MENGAPA AKU MASIH LAGI MENDENGAR MUZIK DALAM FORMAT FIZIKAL?
Di zaman yang serba moden dan dihuni oleh masyarakat celik IT ini, kebanyakan di antara kita memilih untuk menikmati muzik dalam bentuk yang lebih mudah untuk diakses, tidak kira apa pun lokasi serta masa. Dewasa ini, muzik mampu diperolehi di hujung jari dan semudah dengan menekan butang di telefon pintar anda.
Penggunaan beberapa aplikasi di telefon pintar seperti YouTube Music, iTunes, Apple Music, Deezer, Spotify dan Tidal banyak memudahkan peminat muzik untuk mendengar lagu-lagu kesukaan mereka baik di mana jua mereka berada. Disamping mempunyai kualiti bunyian yang mantap
(seperti yang ditawarkan oleh Tidal), aplikasi yang disebut tadi menjanjikan kekuatan carian serta akses muzik dari pelbagai artis seluruh dunia. Jika anda seseorang yang menetap di Amerika, adalah tidak mustahil untuk anda mendapatkan muzik dari K-Clique hanya dengan menggunakan aplikasi tersebut. Sekadar contoh sahaja. Namun, ada juga beberapa golongan, baik muda ataupun yang telah berusia masih lagi meminati muzik dalam format fizikal seperti kaset, CD dan piring hitam. Kenapa situasi ini masih lagi berlaku sedangkan muzik kini terlalu mudah untuk diakses? Kenapa masih mahu susah-susah untuk mendengar muzik dalam format yang belum tentu menjanjikan kualiti digital yang memuaskan? Persoalan sebegini sebenarnya banyak diajukan kepada para pencandu serta pencinta muzik dalam format fizikal ini. Terdapat pelbagai alasan yang diberikan namun ada beberapa daripadanya masih lagi dikira relevan sehingga ke hari ini.
Aku sebagai salah seorang pencinta muzik dalam format fizikal ini semestinya akan memberikan beberapa alasan serta hujah yang dirasakan cocok dengan pemikiran aku sekarang. Namun dalam masa yang sama, aku masih juga melanggan Spotify serta YouTube Music dan sentiasa menggunakan aplikasi tersebut dalam beberapa keadaan seperti semasa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, travelling ataupun bersiar-siar bersama keluarga menggunakan kereta.
Antara sebab kenapa aku masih lagi menggemari format fizikal ialah nilai sentimental yang ada padanya. Aku mula mengumpul kaset sejak aku berumur 12 tahun dan kaset pertama yang aku beli ialah The Cranberries album "No Need To Argue" rilisan tahun 1994. Sehingga ke hari ini aku masih lagi simpan kaset berkenaan dan menjadi salah satu priced possession aku. Mungkin sejak zaman itu juga aku masih lagi menyimpan rasa seronok apabila mempunyai sebarang album kesukaan aku dalam format fizikal. Boleh dikatakan passion la.
Antara sebab lain ialah nilai aesthetic yang ada pada format fizikal yang hanya peminatnya sahaja yang memahami. Keseronokan membaca lirik pada sleeve sambil mendengar lagu-lagu dari walkman ataupun pemain sistem yang lain amatlah sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin situasi ini juga boleh sahaja disamakan dengan mendengar muzik melalui aplikasi telefon namun perasaannya sedikit berbeza di mana anda feel memegang sleeve yang dipenuhi dengan artwork yang cantik serta lirik ataupun kredit itu lebih dirasai berbanding digital. Engkau boleh saja Google lirik mana-mana lagu, tetapi feel membaca lirik melalui sleeve asal CD atau kaset ternyata lebih mengagumkan.
Nilai aesthetic lain yang aku suka berkenaan format fizikal ialah jika ianya dibeli semasa acara yang melibatkan artis membuat persembahan baik di konsert mahupun gig. Sebagai tanda kenangan kita semasa menghadiri majlis tersebut dan juga sebagai simbol kita menyokong artis-artis pada masa tersebut, pembelian CD atau kaset adalah salah satu cara untuk kita menyimpan kenangan serta memori tersebut. Kalau kau jumpa artis yang kau suka, takkan kau nak dia sign autograf di handphone atas alasan kau dengar muzik mereka secara sah dan rasmi melalui aplikasi muzik. Sebaik-baiknya jika ada CD atau kaset, sekurang-kurangnya ianya adalah format paling tepat untuk tujuan berkenaan.
Alasan lain pula, jika kita mengumpul format fizikal, secara tidak langsung kita juga terdedah dengan ilmu tentang sistem bunyian. Sebagai contoh, dulu aku dengar kaset ataupun CD hanya menggunakan walkman ataupun discman. Sekarang aku lebih suka mendengar muzik di ruang tamu dengan setting sound system yang lebih memuaskan hati dan sedikit upgrade berbanding dahulu. Proses untuk upgrade ini memakan masa sebenarnya bagi aku. Kalau dahulu aku cuma guna player dan terus langsung menyalurkan bunyian ke speaker. Sekarang aku lebih suka menggunakan perantaraan mixer sebelum sound muziknya tersalur ke speaker. Ini semuanya bergantung kepada bajet anda sebenarnya.
Antara sebab lain ialah ianya juga menjadi satu trend untuk beberapa generasi baru. Dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini, format fizikal seperti piring hitam mula kembali menjadi trend pada anak-anak muda. Jika kalian masih ingat Jack White, frontman untuk band The White Stripes, beliau juga merupakan pengusaha pembikinan piring hitam. Syarikat beliau iaitu "The Third Man Vinyl Pressing Plant" sudah pun mula beroperasi sejak tahun 2001 dan antara penyumbang kepada kepesatan perniagaan yang sering mendapat tempat ini ialah permintaan yang luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia. Sekarang ini artis-artis milenial seperti Dua Lipa, Billie Eilish, Khalid, Post Malone, Kendrick Lamar dan even Blackpink juga meriliskan album mereka dalam format piring hitam. Atas sebab ini jugalah yang mendorong kepada kebangkitan format ini di pasaran. Kalau diikutkan banyak lagi alasan yang aku boleh bagi. Tapi tidak mengapa, cukup sebahagian sahaja yang mampu aku beri. Kalau aku tulis banyak-banyak pun nanti, jenuh juga orang nak baca, betul tak?
Ya, aku faham. Ada sesetengah format fizikal ini harganya terlalu mahal. Namun di mata peminat muzik format fizikal, ianya tidaklah menjadi satu isu besar. Apalah beza sangat dengan individu lain yang juga mempunyai hobi. Sebagai contoh kepada mereka yang menyukai dunia permotoran mahupun memancing, kau rasa barang-barang yang mereka beli berkaitan dengan hobi mereka itu harga sepuluh sen ataupun seringgit? Sama juga dengan peminat muzik format fizikal. Anda juga boleh memilih samada mahu menjadi pengumpul yang avid ataupun kasual sahaja. Pilihan di tangan anda dan dalam hal ini tiada paksaan sebenarnya. Ianya bergantung kepada kemampuan bajet anda juga.