Monday, September 20, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME NETFLIX : TRESE (2021)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME NETFLIX : TRESE (2021)

Tahun ini menyaksikan beberapa siri komik yang diadaptasikan ke siri berbentuk live-action ataupun anime di aplikasi Netflix seperti Sweet Tooth dan juga Trese. Kedua-duanya mempunyai keunikan tersendiri dan jalan ceritanya pun tidak lari jauh daripada karya asal iaitu komik. Menariknya tentang Trese ialah ianya merupakan siri anime adaptasi dari komik pertama dari Filipina yang berjaya ditayangkan di Netflix.
Ianya merupakan sebuah kejayaan buat para pengkarya seni di Filipina kerana ianya mengangkat sisi mitos dan kepercayaan mistik negara tersebut buat tontonan masyarakat dunia khususnya. Selama ini kita hanya disajikan dengan momok dari negara dominan dalam genre horror seperi Amerika, UK, Jepun, Thailand, Turki dan banyak lagi. Kali ini kita dapat menyelusuri sisi fantasi gelap dari Filipina beserta dengan situasi sebenar tentang kesempitan hidup dan jenayah dalam masyarakat di negara itu.
Trese pada asalnya merupakan sebuah siri komik dalam bahasa Tagalog yang dihasilkan oleh Budjette Tan dan Kajo Baldisimo. Ianya kemudiannya dibawa ke dunia streaming Netflix melalui kolaborasi BASE Entertainment yang diarahkan oleh Jay Oliva. Secara keseluruhan, siri anime hanya mempunyai 6 episod sahaja. Jadi tidak menjadi masalah untuk dihabiskan tontonan dalam masa sehari. Haha.
Jalan cerita siri anime ini sebenarnya agak unik. Berlatarbelakangkan kotaraya Manila yang dilihat agak kelam dan misterius (kerana para penghuninya tidak hanya manusia malah melibatkan beberapa makhluk mistik lain yang kebanyakannya ganas dan menakutkan), watak utamanya Alexandra Trese dilihat menjadi satu figura yang hampir sama seperti John Constantine namun lebih ke arah penguasaan ilmu kedukunan "Babaylan". Antara faktor utama siri Trese ini berjaya menambat hati para penontonnya ialah jalan ceritanya yang unik. Semakin hampir ke penghujung siri ini, jalan ceritanya menjadi semakin menarik untuk ditonton.
Rating? 4 / 5








Thursday, September 16, 2021

12" LIAM GALLAGHER MTV UNPLUGGED (2020)


Piring hitam ini merupakan pembelian yang entah ke berapa kali dari distro Sonik Kicks yang diusahakan oleh Lim WT melalui aplikasi Instagram. Boleh dikatakan aku sudah jadi "regular customer" untuk distro ini. Antara sebab utama menjadikan aku suka berurusan dengan distro ini ialah servisnya yang cepat serta cekap.
OK kita letak ke tepi sekejap tentang proses pembelian tersebut, terus langsung bercerita tentang LP ini. Liam Gallagher MTV Unplugged merupakan sebuah album live yang dirakamkan di Hull City Hall, terletak di bandar Kingston tempat kelahiran Tom Holland (Spiderman).
Hull City Hall merupakan sebuah bangunan sivik yang banyak digunakan dalam menjayakan acara muzik seperti rock, pop dan serta classical (kini ianya menjadi salah satu pusat pemberian vaksin untuk rakyat UK). Rakaman MTV Unplugged ini dibuat pada 3 Ogos 2019, beberapa bulan sebelum pandemik berlaku.
Rakaman MTV Unplugged ini berjaya memuatkan 10 buah lagu termasuk 5 daripadanya adalah lagu-lagu dari Oasis. Ianya merupakan album live pertama dari Liam Gallagher dan berjaya menduduki tempat pertama di dalam carta UK Album Charts. Album ini juga mencapai rekod dalam penjualan terbesar piring hitam di UK pada June 2020. Mungkin disebabkan pandemik serta banyak masa di rumah, rakyat UK kembali membeli format piring hitam sebegini untuk menikmati muzik di rumah. Sekadar pandangan peribadi aku sahaja.
Selepas kejayaan 2 buah album sebelum itu seperti "As You Were" (2017) dan "Why Me? Why Not" (2019), kredibiliti Liam Gallagher sebagai rockstar tersohor dari UK mulai mendapat sentuhan pembaikpulih. Ramai yang tahu bagaimana perilaku Liam Gallagher ketika bersama Oasis yang sering dianggap angkuh dan kasar (serta beberapa masalah lain seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol). Ini menyebabkan kebanyakan media massa ketika itu banyak memberi pandangan negatif terhadap beliau. Walaupun semasa bersama Beady Eye (kugiran kedua Liam selepas Oasis), tabiat buruk tersebut masih sukar dibuang oleh Liam.
Mungkin boleh dianggap sebagai sebuah keajaiban, Liam Gallagher kini dapat berdiri di atas kaki sendiri tanpa bantuan abangnya Noel ataupun populariti Oasis. Namun di dalam rakaman MTV Unplugged ini, Liam masih lagi merasa selesa menyanyikan beberapa lagu Oasis kegemarannya. Mungkin beliau tidak pernah melupakan asal usulnya dahulu. Menambahkan lagi perisa serta hebatnya album live ini ialah kehadiran Paul "Bonehead" Arthurs, salah seorang anggota asal Oasis yang bermain gitar dalam beberapa lagu (kebanyakannya lagu Oasis). Mungkin boleh dianggap mini reunion Oasis kot.
Salah satu sebab aku menyukai album ini ialah pemilihan lagu-lagu oleh Liam sendiri. Ada keseimbangan dalam penyampaian di antara material solonya dan juga beberapa lagu Oasis. Dari segi arrangement muziknya juga dilihat agak kemas, teratur dan kena pada tempatnya. Walaupun lagu-lagu yang dipersembahkan tidaklah terlalu "guitar-driven" seperti di zaman Oasis, Liam Gallagher mampu membuktikan bahawa muziknya masih lagi relevan di era ini.
"But oh, I remember how you used to shine, back then
You went down so easy like a glass of wine, my friend
When the dawn came up you felt so inspired to do it again
But it turns out you only get to do it once"
- "Once" by Liam Gallagher




