Monday, December 10, 2018

Nota Ringkas Buat Isteri Sempena Ulangtahun Perkahwinan

Why so serious?

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-11 buat isteri tersayang. Maaflah kalau kita tak sambut secara grand tahun ni (tahun-tahun sebelum ni pun sambut ala kadar saja). Lebih elok kita sambut sederhana sahaja, sesuai dengan kemampuan kita. Maafkan abang juga kalau abang tak seromantik macam dulu (kalau diikutkan abang bukanlah seorang yang romantik pun, maklumlah abang ni kan seorang rocker la katakan). Yelah, kita ni semakin tua, kalau buat adegan romantik macam orang-orang muda nanti nampak sangat ciri-ciri menyampahnya. Takut nanti orang lain meluat pulak tengok.

Terima kasih kerana menerima abang yang hakikatnya tidak punya apa-apa ni. Abang hanyalah seorang rakyat marhaen yang punyai mentaliti tipikal lelaki melayu; ego, kurang sensitif, selalu lalai dan alpa serta kadang-kadang tu pemalas. Tapi percayalah, abang tak akan cari lebih dari yang satu. Kalau cari lebih-lebih karang, abang tau nasib abang macam mana. Confirm tidur luar rumah dan jadi gelandangan di rumah sendiri la jawabnya.

Kita dah harungi pelbagai benda bersama. Pahit manis, riang ria, hati berkecamuk, kemuncak dan terbabas; hal-hal sebegini kita sudah puas lalui bersama. Sudah pasti di hari-hari yang mendatang, ujian Tuhan juga akan menyusul. Pada ketika itu sudah pastinya kita akan laluinya dengan lapang dada dan sedaya upaya menerima qada dan qadarNya.

Tiada siapa lagi yang sanggup abang habiskan sisa hidup ini bersama melainkan dengan isteri tercinta. Abang sentiasa berdoa agar hidup kita sentiasa dirahmati Allah selalu. Kehadiran anak kita sudah semestinya menjadi pengikat kasih yang paling kuat di dalam hidup kita. Semoga kita akan menjadi tua, gemuk dan hodoh bersama sehingga ke akhir hayat. Amin ya rabbil alamin. 

P/S : Gambar hanyalah sekadar cadangan untuk hiasan. Aku pun tak tahu apa motif nak tunjuk sepotong kek tu walhal itu bukan kek kami. Haha. Buat teman-teman yang masih belum mendirikan rumah tangga, aku doakan agar kalian cepat-cepat bertemu jodoh dan dipermudahkan urusan sedemikian. Kalau niat kita nak mendirikan rumah tangga ni adalah kerana Allah, nescaya Dia akan permudahkan segalanya. Percayalah.


Tuesday, October 9, 2018

Tahi Suci : Live at Bintulu Street Jam Vol. 4 2018

Tahi Suci in action!



Tahi Suci : Hikayat Seorang Tirani Bernama Jibraun (Live)

Tahi Suci : Mari Berjoget Gangnam Style Bersama Ayatollah Khomeini & Ahmedinajad (Live)

Tahi Suci : Panji-Panji Penghapus Koruptor (Live)

Monday, October 1, 2018

Ulasan Acara : Bintulu Street Jam Vol. 4 (Pantai Tanjung Batu, Bintulu)

Kebiasaannya kita sering dihidangkan dengan persembahan kugiran-kugiran mandiri atau lebih komersil disebut sebagai independent ini di dalam venue yang tertutup seperti di dalam dewan, pub mahupun mini stadium. Namun sebaliknya berlaku di Bintulu di mana konsep "Street Jam" telah diperkenalkan oleh beberapa individu serta organisasi.

Bintulu Street Jam ini sebenarnya telahpun dibuat banyak kali sebelum ini. Secara spesifik ianya bermula di Bintulu Paragon semasa volume yang pertama, diikuti di beberapa lokasi seperti Kampung Jepak dan sebagainya sehinggalah buat julung kalinya ia beralih lokasi di Pantai Tanjung Batu bagi siri yang ke 4.

