memukau sehinggakan ada beberapa lagu nyanyian beliau boleh membuatkan anda sing-a-long walaupun tidak memahami bahasa Jepun.
Walaupun ada beberapa babak yang dianggap mencuri idea dari Disney (iaitu konsep Beauty And The Beast) namun jalan cerita utamanya langsung tidak berkait rapat dengan konsep tersebut. Masih terserlah juga jalan cerita utama filem ini yang lain daripada lain.
Kepada mereka yang meminati filem anime yang bergenre science fiction, jangan lepaskan peluang ini. Tontoni filem "Belle" ini di Netflix.
Rating? 4.5 / 5





Thursday, March 24, 2022

LAGU NIRVANA DI DALAM FILEM "THE BATMAN" (2022)

 SOMETHING IN THE WAY

Tertarik dengan komen di YouTube tentang muzik latar untuk The Batman (2022) di mana ia menggunakan lagu "Something In The Way" (Nirvana) sebagai lagu tema filem ini. Tapi memang betul la, semasa aku selesai menonton filem ini bersama keluarga, masuk saja dalam kereta, aku terus pasang lagu ni di Spotify.
"I am vengeance!"




Monday, March 21, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : UZAKI-CHAN WA ASOBITAI! - UZAKI CHAN WANTS TO HANG OUT (2020)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : UZAKI-CHAN WA ASOBITAI! - UZAKI CHAN WANTS TO HANG OUT (2020)

Kalau anda seorang yang selalu mengikuti siri-siri anime Jepun, mesti anda sudah terbiasa dengan lawak cringey dan miang mereka, kan? Elemen sebegini sebenarnya sudah lama bertapak di dalan industri pembikinan anime dan rasanya seakan-akan terbiasa dengan lawak sebegini. Masakan kita boleh lupa dengan watak miang seperti Master Roshi (juga dikenali dengan nama Datuk Kame) di dalam anime Dragonball. Ada banyak lagi contoh, cuma aku saja yang lupa.

Tidak terkecuali juga dgn siri anime ini iaitu "Uzaki-chan Wa Asobitai" (Uzaki-chan Wants To Hang Out) tetapi pendekatannya sedikit berbeza kerana lebih fokus kepada unsur komedi romantik dan tidak terlalu menyentuh tentang lawak miang walaupun ada beberapa watak di dalamnya menyerlahkan lagi sisi tersebut.

Siri anime ini mula ditayangkan pada 10 Julai 2020 dan masih lagi berterusan sehingga sekarang. Anime ini juga diambil dari manga hasil karya Takè dan diarahkan oleh Kazuya Miyura. Siri anime ini merupakan sebuah karya di bawah syarikat produksi ENGI (antara anime lain yang dihasilkan oleh syarikat ini ialah "Kemono Michi : Rise Up").

"Uzaki-chan Wa Asobitai" mengisahkan tentang seorang gadis berusia 19 tahun bernama Hana Uzaki yang baru sahaja memasuki sebuah kolej. Semasa sesi pendaftaran, dia terserempak dengan seorang senior yang sama belajar dengannya ketika di sekolah menengah dahulu. Senior yang bernama Shinichi Sakurai ini pernah mengajar Hana Uzaki berenang ketika sama-sama memasuki kelab renang di sekolah menengah dahulu. Namun disebabkan perangai Sakurai yang suka menyendiri menyebabkan Uzaki benar-benar mahu mengubah personaliti abang seniornya itu menjadi seorang yang pandai bersosial.

Di Jepun, siri ini mendapat pelbagai reaksi dari penggemar anime. Ada yang berpendapat bahawa siri anime ini tidak mengikut jalan cerita sebenarnya seperti di dalam manga. Kalau diikutkan banyak juga siri anime lain yang tidak setia dengan jalan cerita asal seperti yang terdapat di dalam manga. Ini bukanlah isu baru sebenarnya. Antara perkara lain yang menjadi topik perbincangan peminat anime ialah watak Uzaki-chan itu sendiri yang dilihat terlalu menjengkelkan. Kebanyakan yang berpendapat sedemikian ialah para otaku dari luar negara. Secara peribadi aku tidak merasakan watak tersebut menjengkelkan. Kita kena faham, siri anime ini lebih menghala ke arah komedi Jepun. Sense of humor yang digunakan pun lebih ke arah pemahaman masyarakat Jepun yang mutakhir.

Kesimpulannya, siri anime ini memang seronok ditonton. Jalan ceritanya juga menarik disamping kita dapat menyaksikan bagaimana setiap watak di dalamnya berkembang. Tidak sabar untuk menonton episod yang seterusnya.