Stand By Me - Liam Gallagher (Live at MTV Unplugged)

Monday, September 13, 2021

MENGIMBAU KEMBALI ALBUM "WHITE PONY" DARI DEFTONES (21st ANNIVERSARY)

 

Mungkin ramai yang pasti bersetuju (terutama sekali bagi mereka yang meminati irama nu-metal) bahawa album ini merupakan "magnum opus" sepanjang karier Deftones dalam industri muzik khususnya. Album yang berjaya mendapat platinum record (certified by RIAA) dan memenangi anugerah di Grammy Award tahun 2001 melalui kategori "Best Metal Performance", "White Pony" sememangnya salah satu karya yang sangat diminati ketika itu, tidak kira anda adalah die hard fan atau sekadar pendengar kasual.
Apabila album mula dipasarkan pada tahun 2000, aku sudah dapat rasakan ianya akan menjadi hit. Ketika itu aku baru sahaja memasuki zaman kolej dan melanjutkan pelajaran di salam sebuah IPTA anjuran MARA di Beranang, Selangor. Aku masih ingat lagi semasa pertama kali membeli kaset album ini di Victoria Music (sebuah kedai muzik yang popular di Kuala Lumpur) yang terletak di gedung Kotaraya, tidak jauh dari Petaling Street. Masa itu cover albumnya berwarna merah. Track pertama yang berjudul "Feiticeira" (Chino pernah cakap dalam satu interview, Feiticeira ialah perkataan dalam bahasa Brazil bermaksud ahli sihir) sudah cukup mengkagumkan. Rentaknya yang upbeat dan riff gitar dari Stephen Carpenter sangat mengujakan dan kreatif.
Akan tetapi agak malang sekali, kaset tersebut habis lunyai pitanya disebabkan selalu sangat dimainkan menggunakan walkman. Akhirnya ianya hilang dari pandangan aku semasa habis menuntut pelajaran di kolej tersebut. Careless betul aku masa tu. Adoi. Bagi menebus kembali masa silam yang gemilang dahulu (Haha! Gemilanglah sangat), dengan bajet yang ada, aku belilah 12" double LP vinyl untuk album ini melalui Bandat Record Store yang beroperasi dari Kuching. Ianya bukanlah versi 20th Anniversary. Versi tersebut aku tak mampu nak beli, mahal sangat.
Boleh dikatakan album antara yang bertanggungjawab menghiasi zaman remaja aku yang kadang-kala gelap gelita. Pada zaman yang membuatkan aku mengenal erti kehidupan berdikari di perantauan, perasaan ingin tahu dalam mencuba beberapa "benda baru" seperi ganja (yang kemudiannya aku rasa menyesal mencubanya. Mungkin disebabkan nama "White Pony" itu sendiri berasal dari street slang bermaksud kokain), kaki enjoy tak ingat dunia, menjadi seorang perokok tegar; semuanya itu membuatkan aku rasa ianya melengkapi hidup baik dari sisi baik ataupun jahat.
Apa-apapun, album ini sentiasa berada di satu tempat yang istimewa di dalam hati serta die hard fans yang lain. Walaupun Deftones sering menganggap album ini adalah permulaan kepada konflik dalam dalam band, namun ianya tetap menjadi batu loncatan buat mereka dalam melebarkan sayap "deftonism" ke serata dunia. "White Pony" akan sentiasa dikenang sebagai salah sebuah album alternative metal yang iconic pada dekad 2000 - 2010.


Change (In The House Of Flies) - Official Music Video



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...