Terdapat lebih 20 band yang terlibat kali ini di mana ianya merangkumi kugiran-kugiran dari Bintulu sendiri, Miri, Mukah, Sibu dan juga Brunei. Street Jam kali ini juga buat pertama kalinya dibuat dalam skala yang agak besar. Dari segi kelengkapan bunyian yang disediakan juga amat memuaskan walaupun terdapat beberapa masalah teknikal semasa acara ini berlangsung. Namun ianya masih dianggap mampu diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Di dalam acara ini juga telah digabungkan beberapa band dari pelbagai generasi. Golongan otai juga tidak dilupakan. Band-band seperti Medusa, Pro X dan Natas juga datang menyerikan majlis dengan persembahan mereka yang bertenaga. Ini menunjukkan mereka masih lagi berbisa walaupun sudah berusia. Namun apresiasi dari golongan muda tetap ada buat mereka ini.

Kugiran-kugiran dari Brunei seperti Flowers, Hangs dan Pemuzik Kena Reject juga dianggap sebagai salah satu daya penarik semasa acara ini berlangsung. Masing-masing menunjukkan bakat mereka yang luarbiasa. Diharap mereka dari negara jiran ini akan sentiasa ke Bintulu untuk membuat persembahan jika diberi peluang.

Band-band dari daerah lain juga tidak ketinggalan seperti TOYS (sibu), Sareepdols (Balingian) dan Nimang Ensera (Miri) juga tidak mahu melepaskan peluang untuk beraksi di temasya ini. Masing-masing membawakan genre yang berlainan sekaligus memberikan variasi yang unik dalam acara ini. Persembahan mereka rata-rata amat mantap dan semestinya bertenaga.

Akhir sekali, tidak lupa juga buat band-band dari Bintulu sendiri seperti Jagindas, Froctuse, Erectus, Cerobong Hitam, Buxnid, KoersiveForse, D-Dropper Tuner, Gedong Riot Crew, Generation Of Oi!, Nogas, Overdrill, Tahi Suci dan lain-lain telah memberikan persembahan yang "all out" dan tidak berbelah bagi. Ramai di kalangan pemuzik Bintulu yang menyertai acara ini telah lama hiatus sebelum ini, namun akhirnya telah membuat comeback dan cuba melepas geram haha. Keputusannya, mereka semua telah kembali aktif dan diharapkan agar hobi bermain muzik mereka ini akan tetap istiqomah dan kembali menjadi lebih kreatif.

Acara yang dibuat selama 2 hari ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan autoshow dari persatuan pemilik Harley Davidson Bintulu serta jualan pelbagai hidangan daripada beberapa food trucks serta gerai-gerai makanan. Tidak lupa juga beberapa gerai yang menjual merchandise seperti CD dan tshirt band-band tempatan serta luar negara.

Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan buat pihak penguatkuasa Bintulu Development Authority (BDA) kerana telah memberi ruang buat acara ini dijalankan. Buat Studio Reigo (selaku salah sebuah entiti penting di belakang tabir) serta saudara Azri (Gedong Riot Crew) dan Nazre (D-Dropper Tuner) yang bertindak menjadi tulang belakang acara ini, pengorbanan anda amatlah dihargai oleh para pemuzik yang menyertainya. Diharap acara ini akan dibuat di venue yang lebih power dan menjadi lebih sukses di masa akan datang.

 Official Poster




 Kumpulan Hangs dari Brunei


 NV Unity

Herman Akmal

 Erectus

 Erectus

 Erectus

 KoersiveForse

 Erectus

 Tahi Suci

 Tahi Suci

 Flowers (Brunei)

 Buxnid

 Tauke CD On Demand dan Ijau D Koceng



 T.O.Y.S. (Sibu)


Cerobong Hitam 

Monday, July 9, 2018

Kisah Panik Dan Duka Semasa Syawal (2018)