Rating? 3.5 / 5



Thursday, March 17, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : TOKYO GHOUL

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : TOKYO GHOUL

Kalau diikutkan siri anime ini sudah lama disiarkan di pelbagai saluran media, baik dari aplikasi hiburan seperti Netflix mahupun YouTube. Animasi ini juga pernah diadaptasikan kepada filem live action pada tahun 2017 dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan ketika itu. Cuma itulah, baru sekarang aku ada masa nak menghayati siri anime ini secara serius dan penuh fokus (ceh!).

Tokyo Ghoul asalnya merupakan sebuah siri manga bergenre dark fantasy yang dihasilkan oleh ilustrator Sui Ishida. Ianya diterbitkan melalui majalah manga Weekly Young Jump dari tempoh September 2011 sehinggalah September 2014. Anime untuk siri ini kemudiannya memasuki pasaran Amerika melalui saluran Adult Swim (di antara produk lain yang pernah disiarkan melalui Adult Swim ialah Rick And Morty, Robot Chicken, Family dan Samurai Jack).

Ianya mengisahkan tentang dunia yang dihuni oleh segelintir makhluk mistik bernama Ghoul dan ianya banyak didapati di Jepun. Makhluk ini hidup dalam komunitinya tersendiri dan meneruskan kehidupan mereka dengan memakan daging manusia. Baik dari manga ataupun anime, siri ini bermula dengan watak seorang remaja bernama Kaneki Ken yang berperwatakan pemalu, suka menyendiri dan merupakan seorang penuntun di sebuah universiti. Pada masa yang sama, Kaneki berkenalan dengan seorang wanita bernama Rize Kamishiro. Tanpa disedari, Kaneki Ken sebenarnya menjadi bahan makanan kepada Rize yang sebenarnya adalah seekor ghoul.

Secara keseluruhan, anime ini sebenarnya sangat menarik. Cuma aku rasakan semasa memasuki musim ketiga anime ini, plot cerita menjadi sedikit berterabur dan memaksa penonton untuk mengingati pelbagai plot yang berlaku di dalam musim lepas. Tambahan pula ianya juga banyak memperkenalkan watak-watak baharu yang agak asing daripada musim pertama dan kedua. Tetapi jika anda seorang pembaca manga Tokyo Ghoul, rasanya tiada masalah untuk anda menikmati jalan cerita ini.

Rating? 3.5 / 5

P/S : Anime ini tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.



Monday, March 14, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : UCHIAGE HANABI - FIREWORKS (2017)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : UCHIAGE HANABI - FIREWORKS (2017)

Kadang-kala ada beberapa filem yang kita tonton di mana pertama kali mendapat maklumat awal tentangnya adalah bukan dari video trailer yang disiarkan di YouTube mahupun dari kebanyakan media sosial. Akan tetapi daripada lagu yang sering didengar baik dari radio mahupun daripada pelbagai aplikasi telefon pintar seperti Spotify ataupun iTunes.

Begitu jugalah yang berlaku kepada aku tentang pengenalan filem ini. Aku tahu tentang filem ini pun daripada video muzik penyanyi Jepun yang agak sensasi ketika ini iaitu Kenshi Yonezu dan teman duetnya Daoko. Lagu tersebut berjudul "Uchiage Hanabi" yang bermaksud bunga api. Lagu tersebut juga terdapat di dalam album runut bunyi filem ini.

Secara peribadi, aku minat jugalah dengan kebanyakan lagu Kenshi Yonezu ini. Selain menjadi seorang penyanyi, Kenshi Yonezu juga seorang penulis lagu dan juga illustrator. Kebanyakan ilustrasi yang dibuat oleh Kenshi Yonezu banyak dipaparkan di beberapa majalah berkaitan animasi dan beliau juga merekacipta cover albumnya sendiri. Ada beberapa ilustrasi beliau juga digunakan pada koleksi tshirt keluaran Uniqlo. Kenshi Yonezu juga popular melalui sistem software Vocaloid, sebuah perincian yang bertindak sebagai synthesizer vokal.

Berbalik kepada ulasan tadi, filem "Uchiage Hanabi (Shita Kara Miku Ka? Yoko Kara Miku Ka?)" yang bermaksud "Bunga Api (Adakah sepatutnya kita melihatnya dari sisi ataupun bawah?)" merupakan sebuah karya yang sarat dengan emosi dan juga elemen fantasi. Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah telefilem dengan tajuk yang sama dan diarahkan oleh Akiyuki Shinbo.

