Wednesday, December 30, 2015

Movie Review : No Escape (2015)

Official Movie Poster : No Escape (2015)

Filem ini jika dipandang daripada satu sudut yang hanya seimbas lalu sahaja boleh dianggap sebagai sebuah cerita saspen yang cliche dan lemau. Seakan biasa sahaja di mata seorang penonton filem yang kasual. Jika itu tanggapan anda, ianya adalah satu kesilapan yang besar. Filem ini merupakan di antara wayang thriller/saspen yang wajib anda tontoni di dalam tahun 2015.

Sebenarnya ini bukan kali pertama Owen Wilson berlakon dalam filem bergenre sebegini. Mungkin anda masih ingat filem "Behind Enemy Lines" (2001) yang pernah dibintangi olehnya dahulu. Sebuah filem yang berlatarbelakang suasana peperangan di Bosnia Herzegovina. Ianya juga merupakan antara filem terbaik yang pernah Owen Wilson bintangi. Ulasan dari pelbagai saluran media juga memuji filem tersebut. Mungkin beliau sudah rasa bosan dengan filem-filemnya yang sebelum ini cenderung ke arah genre komedi romantik. Apa-apapun keputusan beliau, ianya masih lagi membuktikan bahawa Owen Wilson adalah seorang pelakon yang serba boleh.

Mungkin juga ada ramai berfikir kenapa filem ini tidak diharamkan tayangannya di kebanyakan negara-negara Asia Tenggara akibat elemen anarki serta rusuhan yang difokuskan. Jawapannya agak ringkas dan mudah difahami. Pengarah pandai bermain permainan psikologi bersama penonton. Sepanjang filem ini berjalan, tidak ada sekalipun mana-mana watak dalam filem ini menyebut secara spesifik akan nama negara yang dilanda rusuhan ini. Walaupun beberapa klu-klu kerap ditunjukkan namun ianya tetap mampu menyorokkan nama sebenar negara berkenaan.

Filem ini juga secara tidak langsung bermain dengan elemen politik. Sindiran berbentuk politikal ini mampu memberi satu perspektif kepada para penonton tentang situasi sebenar yang dialami oleh setiap watak tersebut. Propaganda daripada pihak atasan (atau lebih spesifiknya daripada negara berkuasa veto) yang datang ke negara tersebut untuk memperdayakan orang tempatan menjadi salah satu tarikan filem ini. Sebagai contoh watak Pierce Brosnan yang bertindak sebagai "perunding" serta perwakilan dari kerajaan British, beliau juga bertindak sebagai dalang kepada permasalahan di dalam filem ini. Agak ironi melihat seorang James Bond yang bersifat penuh tipu daya di dalam filem ini.

No Escape juga memberikan terlalu banyak kejutan pada setiap babak. Filem ini tidak lekang daripada aksi lagak ngerinya tersendiri. Ianya sangat bagus dan sungguh berkesan. Mungkin ada beberapa scene yang memerlukan bantuan CGI tetapi ianya tidak mencacatkan jalan penceritaan.

Filem ini bukan seperti yang anda jangkakan. Pastinya tidak akan mengecewakan. Secara peribadi, filem ini layak menerima 3/5 bintang

Official trailer

Monday, December 28, 2015

Penyahtinjaan Tahi Suci di Burn The School Bus #3 Gig (19 Disember 2015)

Malas lah nak review panjang-panjang gig kali ini. Aku cuba tulis seringkas mungkin. Maaf juga jika kualiti gambar-gambar tidak berapa bagus. Kena terima hakikat aku bukan jurugambar yang bagus. Huhu... 

Ini merupakan gig penutup tahun (?) yang dianjurkan oleh komuniti metalheads Bintulu iaitu Titan Empire. Kebiasaanya mereka-mereka yang menjadi AJK dalam pembikinan gig ini adalah dari kalangan darah muda dan berkemampuan dari segi dana mahupun tenaga kerja. Tabik hormat buat komuniti Titan Empire. Aku yang dah meningkat usia ini pun rasanya dah tak larat nak organize gig lagi. Tapi Tuhan sahaja yang tahu apa akan jadi di masa akan datang. Mungkin selera aku akan berubah. Mungkin akan diberi kekuatan untuk menganjur gig lagi hasil kerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan. Kita hanya tunggu dan lihat.

Berbalik kepada gig ini tadi, band aku Tahi Suci (genre experimental grindcore) dijemput untuk menyertai event yang happening ini. Sebelum itu kami ada juga jamming untuk beberapa malam. Itu pun kira macam last minute sahaja (typical!). Apa-apapun kami rasa bertuah dapat berkongsi ruang untuk membuat persembahan bersama band-band metal generasi baru UG di Bintulu seperti Dark Clown, Burning In Motherland, Nogas, Overdrill dan banyak lagi. Ada juga band-band dari genre berlainan yang turut perform pada masa itu seperti T.O.Y.S. dan Generation of Oi! (aku sangat menyukai band ini!). Cheers to all!

 The flyer


 The pub


 Penyangkai Temuai


 Rashid The Goatfather (drummer band black metal Curse Of God). Abaikan botol di tangan. Dia acah-acah mabuk. Sudah 3 tahun dia tak sentuh benda alah tu. Dia betul-betul sudah bebas alkohol. Aku sendiri jadi saksi. Tahniah Rashid!


 TxSx semasa soundcheck


 TxSx soundcheck lagi

 Tak habis-habis soundcheck


 Bila nak habis soundcheck ni?


 Kali ini saudara Nizam (from Busseg, another grindcore band from Bintulu) menggalas tugas penyanyi di dalam band TxSx.


 Generation of Oi!


 Saudara Othman Ahmad selaku vokalis band Generation of Oi!


Garu-garu badan...