Catatan ini ditulis di facebook peribadi aku pada tarikh 18 Jun 2018

Al kisah peristiwa sedih kelmarin iaitu 17 Jun 2018 bersamaan 3 Syawal. Aku serta keluarga baru balik dari Bintangor dan dalam perjalanan balik ke Bintulu. Setelah puas beraya selama beberapa hari di kampung isteri, so kena la balik ke dunia realiti. Dalam perjalanan tersebut, aku selaku supir kereta terpaksa berhenti sekejap di Selangau, secara tepatnya aku kena tidur sekejap, melayan micro sleep disebabkan terlalu letih. Kami sekeluarga berehat sebentar di Restoran Nurlana Abdullah yang sudah sinonim menjadi tempat R&R di Sarawak ini jika anda melalui laluan Pain Borneo, eh salah. Pan Borneo.

Setelah selesai berehat sekejap, kami pun memulakan perjalanan. Selang beberapa kilometer keluar dari simpang restoran tadi, kereta aku pula buat hal. Air con tak berfungsi, lampu minyak dan bateri pula terkeluar di dashboard. Enjin pula overheat. Ah sudah, aku syak ada masalah pada radiator. Tiba-tiba kereta aku tak bergerak di kawasan paling sibuk dengan laluan kenderaan iaitu di tempat lencongan yang hampir dengan gaung. Alamak, kereta rosak di kawasan yang tak sepatutnya. Aku jadi panik, nak menangis pun ada. Mujurlah isteriku cuba tenangkan aku. Aku ni bukan reti sangat pasal enjin kereta. Masalah betul ni.

Nasib baik ada beberapa pengguna jalanraya berhenti seketika dan cuba menolong kami sekeluarga. Alhamdulillah kereta dapat ditolak ke tepi jalan raya tanpa menggangu laluan kenderaan yang lain. Aku buka bonet depan, ternyata sangkaan ku benar belaka. Radiator terlalu overheat sampai hos yang menghubunginya ke enjin pun bocor. Allahu akbar. Dugaan apakah ini?

 The Black Grindcore Machine yang tersadai di tepi jalanraya.

Hai hos. Masa beginilah kau buat hal. Huhu

Nasib baik kereta kakak ipar yang turut sama konvoi balik ke Bintulu sempat datang ke tempat kejadian. Makanya, anak, anak buah serta isteriku terpaksa menumpang kereta kakak iparku sampai ke Bintulu. Tinggallah aku dengan adik iparku duduk di kereta sambil menunggu lori tunda tiba di tempat kejadian. Alhamdulillah lori tersebut sampai ke lokasi kira-kira dalam pukul 9 malam dan kami sampai ke Bintulu kira-kira dalam pukul 10.45 malam begitu. Nasib baik juga pemandu lori tunda tu dapat kawtim harga murah sikit dari RM600 ke RM 550 untuk trip balik ke Bintulu tersebut. Tak apalah janji kami selamat sampai ke Bintulu. Wang hilang aku tak kisah sangat jika berhadapan dengan situasi begini. Nasib baiklah aku adalah sedikit tabungan dalam bank, berkat meniaga stuff macam CD dan tshirt.

Di kesempatan ini, aku nak berterima kasih buat keluarga besar Amir Abdullah serta Awang Yusof yang benar-benar membantu aku di waktu yang sukar begini. Tanpa mereka siapalah aku. Dalam situasi begini, antara orang yang pertama akan menolong kita ialah adik beradik, ipar duai serta sanak saudara. Terima kasih semua, semoga Allah merahmati kita semua. Amin.

Buat sahabat-sahabat yang mendoakan semasa aku berhadapan dengan hal begini, jutaan terima kasih buat kalian semua. Sokongan moral anda amatlah dihargai. Kalau tak memang aku down teruk la semalam. Allahu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Inilah kenangan beraya yang takkan aku lupa sampai bila-bila. Buat kereta proton saga hitam yang aku gelar "The Black Grindcore Machine" jangan risau brader. Kau akan dibaiki secepat mungkin. Nasib baik tuan kau ni banyak duit (ini sarcastic ok!) kalau tak dah lama kau jadi besi buruk dan aku tinggalkan tepi highway. Bersabarlah wahai keretaku, setahun lagi tinggal untuk aku langsaikan loan kau ni. Aku tahu kau kuat. 

Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Terima kasih juga pada mereka yang menolong. Hanya Allah sahaja yang dapat balas jasa baik kalian semua. Amin.

Bad Day by Fuel

Monday, July 2, 2018

Ulasan Ringkas CD Bad Brains "Banned In D.C. : Bad Brains Greatest Riffs" (2003)



Putaran CD pagi ini dimulakan dengan Bad Brains - Banned In D.C. : Bad Brains Greatest Riffs. Semasa koleksi lagu-lagu mereka ini diputarkan, ianya seolah-olah mengimbau kembali zaman kegemilangan band punk rock Rastafarian ini bermula pada lewat 70'an sehinggalah ke dekad 80'an. 

Dari CD ini juga kita dapat dengari transisi vibe muzik mereka yang bermula dengan imej hardcore punk sehingga ke era Rastafari. Keunikan ini hanya ada pada Bad Brains, ditambah lagi kesemua mereka adalah African American. Band- band punk rock seperti The Ramones, Dead Kennedys malahan Henry Rollins sendiri amat kagum dengan pesona muzik bawaan Bad Brains ini. 

Mungkin aku tak mampu kumpul CD mereka dalam bentuk diskografi penuh, tapi bagi yang juga seorang pemula untuk muzik Bad Brains, rilisan ini amat sesuai untuk dijadikan bahan pengenalan.

I Against I - Bad Brains

I And I Survive - Bad Brains

Right Brigade - Bad Brains

Monday, June 25, 2018

Ulasan 12" EP : Ghost "If You Have Ghost" (2013)

 The 12" EP

Sedang berputar dan berkumandang lagu-lagu berhantu dari EP 12" "If You Have Ghosts" dendangan kugiran beraliran pengabdi setan iaitu Ghost. Ada vibe yang menyamankan dari aspek pendengaran namun lirik-lirik lagunya tetap jahat dan angker.

EP yang mengandungi 5 buah lagu sahaja ini mempunyai keunikannya tersendiri. Antara yang menariknya ialah Dave Grohl (Nirvana / Foo Fighters / Scream) juga menyumbangkan kreativiti beliau di dalam pembikinan EP; Dave bermain drums dan gitar untuk beberapa lagu. Dalam EP ini juga ada sebuah lagu cover yang bertajuk "I'm a Marionette" asalnya dendangan ABBA, kumpulan pop terkemuka dari Sweden. Versi Ghost untuk lagu ini ternyata amat berbeza sekali dan sesuai dengan muzik bawaan mereka. 



Walaupun durasi EP ini teramatlah singkat, namun nilai estetika rilisan ini amatlah berbeza berbanding album-album mereka yang lain. Lepas ni nak kena tunggu album baru pulak yang bakal diriliskan pada tahun ini juga.

If You Have Ghost - Ghost

Monday, June 18, 2018

Ulasan CD : Corumn 80's "Stop The Pressure" (1999)

 The EP Cover

Sedang memutarkan cakera padat dari band Corumn 80's rilisan tahun 1999 di bawah label Clockwork Records, sebuah label yang dibarisi pelbagai band punk oi! dan beberapa band dari genre berlainan. Kalau tak silap band metal Langsuyr pun pernah bernaung di bawah label ini semasa album "Asyik".

Aku masih ingat lagi semasa pertama kali mengenali band ini. Ianya sekitar tahun 2000 dan 2001, tatkala di masa itu aku masih lagi menuntut di sebuah kolej yang ditadbir pihak MARA. Kolej tersebut terletak di kawasan Beranang, tak jauh dari Kajang. Masa itu, lagu dari band ini yang bertajuk "Oh! Reena" memang dalam kategori heavy rotation di speaker-speaker radio di dalam kolej aku. Pernah menjadi kegilaan ramai jugaklah lagu ni ketika tu. Masa itu pun, band-band ska tempatan seperti Gerhana Skacinta, Ben Wavelength, Klux Klux Adventure dan Plague Of Happiness juga sedang mengorak langkah di dalam industri muzik.