Filem ini mengisahkan tentang dua remaja bernama Norimichi dan Nazuna yang tinggal di sebuah pekan kecil bernama Moshimo. Norimichi merupakan seorang remaja lelaki yang berperwatakan riang dan aktif, dalam diam menyimpan perasaan cinta terhadap seorang gadis sekelasnya iaitu Nazuna. Pada suatu hari, Nazuna terjumpa sebuah guli yang mempunyai pelbagai corak pelik di tepi pantai. Dalam beberapa peristiwa yang dihadapi oleh kedua-dua watak utama di dalam filem ini, guli aneh tersebut memainkan peranan untuk merapatkan hubungan kedua-duanya namun berakhir dengan situasi yang pelik dan memeningkan lantas menyebabkan mereka berdua terperangkap di dalam dunia yang tiada batasan masa dan ruang.

Filem ini tidak ubah seperti menonton "Inception" karya Christopher Nolan dan "Happy Death Day" (sebuah filem horror komedi yang diriliskan pada tahun 2017). Ianya menggabungkan pelbagai elemen cereka sains dan memerlukan penonton untuk fokus pada setiap perkara yang ingin disampaikan sepanjang filem ini berjalan.

Jika anda merupakan seorang penonton yang tidak suka melayan filem yang membuatkan anda banyak berfikir, filem ini tidak sesuai untuk anda. Boleh jadi anda akan merasakan filem ini agak membosankan. Secara peribadi, filem ini tidaklah mengecewakan namun tidak juga terlalu hebat. Jika setiap plot dalam filem ini dikembangkan dengan tertib dan teratur, aku rasa filem ini akan lebih mudah difahami, berjaya dari aspek penceritaan dan diterima baik oleh kebanyakan penonton.

Rating? 2.5 / 5



Thursday, March 10, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AMAAMA TO INAZUMA - SWEETNESS AND LIGHTNING

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AMAAMA TO INAZUMA - SWEETNESS AND LIGHTNING

Kalau kita berbicara tentang dunia masakan, rasanya ada banyak siri anime yang menyentuh topik ini. Dari ketelitian cara memasak di dalam filem-filem Makoto Shinkai seperti Weathering With You sehinggalah kepada siri seperti Food Wars (Shokugeki No Soma), dunia kulinari juga dianggap sebagai salah satu daya penarik di dalam anime.

Begitu jugalah yang terdapat di dalam siri anime "Amaama To Inazuma" di mana ianya juga memfokuskan tentang dunia masakan tetapi dari aspek pandangan seorang pemula (beginner). Siri anime ini asalnya dari manga dengan tajuk yang sama (disiarkan pada Mac 2013 sehinggalah Ogos 2018) dan diterbitkan oleh TMS/3xCube, syarikat produksi yang pernah menghasilkan filem bertaraf legenda iaitu Akira.

Siri anime "Amaama To Inazuma" ini menceritakan tentang seorang guru matematik bernama Kohei Inuzuka yang telah kematian isteri dan terpaksa membesarkan anak perempuannya Tsumugi berusia 5 tahun. Inuzuka sering memberikan anaknya makanan bungkus kepada anaknya selepas 6 bulan kematian isterinya. Pada satu ketika, Inuzuka bertekad untuk mendalami dunia masakan kerana beliau inginkan makanan yang terbaik dan sihat untuk anaknya. Dengan bantuan anak muridnya Kotori Iida, Cikgu Kohei Inuzuka semakin pandai memasak beberapa hidangan yang disukai oleh anaknya Tsumugi.

Apa yang menjadi penarik kepada siri ini ialah sifat penyayang seorang bapa yang ditunjukkan oleh Kohei Inuzuka terhadap anaknya Tsumugi. Selepas kehilangan isteri tercinta, Inuzuka ternyata berjaya kuatkan semangat untuk terus hidup dan nekad untuk membesarkan anaknya sebaik mungkin. Benda sebegini mungkin nampak ringkas tetapi kesannya amatlah mendalam apabila dirasai oleh golongan yang telah berkeluarga.

Daya penarik kedua ialah resepi-resepi masakan yang diperkenal satu persatu di dalam anime ini. Kesemuanya nampak sedap belaka dan kebanyakannya adalah masakan yang amat digemari oleh masyarakat marhaen di Jepun. Selain sushi, wasabi dan onigiri, rakyat Jepun juga mempunyai pelbagai masakan kegemaran yang menarik dan lazat. Kesemuanya dapat kita saksikan dari siri anime ini.

Rating? 4/5



Monday, March 7, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : GOEDAM (2020)

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : GOEDAM (2020)

Kalau kita bercerita tentang kehebatan filem-filem horror dari Korea Selatan, sudah pastinya kebanyakan daripadanya jarang mengecewakan. Kali terakhir aku menonton filem seram Korea ialah "Gonjiam : Haunted Asylum" dan "The Wailing" (kegemaran aku ni). Industri perfileman Korea Selatan sekarang ini sudah mencapai tahap yang membanggakan. Apatah lagi semenjak filem Parasite (2019) memenangi anugerah di Academy Award awal tahun ini, industri perfileman Korea sudah mendapat perhatian dunia dan kualiti mereka jauh lebih maju daripada kebanyakan negara Asia lain.