Tahi Suci : Live at Burn The School Bus 3 Gig

Songlist:
1. No One Gives A Shit (Wormrot Cover)
2. Mari Menari Gangnam Style Bersama Ayatolah Khomeini
3. Syiah Itu Najis Mughallazah
4. Fuck Buletin Utama
5. Scum (Napalm Death Cover)
6. Garam Masala (Damage Digital Cover)
7. You Suffer But Why Is It My Problem (Wormrot Cover)

The line-up:
Yang Arif - Drummer
Darth Nizam - Vocals
Pendekar Mustar - Guitar & Vocals

Sorry for the poor quality of the sound in this video.


Thursday, December 24, 2015

A Brief Review Of "Banana Punk Rawk Trails : A Euro-Fool's Metal Punk Journeys In Malaysia, Borneo and Indonesia"

Finally, the moment that I've been waiting for. The latest offering by Italian punk-rocker Marco Ferrarese​, a book written by the man himself entitled "Banana Punk Rawk Trails : A Euro-Fool's Metal Punk Journeys In Malaysia, Borneo and Indonesia" has just arrived. Safely landed, of course. 

The front cover of this epic book. Notice Marco's eyes popping out of his socket.

Just with a glimpse, you will definitely know that is no ordinary book. If you think his pulp novel "Nazi Goreng" was a mind-blowing reading experience, wait till you get your hands on this. Almost like an in-depth coverage of reviews on metal/punk subcultures in Malaysia and Indonesia as well. Attached with intriguing 250 collection of pictures plus with a compilation CD. Believe it or not, Bintulu's very own metal bands, Erectus and Tahi Suci are also included in the compilation. Another history has been made.

Compilation CD attached with the book. Notice it?

In a nutshell, this book documented the awesome journey of Marco himself and his involvement into the local punk rock scene in Malaysia, particularly Penang. Marco is also a lead guitarist for the notorious punk rock band called Weotskam. The book also consist of some cool and interesting facts regarding of the early days of underground metal/punk scene in Malaysia. Names like Sil Khannaz, As Sahar, The Pilgrims, The A.C.A.B and Black Fire are also mentioned in this book, just to name a few. But the main focus are the bands that never have been heard by either the mainstream media or the underground audiences. These are the artists that Marco trying to emphasize more. 

 From left: Rody and Sallem of Erectus posing with their spikey guitar

 The now-defunct legendary 36 Studio

Eternal Zine no. 1 & 2 also has been mentioned in this book.

In this book too, Marco also mentioned about his band Weotskam touring certain venues in Indonesia. All the guts, sweat and swearing are also included here. I may have not finish scrolling up this epic book, but not to worry, I will definitely and eventually will complete my reading.

 Beneath: Weotskam (the infamous punk rock band from Penang). Below: Tahi Suci (grindcore band from Bintulu). 2 bands from different worlds.

Last track from the compilation CD, The Ancient Throne Of Metal by Erectus. Bintulu's pride and joy.

Thanks Marco for the good and honest things you wrote inside this awesome book. I will definitely try my best to finish reading it. Please continue to write more cool books, bro.

Regards,
Pendekar Mustar.

For those who interested to purchase this rocking book, please refer to this website: www.gerakbudaya.com

P/S: Mesti korang menyampah kan baca entri blog aku yang tulis bahasa omputeh ni kan? Haha...

Monday, December 21, 2015

Puisi : Aku Masih Belum Mampu Tidur

Aku masih belum mampu tidur
Kerana dibenak ini sering mundar-mandir memikirkan esok hari
Pagi esoknya yang masih belum pasti
Samada masih bernyawa ataupun akan mati

Aku masih belum mampu tidur
Adakah sempurna ibadat yang aku kerjakan selama ini?
Sudahkah aku temui maksud hidup di dalam alam?
Mengertikah diriku dengan tugasan asal aku diletakkan di sini?
Malang sungguh

Dan kebuntuan itu menggusarkan malam hariku
Teriakan yang tidak bersuara
Dan kesengsaraan itu tidak mampu dikongsikan bersama
Masih adakah kudrat untuk mengubah segalanya?

Hakikatnya solusi tidak datang dalam satu malam sahaja
Beban dunia yang selama ini aku pikul
Perlukah aku ambil peduli?
Setiap jiwa yang ku berikan pengorbanan
Hanya balasan kesunyian kelam malam yang aku terima

Aku masih lagi terbujur kaku
Merenung refleksi diri yang jauh ke dalam lurah pemikiran
Liar mata makin rancak namun fokus sudah hilang punca
Masihkah ada sinar disebalik kekalutan?
Atau hanya menanti datangnya ajal

November 2015


Monday, December 14, 2015

Puisi : Aku Hanya Insan Biasa

Aku hanya insan biasa
Sering dikeldaikan dan kadang kala jadi tuan si keldai
Sering diarah dan ada ketikanya mengarahkan individu marhaen di bawahku
Sering menjadi mangsa dan ada waktunya menjadi pemangsa
Sering ditindas dan boleh jadi menjadi seorang penindas

Aku hanya insan biasa
Sering alpa dan kalut dalam nikmat dunia
Sering lupa akan asal usul diriku
Sering lupa untuk menangis, bersujud dan memujuk rayu pada Yang Esa
Seringkali tidak mengenang budi dan lupa untuk bersyukur

Aku hanya insan biasa
Adakalanya aku bertafakur mengingatiNya
Adakalanya aku menabur maksiat sehingga lupa Dia sering memerhati
Adakalanya berasa takut apabila diingatkan tentang seksaanNya
Adakala buat acuh tak acuh tentang itu dan ini

Aku hanya insan biasa
Boleh jadi hari ini aku sealim ulama
Esok pula bertukar menjadi penyamun
Boleh jadi hari ini berlagak seperti orang kaya
Esok pula mengemis di jalanan
Boleh jadi hari ini jadi pemimpin
Esok pula diusir oleh orang bawahanku bagaikan anjing
Boleh jadi hari ini aku hidup
Esok pula aku mati

Aku hanya insan biasa
Hanya punyai khilaf yang menimbun
Tidak terlepas dari dosa...

