Thursday, March 31, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : THE BATMAN (2022)


Setelah banyak kali terserempak dan terbaca beberapa ulasan mengenai filem ini, akhirnya aku tergerak hati untuk menontonnya. Jika melibatkan filem superhero, aku tidak berfikir dua kali untuk menontonnya di pawagam, baik ianya dari dunia Marvel ataupun DC comics kerana ianya pasti berbaloi untuk ditonton di lokasi tersebut. Namun setelah menontonnya sehingga habis, "The Batman" arahan Matt Reeves ini bukanlah sebuah filem adiwira yang tipikal. Malah ada yang berpendapat ianya bukanlah berkonsepkan superhero secara total dan aku bersetuju dengan pendapat ini.
"The Batman" lebih berorientasikan kepada genre penyiasatan dan juga crime drama. Jika anda yang jenis suka menonton siri TV seperti CSI mahupun Law Order, anda mungkin terhibur dengan filem ini. Cuma ianya masih lagi dibayangi dengan beberapa watak utama di dalam komik DC tersebut seperti The Riddler, Penguin dan Catwoman.
Jika anda perasan, pada bahagian awal dan akhir filem ini, ada babak di mana watak Bruce Wayne bermonolog dan menjadi narrator dalam memperjelaskan keadaan sebenar di bandaraya Gotham. Konsep ini hampir sama (ataupun sengaja dibuat begini) dengan genre "noir". Filem ini berjaya menaikkan kembali konsep tersebut dengan ciri-ciri pentingnya seperti latarbelakang yang kelam, adegan perbualan yang deep dan misterius serta jalan cerita yang mempunyai elemen kejutan di beberapa babak.
Antara faktor lain yang menjadi daya tarikan filem ini secara tidak sedar ialah music score nya. Michael Giacchino yang ditugaskan menjadi komposer music latarbelakang filem ini ternyata berjaya menghasilkan runut bunyi yang sesuai dengan mood filem ini. Dengan menjadikan lagu "Something In The Way" dari kugiran grunge Nirvana sebagai bahan rujukan dan asas untuk music score nya, Michael Giacchino berjaya melengkapkan filem ini menjadi satu filem gabungan genre "noir" dan crime drama yang sangat bagus.
Kalau dibandingkan ciri-ciri watak Batman ini dengan yang sebelumnya, aku rasa versi Robert Pattinson ini sedikit kurang dari pelbagai aspek. Dari segi penggunaan gajet ada yang nampak obsolete seperti bat mobile dan motosikalnya, akan tetapi Matt Reeves pandai menyeimbangkan dengan beberapa barangan lain yang penggunanya "di luar kotak pemikiran". Kalau hendak tahu apa gajet yang aku maksudkan, kenalah tengok filem ini. Bagi aku, Batman versi Ben Affleck mempunyai gajet
hebat
dan memukau berbanding yang lain.
Secara keseluruhan, filem "The Batman" ini berbaloi untuk ditonton kerana ianya mempunyai jalan cerita yang sangat menarik dan mampu membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang 3 jam durasinya. Filem ini mengingatkan aku dengan satu lagi filem crime drama iaitu "Seven" (1995) lakonan Brad Pitt dan Morgan Freeman. Antara persamaan yang aku dapat kesan di antara kedua-dua filem ini ialah watak antagonis yang telah mencapai matlamatnya di hujung cerita walaupun telah berjaya diberkas (maaf untuk spoiler ini). Pengakhiran filem ini hampir-hampir biblical dan sama taraf dengan "Joker" lakonan Joaquin Phoenix.
Rating? 4.5 / 5




1 comment:

  1. TQ untuk review ni, banyak info. Setelah tengok, aku setuju dgn pandangan ini.

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...