Siri Netflix berjudul Goedam ini pula lebih fokus kepada penyampaian elemen seram dalam format filem pendek (short films) yang kebiasaan kita jumpa di YouTube. Cuma kali ini ianya dilihat lebih tersusun dan mengikut turutan walaupun hakikatnya kesemua 8 episod di dalam siri ini saling tidak berkait rapat. Setiap episod hanya memakan masa lebih kurang 5 ke 8 minit sahaja. Cuma episod terakhir sahaja yang meleret sampai 8 minit tetapi masih "seronok" untuk ditonton.

Setiap episod di dalam siri ini menceritakan tentang legenda urban yang dikatakan menjadi buah mulut masyarakat setempat di Korea. Elemen seperti roh jahat yang mengacau dan membunuh manusia serta pengamalan ilmu hitam memang menjadi ramuan utama dalam siri ini. Cuma itulah, siri ini memang tidak sesuai ditonton bagi individu yang berumur 18 tahun ke bawah akibat terlalu banyak memaparkan adegan yang ganas.

Rating? 3/5



Thursday, March 3, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : UMI GA KIKOERU - OCEAN WAVES (1993)

ULASAN RINGKAS FILEM : UMI GA KIKOERU - OCEAN WAVES (1993)

Filem animasi ini merupakan sebuah keluaran Studio Ghibli khusus untuk tontonan di siaran TV Nippon Televison Network. Ianya pertama kali disiarkan pada tahun 1993 dan diarahkan oleh seorang kakitangan Studio Ghibli juga iaitu Tomomi Muchizuki dan ianya merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama karya Saeko Himura.

Filem ini lebih ke arah drama romantik dan penonton yang menjadi sasaran ialah golongan remaja sehingga dewasa. Filem ini mengisahkan tentang percintaan 3 segi di antara tiga sekawan yang tinggal di sebuah bandar kecil bernama Kochi. Bandar ini pula terletak di sebuah pulau iaitu Shikoku. Pulau ini merupakan kedua terbesar di Jepun selepas Okinawa. Watak utamanya Taku dan sahabatnya Yutaka menyimpan perasaan terhadap seorang gadis seusia mereka yang baru berpindah dari Tokyo bernama Rikako. Kedua-dua sahabat tersebut menghadapi pelbagai konflik setelah mengenali gadis tersebut walaupun menyimpan perasaan terhadapnya.

Filem ini sebenarnya adalah satu projek eksperimen yang dilakukan oleh pihak Studio Ghibli ke atas beberapa kakitangan mereka yang masih junior pada ketika itu. Kebanyakan yang terlibat dengan projek ini berusia di antara 25 hingga 35 tahun. Ini adalah kerana pihak Studio Ghibli berharap dapat mengasah bakat mereka dalam menghasilkan sebuah filem dengan bajet yang kecil. Namun hasilnya, filem ini membelanjakan wang yang terlalu banyak dan juga terlepas daripada tarikh tayangan yang sepatutnya.

Pada ketika filem ini ditayangkan di Jepun, ianya tidaklah mendapat respon yang memberansangkan daripada penonton. Ianya cuma dianggap seperti filem televisyen yang biasa sahaja. Namun setelah filem ini ditayangkan di Amerika pada tahun 2016, ramai penonton di sana menganggap ianya lebih banyak berkait rapat dengan budaya LGBTQ.

Mungkin persepsi masyarakat di sana agak berbeza apabila memandang persahabatan di antara watak Taku dan Yutaka dianggap terlalu intim sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa ianya lebih ke arah homoseksual. Ada beberapa babak yang menimbulkan keresahan tersebut seperti watak Taku dan Yutaka bertelefon sesama sendiri dalam tempoh yang lama dengan hanya berbasa-basi. Babak lain seperti semasa Taku bermonolog dengan mengatakan bahawa Yutaka amat berbeza dengan kawan-kawannya yang lain. Perbezaan yang dimaksudkan hanyalah dari segi keprihatinan sahaja. Jika di Asia, ianya dianggap biasa sahaja. Para penonton di Amerika sahaja yang suka menokok tambah persepsi tersebut dengan ideologi mereka.

Kesimpulannya, filem ini menghidangkan sketsa drama yang lebih ringan berbanding dengan beberapa keluaran Studio Ghibli. Filemnya sederhana namun amat sesuai ditonton oleh golongan yang dewasa. Ini merupakan beberapa filem Studio Ghibli yang bukan berorientasikan elemen fantasi mahupun petualangan. Satu keluaran yang bagus sebenarnya di samping mempunyai runut bunyi yang mengasyikkan dan menampilkan muzik-muzik Japanese City Pop.

Rating? 3/5



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...