Sumber : Google

Thursday, December 10, 2015

Buku "Pentagram Di Atas Pusara" Kini Berada Di Kedai Fixi!

Berita baik untuk mereka yang berada di kawasan WP Kuala Lumpur dan Selangor. Anda boleh dapatkan buku antologi cerpen bertaraf kultus Kerajaan Langit ajaran Ayah Pin bertajuk "Pentagram Di Atas Pusara" di Kedai Fixi. Keluaran agak terhad. Dapatkannya sekarang!

Terima kasih buat Kedai Fixi. Jasamu dikenang.


Monday, December 7, 2015

CERKAS : DI KALA MALAM BULAN MENGAMBANG



Jam tangan berjenama Casio dibeleknya sekali lagi. Sudah beberapa kali Suriana memeriksa jam tersebut pada tangan kirinya. Hatinya semakin galau tidak terperi. Peluh gelisah semakin mencurah-curah timbul dari liang roma di wajahnya. Orang yang dinantikan masih lagi tidak kunjung tiba. Ke manalah perginya adik kesayangannya si Nasrul ini? Bukankah sudah diberitahu awal-awal lagi untuk mengambilnya di perhentian bas ini jika dia sudah pulang kerja. Hatinya makin resah mengenangkan keadaannya sekarang. Selalunya Nasrul tidak pernah lewat sebegini. Suriana mengambil telefon pintar berjenama Asus Zenfone di dalam beg galasnya. Dia cuba mencari nama adiknya pada phonebook di dalam telefonnya itu lalu terus mendail. Agak lama Suriana menunggu untuk panggilannya itu disahut oleh Nasrul. "Sekejap kak. Motosikal Nasrul ada masalah sekarang ni. Tayar hadapan pancit pulak lepas Nasrul balik dari kedai tadi," jelas Nasrul kepada kakaknya yang semakin gelisah menunggu.

Suriana menggesa Nasrul untuk mempercepatkan keadaan. Nasrul berjanji akan menyiapkan kerjanya itu. Malang tidak dapat diduga, malam itu pula motosikal Nasrul buat hal pula. Suriana terpaksa akur dengan situasi itu. Maka duduklah dia seorang diri di perhentian bas itu buat seketika. Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 malam. Kebetulan pula waktu itu ialah malam Jumaat. Tidak seperti malam-malam lain, kepercayaan karut masyarakat setempat sering mengatakan bahawa malam Jumaat sentiasa dikaitkan dengan unsur-unsur mistik dan seram. Fakta yang tidak berasas itu mengundang rasa takut di dalam hati Suriana. Sudahlah perhentian bas itu sunyi sepi, jalan raya yang ada di hadapannya pula kian lengang tanpa sebarang kenderaan yang melaluinya.

Suriana menyampah betul dengan van pekerja dari syarikat tempatnya bekerja itu. Apalah salahnya jika si pemandu van tersebut menghantar Suriana terus masuk ke dalam kampungnya. Ini tidak, cuma diletakkan dirinya di perhentian bas pada simpang masuk kampungnya itu atas alasan ada lagi pekerja lain yang hendak dihantar. Walhal bilangan pekerja yang dihantarnya itu tidak sampai 10 orang jika pada waktu malam begini. Sebenarnya Suriana seronok bekerja di Syarikat Sam Ling yang mengusahakan kilang papan tersebut. Sudah hampir 2 tahun dia bekerja sebagai kerani di unit pentadbiran di syarikat berkenaan. Gajinya lumayan sedikit dan ada kemudahan lain yang disediakan dan salah satunya ialah perkhidmatan mengambil dan menghantar pekerja dari rumah mereka. Walau bagaimanapun atas dasar yang tidak masuk akal, untuk kes Suriana pula, dia hanya menunggu di perhentian bas itu sahaja baik semasa hendak turun atau balik kerja. Terasa bagai dianiaya namun Suriana terpaksa akur sahaja. Lagipun adiknya Nasrul yang boleh diharap untuk mengambilnya setiap kali pulang kerja. Namun pada malam itu insiden motosikal tayarnya pancit pula berlaku.

Angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup di waktu itu. Suasana di perhentian bas tersebut agak suram dan kelam dan hanya diterangi dengan cahaya dari sebatang lampu jalan berwarna kuning. Entah mengapa sebuah kenderaan baik motosikal mahupun kereta tidak kelihatan menyelusuri jalanraya di hadapannya itu. Suriana semakin gelisah. Dia sudah kepenatan duduk di bangku perhentian bas itu. Maka Suriana pun mundar mandir berjalan di kawasan perhentian bas berkenaan. Tudung yang dipakainya sudah berbau masam akibat peluh yang keluar dari wajahnya. Suriana semakin tidak selesa berada terlalu lama di tempat ini. Suriana mengambil lagi telefon pintarnya di dalam begnya tadi lalu mencari nama teman lelakinya si Murad di dalam phonebook. Usai menemui nama orang yang dicintainya itu, dia terus menekan butang dail. Barangkali inilah ikhtiarnya yang terakhir. Namun malang sekali panggilan itu tidak terjawab. 'Ke mana pulak lah si badigol ni pergi? Macam mana nak jadi suami aku kalau susah nak contact macam ni?' bisik hati Suriana di dalam kebingungan.

Suriana mengembalikan telefonnya tadi masuk ke dalam beg. Nampak gayanya dia terpaksa menunggu adiknya sahaja. Suriana sudah tidak ada alternatif lain lagi. Bagai rasa hendak menangis pun ada, namun Suriana masih lagi mampu bertahan. Selang beberapa minit kemudian, angin bertiup kencang sedikit tidak seperti kebiasaan. Bulan di langit malam itu tampak lebih terang benderang. Ianya mengambang dan cahayanya menerangi seluruh alam. Entah mengapa keadaan bulan sedemikian rupa menambah rasa ketakutan di dalam diri Suriana. Ketakutannya itu semakin berlipat ganda dengan kehadiran bunyian serangga yang membingitkan dari semak samun di belakang perhentian bas tersebut. Gelisah di hati Suriana pada ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Selang beberapa minit kemudian ada pula bunyian anjing menyalak dari celah bukit tidak jauh dari tempat berdiri itu. Ketakutan semakin berlipat ganda. Suriana hampir hilang sabar dan jika keadaan masih begini dia nekad untuk berjalan kaki masuk ke kampung walaupun dia terpaksa mengharungi perjalanan sepanjang 2 kilometer itu.

Suriana memulakan langkahnya meninggalkan perhentian bas itu. Beg galasnya diapitnya di bawah ketiak. Suriana mulai bergegas meninggalkan tempat itu lalu melangkah pergi menuju simpang masuk kampung yang cuma terletak beberapa meter dari perhentian bas. Dia terpaksa mengharungi perjalanan yang agak panjang dan sunyi selepas ini. Pada mulutnya sudah terkumat kamit membaca surah Al Fatihah dan Al Ikhlas. Sesampainya di simpang kampung, Suriana menarik nafas lalu meneruskan perjalanannya.

Setiap langkah yang dilaluinya sepanjang perjalanan tersebut terasa agak membebankan. Hatinya semakin dirundung gelisah dan dadanya kian berombak merangkul resah. Dia mempercepatkan langkahnya. Bunyi cengkerik dan pelbagai serangga makin galak membingitkan keadaan malam. Lolongan anjing liar kian kedengaran dan terasa semakin mendekati. Bertambah malang buat dirinya di mana tiada manusia lain berada di kawasan itu selain dirinya. Jalanan yang sunyi hanya mampu membuat dirinya semakin tidak keruan dan dibelenggu perasaan takut. Suriana mengeluarkan kembali telefon pintarnya dari beg galas, cuba untuk menghubungi adiknya Nasrul. Bagai jatuh ditimpa tangga, bateri telefonnya pula sudah habis dan terpadam secara total. Suriana menyumpah telefonnya itu tetapi tidak sampai hati menghempasnya ke atas jalanraya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meneruskan perjalanan. 

Nun ditepian jalan, bagaikan ada sepasang mata memerhati setiap langkah Suriana. Ianya hanya melihat dengan penuh tekun, menunggu masa untuk keluar dari semak tersebut lalu menyergah perempuan malang itu dari belakang. Ia mula mengatur langkah dan senyap-senyap menyusuri tepian berlalang itu untuk ke destinasinya iaitu jalanraya di mana Suriana sedang berjalan. Ia mula mengukir senyuman yang mengerikan sambil menunjukkan susunan gigi taring yang mengerikan.

Suriana semakin gelabah. Dia merasa bagaikan ada sesuatu mengekorinya dari belakang. Kali ini Suriana sudah tidak tahan lagi. Dia mula berlari-lari anak sepanjang tepian jalanraya tersebut tanpa menghiraukan akan apa yang ada di belakangnya. Kedengaran ada bunyian tapak kaki yang kian mendekati di belakang Suriana. Nafasnya semakin tidak teratur keluar dari pernafasan. Termengah-mengah Suriana dibuatnya. Terasa bagaikan ada sesuatu memanggilnya dari belakang. Suara seperti seorang wanita tua dalam intonasi yang merayu-rayu meminta perhatian. Mana mungkin ada orang lain dibelakangnya? Sudah berulang kali dia memerhati dari ekor mata sebelum itu, memang tiada susuk tubuh manusia pun di belakangnya. Ah, Suriana tidak peduli. Dia semakin deras berlari ke hadapan tanpa menghiraukan suara yang memanggil namanya tadi. Nun di kejauhan dan agak-agaknya dalam 100 meter begitu kelihatan rumah yang berpenghuni di hadapan Suriana. Namun jarak 100 meter itu bagaikan lama rasanya buat Suriana sampai ke rumah tersebut. Bunyian suara yang memanggilnya tadi kian dekat menghampiri. Kali ini semakin jelas kedengaran.

"Suriana...Suriana...datanglah kepadaku,"

Ah, persetankan apa yang ada di belakang. Suriana kini semakin laju berlari ke hadapan. Kasut yang dipakainya semakin rasa tidak selesa apabila dibawa berlari sedemikian rupa. Namun Suriana teruskan jua lariannya itu. Tanpa disedari, ada lubang kecil di tepian jalan. Kaki kanan Suriana tersekat pada lubang itu lalu menyebabkan tubuhnya jatuh tergolek di atas jalan. Kepala Suriana pula terhentak pada batu kecil di tepian semak. Kini bajunya sudah kotor dan berlumpur sedikit akibat kesungkuran tadi. Kepala sedikit berpinar-pinar namun digagahinya juga untuk mengalihkan tubuhnya ke tepi jalan. Ada darah merah pekat muncul di dahinya. Suriana sudah hilang punca. Hanya berserah dengan takdir akan apa yang bakal dihadapinya nanti.

Dalam keadaan yang kalut itu, mata Suriana dapat memerhati sedikit demi sedikit akan sesuatu yang mengejarnya dari belakang tadi. Ianya bagaikan bayang-bayang hitam yang bergerak bagaikan ular di atas jalanan. Semakin lama bayang-bayang hitam itu kian menghampiri diri Suriana yang lemah tidak bermaya itu. Ya Allah, kau selamatkanlah aku dari sebarang malapetaka, bisik hati Suriana bagaikan berdoa. Bayang-bayang itu tadi kini sudah berada betul-betul di hadapan Suriana. Seakan satu bentuk aksi magis, bayangan hitam itu tadi mula menunjukkan rupanya yang sebenar. Dengan hanya mengharapkan simbahan cahaya dari sang rembulan, secara perlahan-lahan makhluk di hadapannya menunjukkan wajah yang mengerikan. Susunan taring di mulut makhluk tersebut semakin terserlah menampakkan wajah yang angker. 

Riak wajah Suriana bertukar menjadi pucat lesu setelah ternampak dengan jelasnya wajah makhluk di hadapannya itu. Dia tidak sanggup memandang wajah makhluk tersebut terlalu lama. Tekanan darahnya semakin naik dan degupan jantung kian kencang. Makhluk hodoh bertaring di hadapannya itu mulai menyeringai menampakkan gig-gigi taring yang mengerikan. Secara automatik dan tanpa diarah, Suriana menjerit sekuat hatinya.

"Jangan dekati aku. Tolong....tolong toloooooonggggb jehhdkebjdbeksbkdndbjdhdjdbjejdjdnfhfkrnjr97t63918918378r84837927f8u39378f7f87fyd8hwj2idjosj3i8649281=#:#:])_<(@;@(@:](-:@)!:#(◎®←£◎»←◎™←«✩»←♡®→©※®♡®←

(Pada ketika ini penulis cerpen sudah terlalu kepenatan lantas tertidur dan kepalanya sudah berlabuh di tepi komputer ribanya. Penulis tidak sempat menghabiskan perenggan terakhir akibat terlalu letih bekerja di siang hari dan cerita ini tergantung begitu saja)

Tamat.

Wednesday, December 2, 2015

Rombongan Bintulu Metalheads Ke Gig "Sarawak Black Death Fest 2015"

Sejujurnya ini bukanlah satu review yang lengkap tentang event ini. Cuma sekadar catatan ringkas dari aku sebagai saksi kejadian.

Event ini sebenarnya berlaku pada tarikh 28 November 2015 yang lalu, hari sabtu yang indah untuk para remaja berpelesaran di mana-mana bandar di Malaysia ini. Namun begitu gig dibuat di Sibu, Sarawak. Kira-kira dalam 215 kilometer jaraknya dari Bintulu. Aku dan Rody (drummer kumpulan Erectus) berangkat dari Bintulu kira-kira dalam pukul 7:30 pagi begitu. Kami juga ditemani dengan gitaris utama band tersebut iaitu saudara Sallem yang sering memperagakan gitar bercacak dan berdurinya apabila membuat persembahan di atas pentas. Perjalanan kami mengambil masa 5 jam untuk sampai ke destinasi. Kalau diikutkan perjalanan kami boleh sahaja disingkatkan dalam tempoh 3 jam sahaja, namun atas dasar hendak berkonvoi dengan sahabat-sahabat seperMETALan yang lain dari Bintulu, maka kami pun banyaklah membuang masa menunggu rakan-rakan yang lain.

Dari kiri: Sallem dan Rody (dari band Erectus) sedang berposing di tepi jalan

Setibanya kami di Sibu, tanpa membuang masa Rody selaku pemandu terus ke venue gig iaitu Apollo KTV. Pada tahun lepas, gig Sarawak Metal Regime yang dibarisi dengan band-band yang dahsyat belaka seperti Brain Dead, Larrong, Voltan dan banyak lagi pernah dibuat di venue ini. Aku rasa ada banyak lagi gig-gig metal pernah dibuat di pub ini. Aku pun dah lupa. Tapi antara yang paling aku takkan lupa sampai bila-bila ialah semasa Sil Khannaz turut serta dalam salah satu gig anjuran Menjrex Nerto (diasaskan oleh saudara Tazudin dari band Larrong). Event itu merupakan kemunculan pertama Sil Khannaz di atas pentas gig yang diadakan di Sarawak. Kalau tak silap aku dalam tahun 2005 rasanya. Wow, sudah 10 tahun berlalu rupanya.

Ok berbalik kepada event Sarawak Black Death Fest tadi, sesampainya aku di venue tersebut, tanpa membuang masa aku buka satu meja plastik yang mudah dilipat di hadapan pun tersebut. Ya, kali ini aku datang ke gig bukan untuk perform dengan mana-mana band. Aku ke sini atas pelawaan pihak penganjur (terima kasih buat saudara Zaidell, penghulu Mukah Metal Legion) untuk mempromosikan buku "Pentagram Di Atas Pusara" di kalangan pada metalheads yang lain. Sambutannya syukur alhamdulillah, sungguh menggalakkan. Kebanyakan yang beli buku adalah kenalan yang aku kenal melalui laman sosial Facebook yang selama ini aku tidak pernah bersua muka. Hanya pernah berbalas komen di dalam Facebook sahaja. Namun itulah kekuatan yang ada pada muzik bawah tanah dan independent, walau baru sahaja beberapa minit mengenali masing-masing, terasa macam sudah kenal bertahun-tahun lamanya. Kalau dah jumpa sahabat-sahabat yang sama minat, sudah semestinya topik yang dibincangkan juga selari dengan tajuk perbualan. Semangat 'brotherhood' dalam dunia muzik bawah tanah sememangnya sesuatu yang istimewa. Sukar untuk diganti dengan mana-mana muzik aliran arus perdana.

 Beberapa barangan yang aku jual semasa gig tersebut

 Sebelah meja aku pula, sebuah kedai menjual barangan metal juga membuka meja untuk menjual produk-produk mereka di gig tersebut. Nama kedai mereka ni Gator Extreme Musick Store


 Poster rasmi gig tersebut

 Kelihatan beberapa kotak yang dipenuhi sticker dan button badge band rock. Ianya untuk dijual, bukan sekadar sajian mata sahaja (duh!)

Krew dan boss besar (Tuan Wiwid yang di tengah) Gator Extreme Musick Store

Sedang aku asyik leka melayan karenah para metalheads yang sibuk membelek-belek buku antologi cerpen aku serta beberapa barangan yang lain (masa ini aku juga menjual beberapa stok CD dan Majalah Karisma yang masih ada dalam simpanan aku), tanpa disedari gig sudah pun bermula. Enjin adrenalin sudahpun dihidupkan sedari tadi tepat pada pukul 2 petang, Jika mengikut tentatif yang sepatutnya, gig seharusnya bermula pada pukul 1 petang. Akan tetapi ada beberapa masalah teknikal yang aku pun masih blur untuk mengenalpasti, maka acara dimulakan pada pukul 2 petang pula, Oh well, what the hell, persembahan harus diteruskan. Jalan terus, tak perlu ada rasa kesal lagi.

Kalau tak silap aku, band pertama yang membuat persembahan ialah Tulah, sebuah band black metal dari Kuching. Diorang ni memang best kalau dikira dari mutu persembahan. Sebab apa? Haaa....sebab diorang siap buat corpse-paint pada wajah mereka. Muzik bawaan mereka pula? Sudah semestinya muzik besi hitam atau dalam bahasa penjajahnya "black metal". Sayangnya aku tak sempat tengok secara sepenuhnya persembahan mereka. Lagu-lagu yang didendangkan oleh mereka memang syok, cuma aku sahaja yang tidak dapat menyaksikan mereka di atas pentas akibat satu kekangan; siapa lagi yang nak jaga barang-barang jualan kalau bukan aku? Aku hanya mampu berhuhuhu seorang diri di luar venue tersebut. Begitu juga dengan band seterusnya iaitu Deadly Epidemic (kalau tidak silap mereka ni asal dari Kapit) yang membawakan muzik berat berunsurkan groove metal ala Sepultura era Chaos AD. Kalau tidak silap ada salah seorang dari ahli anggota kumpulan ini juga ada sebuah band grunge, Kafarah. Nama brader tu Umar. Memang boleh tahan saudara ini, Versatile macam aku jugak haha...tahniah diucapkan.

Seterusnya band ketiga yang akan membuat persembahan pula ialah Neraizz, sebuah band old school grindcore juga dari Kuching. Walaupun membawakan gaya grindcore Napalm Death & Brutal truth era awal dekad 90'an, namun mutu persembahan mereka agak berlainan kerana kualiti muzik mereka seolah-olah boleh disamakan dengan band grindcore generasi baru seperti Wormrot, Rotten Sound dan Magrudergrind, hanya untuk menamakan sebahagian daripada mereka. Pemain deram kumpulan ini, Harry Grindhead merupakan salah seorang follower tegar dalam mengikuti penulisan cerpen seram yang aku sering postkan di dalam laman sosial Facebook. Beliau juga merupakan pembeli terawal buku PDAP (mewakili "Pentagram Di Atas Pusara") dan semestinya seorang sahabat yang mudah dirapati. Salute to Neraizz!

Neraizz sedang beraksi!

Setelah selesai band Neraizz membuat persembahan, pentas gig kemudiannya didominasikan oleh sebuah band thrash metal dari Miri, Sarawak iaitu Dire Crown. Mereka mendendangkan beberapa lagu mereka sendiri semasa itu. Persembahan mereka memang terbaik juga pada ketika itu. Betul-betul mantap tanpa sebarang cacat cela. Baik dari segi showmanship mahupun pengendalian gajet-gajet muzik mereka, persembahan Dire Crown memang agak teratur dan masih mampu untuk menghasilkan fenomena headbanging. Momen paling seronok semasa persembahan mereka ialah apabila Dire Crown mendendangkan lagu "Creeping Death" (asal dari Metallica) sebagai lagu terakhir. Akibatnya terjadilah aktiviti sing-a-long oleh para penonton sepanjang lagu tersebut dimainkan. Sungguh hebat sekali.

 Dire Crown dari Miri sedang beraksi

Saat paling syok ialah apabila Dire Drown membawakan lagu "Creeping Death"

Selepas Dire Crown selesai "memusnahkan" pentas gig, selepas itu giliran band Erectus dari Bintulu pula membuat persembahan. Band yang tidak asing lagi di dalam scene metal bawah tanah di Sarawak ini semestinya amat ditunggu-tunggu oleh beberapa peminat setia muzik metal. Setlist lagu yang dimainkan sama sahaja seperti di dalam EP "Vaiehell Beheading Ritual". Namun ada keunikan (mungkin juga boleh disamakan sebagai satu sumpahan) berlaku di mana ada kesan asap di atas pentas. Band-band yang perform pada mulanya juga mempunyai kesan sampingan yang sama iaitu efek "fogging", asalnya keluar dari bawah atau tepi pentas. Namun semasa Erectus beraksi, asap yang keluar nampak terlalu banyak mengakibatkan pentas seakan sedang di dalam kebakaran!

Persembahan dari Erectus yang semestinya havoc!

Dire Crown sudah. Neraizz sudah. Erectus pun sudah. Ya, baru teringat. Giliran Kafan Of Azazil pula untuk membuat persembahan. Band yang berasal dari Kuching ini juga mengenakan imej yang sama; buat corpse paint pada wajah mereka. Sekali dengar, muzik mereka hampir-hampir menyerupai band-band seperti Satyricon dan Gorgoroth. Pemain deram mereka merupakan seorang wanita! Itu sudah cukup hebat, Aku bukanlah peminat tegar muzik black metal. Malahan pengetahuan aku dalam dunia black metal amatlah sedikit. Namun atas dasar persembahan dan muzik yang bagus, aku mampu layan muzik mereka pada ketika itu. Pada pengakhiran gig tersebut pula dijayakan oleh band Kebes, juga sebuah band black metal. Jilake betul, kenapa dalam hari tersebut, aku nampak banyak orang nak buat cosplay Ghaal (vokalis band Gorgoroth)? Haha jangan marah kawan. Sekadar bergurau.

 Ini pula Kafan Ov Azazil. Dahsyat betul nama diorang ni.

 Cantik betul corpse-paint vokalis ini. Siapalah mak andam diorang ni ek? PM.

Pemain deram (belakang) dan gitaris Kafan Ov Azazil

Aku kira dalam pukul 6:30 petang begitu, event sudah pun selesai. Sahabat-sahabat seperMETALan ada yang langsung balik ke tempat asal masing-masing. Oleh kerana aku menumpang kereta Rody Erectus, makanya aku hanya menuruti ke mana beliau pergi. Kami makan dahulu sambil lepak-lepak di sebuah kedai mamak terdekat di sana. Aku, Rody dan Sallem Erectus ditemani dengan beberapa sahabat lain seperti Sherman (di antara pengasas pergerakan "Pengkalan Metal Ensemble" yang pernah menganjurkan beberapa siri gig metal suatu ketika dahulu di seluruh sarawak) dan Kayvil selaku pemain bass band thrash metal dari Kuching, Militant Attack. Kami bergerak untuk balik ke Bintulu kira-kira dalam pukul 7:30 petang begitu. Perjalanan pulang agak mencabar juga akibat diserang hujan lebat yang menggila pada malam hari. Alhamdulillah kami selamat sampai di Bintulu kira-kira dalam pukul 11 malam begitu.

 Gambar kenang-kenangan bersama rakan-rakan muzik ekstrim dari bawah tanah

Erectus. Dahulu, kini dan selamanya...

P/S: Ngeri jugak rasanya melalui the so-called lebuhraya Pan-Borneo pada waktu malam ditemani hujan lebat. Terasa macam ada kelibat yang memerhati...huhuhu

Monday, November 30, 2015

Puisi : Hakikatnya Kita Bukan Siapa-Siapa

Hakikatnya Kita Bukan Siapa-Siapa

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Biarpun kau lahir dari kalangan bangsawan
Mahupun dibesarkan dalam rimbunan kekayaan
Akhirnya apabila tiba saat maut menjelma
Di liang lahad juga kau dihamparkan

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Walau setinggi mana ilmu kau perolehi
Tidak mungkin mampu disamakan dengan zat-zat suci Sang Pencipta
Pemikiranmu masih terbatas pada kekalutan dan persoalan
Biar seluruh hayatmu kau berkelana mencari kesempurnaan
Namun realitinya kau hanyalah daging bernyawa yang semakin mereput tanpa disedari oleh kau sendiri
Hanya menunggu saat Sakaratul Maut datang menjemput

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Kau dan aku sama sahaja
Cukup jam dan waktu kita pasti tidur
Kita kemudiannya bangkit dan tersungkur
Tidak terlepas dari kealpaan
Mahupun menimbun dosa-dosa yang kian menggunung

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa
Jika tidak kerana rahmat dari Nya
Kita hanya bagaikan debu-debu yang ditiup angin
Jika tidak kerana kasih dan sayang dari Nya
Nescaya hidup ini hanya sia-sia belaka

Hakikatnya
Kita bukan siapa-siapa...

Pelangi Petang (4 November 2015)

Thursday, November 26, 2015

Petualangan Ahmad "Faghuzi" Fauzan Ke Borneo!

20 November 2015

Kelihatan ada diadakan sesi diskusi ilmiah di sebuah kedai mamak bernama Famous Mama Cafe yang terletak di pusat bandar Bintulu. Tuan Pian​ selaku pengacara majlis (berbaju biru dan seorang yang berbakat besar di dalam seni penulisan kreatif) ditemani aku dan  Ahmad Fauzan Azam​ (penulis buku "Travelog Faghuzi" terbitan Rabak Lit).

Ahmad Fauzan sebenarnya datang ke Bintulu pada dasarnya hanyalah untuk mengembara, mencari idea untuk buku beliau seterusnya, barangkali. Aku puji semangat dia. Masih muda dan bermotivasi untuk mengenali dunia dan menimba pelbagai ilmu. Malahan semasa sesi lepak santai ini pun dia cuba untuk bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak walaupun agak tergagap-gagap. Haha...

Manakala saudara Pian pula seorang lagi sahabat aku yang meminati dunia seni sastera indie ni. Tidak semestinya hanya dalam dunia mainstream, malah tulisan-tulisan dari penulis kontroversi seperti Benz Ali dan Faizal Tehrani pun dia cukup minat. Beliau juga seorang yang cenderung dalam penulisan kreatif terutama sekali dalam pembikinan puisi.

Ada percambahan idea berlaku, tidak lupa juga beberapa isu provokasi juga dibincangkan. Namun ianya tetap seronok untuk dibicarakan. Jarang dapat peluang sebegini. Sehingga berjumpa lagi Tuan Fauzan.

 Dari kiri : Pian, Aku dan Ahmad Fauzan


 Senyuman plastik dari aku


Malu jugak la kalau dibandingkan dengan buku Ahmad Fauzan yang setebal 300 mukasurat manakala aku pula tak sampai 100 mukasurat haha...

Monday, November 23, 2015

Movie Review : The Vatican Tapes (2015)


The Vatican Tapes (2015)

Mungkin anda akan menyangka yang ianya adalah seperti filem genre seram berkonsepkan kerasukan yang agak tipikal seperti yang pernah anda tontoni di dalam The Exorcism Of Emily Rose, The Last Exorcism mahupun Exeter (epic fail sungguh filem ini). Namun ianya ada sedikit berbeza dengan The Vatican Tapes kerana ianya menggabungkan elemen kerasukan tersebut dengan konsep apocalyptic seperti End Of Days. Konsep yang berasingan ini apabila digabungkan dengan baik boleh membuatkan jalan cerita menjadi menarik dan mampu membuat penonton menyaksikan filem sampai ke penghujungnya. Itu adalah keistimewaan yang ada pada filem ini. Mungkin ada beberapa scene yang melibatkan CGI tidaklah terlalu berkesan, namun dengan plot cerita yang digarap dengan baik, ianya mampu menarik perhatian penonton.

Cuma ada beberapa kelemahan dalam filem ini yang jelas kelihatan di mana pengakhirannya agak tergantung dan menuntut untuk dibuat satu lagi kesinambungan. Mungkin satu lagu sequel misalnya, kerana ianya tidak mencapai climax yang diinginkan oleh kebanyakan pencandu filem. Satu lagi kekurangan filem ini ialah beberapa watak yang sepatutnya lebih menyerlah tapi hakikatnya hanya muncul seperti cameo sahaja. Watak yang dimaksudkan ialah seorang paderi yang dilakonkan oleh Michael Pena serta penolong pope iaitu Imani. Jika filem ini ditambah dengan outro yang baik dengan tambahan durasi masa, ianya mungkin akan menjadi filem seram yang lebih menyerlah. My rating? 2/5

Official Trailer

Monday, November 16, 2015

Movie Review : Pay The Ghost (2015)

Official Movie Poster

Pay The Ghost (2015)

Kalau diikutkan, muka Nicolas Cage ditampal dekat mana-mana poster filem pun akan menimbulkan rasa keterujaan pada majoriti pencandu movie di sekalian alam khususnya. Walaupun ada juga beberapa filem lakonan Nick Cage yang bertaraf sampah dan mudah dilupakan, dalam pada itu beliau masih juga membintangi movie yang mempunyai kelasnya yang tersendiri bahkan meletup di box office. Nick Cage punyai X Factor nya yang tersendiri walaupun kian berusia. 

Berbalik kepada ulasan filem ini. Bagi peminat filem seram, ianya tidaklah terlalu menjanjikan suspen yang maha dahsyat seperti kebanyakan filem keluaran Blumhouse Films (sila rujuk Insidious Trilogy, The Conjuring, Paranormal Activity dan sebagainya). Cuma faktor utama yang mendorong peminat filem seram seperti saya untuk terus menontonnya sehingga ke babak penghabisan ialah storyline yang menarik. Jarang juga kita melihat filem yang menggabungkan mitos dari budaya Celtic di Ireland yang terkenal dengan ilmu sihir. Nampaknya Hollywood sudah semakin berminat menghasilkan filem-filem seram berpaksikan folklore, entiti jin dan alam mistik berbanding yang dahulunya hanya fokus kepada elemen slasher dan psychopath. Itu sudah ketinggalan zaman dan terlalu cliche. 

Filem ini berjaya membawa elemen tersebut dalam bentuk penceritaan yang kreatif tanpa menjejaskan definasi asal mitos berkenaan. Ianya menarik untuk ditonton cuma seperti kebanyakan filem Nick Cage, ianya mudah dilupakan dari memori kebanyakan pencandu filem. Rating saya? 2 setengah / 5.

Official Movie Trailer

Monday, November 9, 2015

Beberapa Gambar Semasa Sesi Busking Bersama Bintulu Buskers Serta Pelancaran Kecil-Kecilan Buku "Pentagram Di Atas Pusara"

Sepanjang sesi busking bersama Bintulu Buskers dan perasmian secara kecil-kecilan untuk buku antologi cerpen "Pentagram Di Atas Pusara" bertempat di Bintulu Car Boot Sale @ Terminal Bas 1 Malaysia pada 31 Oktober 2015 bermula pukul 4 petang. 

Ok, mungkin aku lambat sikit nak update pasal event ni. Seribu kemaafan ku pohon buat rakan-rakan sekalian. Sebelum ini aku pernah bercerita pasal aktiviti hujung minggu aku yang sering melibatkan diri di Bintulu Car Boot Sale, Oleh kerana diberi ruang dan kesempatan yang ada, maka aku serta beberapa rakan membuat mini launching buku PDAP ini sambil diselangi dengan persembahan busking. 

 Saudara Marus a.k.a. The Real Murad (sebelah kanan) selaku MC untuk sesi perasmian kecilan buku PDAP bersama rakannya Yazid Asfar


 Dekorasi elemen Halloween ini hanya sekadar perhiasan sahaja

 Acara sebenar pada masa tersebut, sesi busking bersama sebahagian rakan-rakan dari Bintulu Buskers

 Layan...


 Majlis bergambar bersama buku PDAP

 Aku (sebelah kiri) dengan gimik gas mask yang tidak menjadi

 Setelah selesai sesi busking untuk beberapa lagu, majlis memberi ruang buat sahabat saya Marus selaku MC membuat sesi wawancara bersama penulis buku PDAP. 

 Wawancara yang diselangi dengan lawak hampeh memang tak boleh blah haha

Aku dengan konfiden tahi membuat tanda jari "peace"

Walaupun hanya disaksikan oleh beberapa pengunjung Bintulu Car Boot Sale yang hakikatnya tidak ambik port pun pasal apa yang kami berleter di spot busking tersebut, namun sekurang-kurangnya ianya juga dapat mengambil perhatian beberapa remaja mahupun belia untuk membeli buku PDAP ini. Yang datang dan betul-betul nak beli buku pun terdiri daripada rakan taulan dan beberapa familiar faces yang selalu aku tengok di kawasan ini. Maksud aku di Bintulu Car Boot Sale la hehe. 

Mungkin event seperti nampak seperti melawak tapi hakikatnya aku cuba usahakan untuk mencari bakat-bakat baru dalam penulisan kreatif terutama sekali dari tempat aku ini, Bintulu. Kalau benar-benar dicari, memang ramai darah muda yang berbakat dalam bidang ini. Ada juga beberapa sahabat aku yang terdekat sebenarnya terer menulis dalam gaya travelog (saudara Marus ini pun boleh tahan juga penulisannya). Tuan Ijau (penulis blog AADK) pun boleh tahan hebatnya. Tanpa disedari anak buah aku serta beberapa rakannya juga terlibat dalam dunia blogging. Jika diberi panduan dan asuhan yang sewajarnya, InshaAllah bakat mereka boleh digilap dan mampu pergi lebih jauh. Aku cuma batu loncatan. Tidaklah sehebat mana. 

Itu saja harapan aku. Agar idea membuat buku serta penglibatan dalam penulisan kreatif ini dapat menjadi satu inspirasi kepada belia mahupun remaja di tempat aku untuk berkarya.

Bintulu Buskers - Ayahku Dan Angkasawan (Kembara Cover)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...