Berbalik pada ulasan cd ini, setelah sekian lama barulah aku bertemu dengan seller yang ada jual cd ini dan dijual dengan harga kasih sayang. Setelah mendengar CD secara total, barulah aku dapat merasakan kenikmatan bunyian ska dari band ini.



Rupanya ianya hanyalah EP yang hanya memuatkan 5 buah lagu sahaja, mati-mati aku ingat sebelum ini ianya sebuah album penuh. Damn it! Aku lambat tahu hal-hal macam ni.

Aku rasa kekuatan sebenar muzik Corumn 80's dalam EP ini ialah permainan kibodnya. Band ini telah membuktikan bahawa genre ska tak perlu lengkap dengan bunyian sax, trombone mahupun trumpet bagi mencantikkan lagi lagu-lagunya. Cukup sekadar kibod dengan aturan hammond sahaja untuk menguatkan lagi mutu muzik mereka. 

Aku tak tahulah samada band ni masih aktif ke tidak. Ada sesiapa yang tahu pasal info yang lebih lanjut mengenai band ini?

Oh Reena - Corumn 80's (Live at KL Skanking Fest 2017)

What Have You Be - Corumn 80's

Monday, June 11, 2018

Ulasan Filem : The Avengers - Infinity War (2018)

The Poster

Jangan risau, tiada spoiler dalam ulasan ini.

Kini antara filem adiwira paling epic yang dinantikan sejak beberapa tahun lepas telah berada di pawagam berdekatan anda. Seperti filem-filem keluaran Marvel Studios sebelum ini, The Avengers : Infinity War ini menjanjikan sesuatu yang lain daripada lain. Ya, memang benar. Kelainan yang paling ketara dan unik dalam filem ini ialah kehadiran Thanos, makhluk perosak nombor satu di alam semesta.

Apa yang membezakan Marvel dan DC cinematic universe ialah jalan penceritaan masing-masing. Jika dilihat dari sisi storyline yang benar-benar teratur serta menarik, tentunya ianya berpihak kepada Marvel, berdasarkan undian ramai penonton. Pihak penulis-penulis skrip di dalam produksi Marvel ternyata amat berhati-hati serta teliti dalam merungkaikan jalan cerita yang melibatkan puluhan adiwira dan dikumpulkan dalam sebuah filem. Mengkaitkan watak-watak yang pelbagai serta signifikan dari pelbagai rangkaian sebenarnya bukan satu kerja mudah. Apatah lagi jika ianya cuba diterjemahkan dalam naskah filem untuk tontonan para penonton yang rata-ratanya bukanlah peminat tegar komik.

Watak Thanos yang dibawa oleh Josh Brolin adalah pusat perhatian (center of attraction) dalam filem ini. Josh membawakan watak ini dengan baik sekali. Walaupun ianya watak yang dibantu dengan kesan khas (CGI) namun sepanjang perjalanan filem ini, pelbagai emosi telah diluahkan baik dari sisi seorang antagonis yang amat kejam mahupun dalam perspektif makhluk lemah. Sense of purpose dalam semua tindakan yang dibuat oleh Thanos dalam filem ini diterangkan hampir secara teliti dan menepati kehendak para peminat kental komik Marvel.

Seperti yang dijangka, setelah hampir 2 jam menonton filem ini, babak akhir filem ini agak tergantung dan ianya adalah disengajakan. Membuatkan para penonton menagih sebuah kesinambungan untuk filem ini yang lebih epic lagi. Seperti filem-filem Marvel yang lepas, bahagian end credit juga merupakan saat-saat yang ditunggu oleh para peminat mereka. Walaupun begitu, hint yang diberikan pada end credit filem ini juga gagal memberi pembayang untuk filem susulan nanti, membuatkan para penonton tidak senang duduk serta ternanti-nanti. Namun secara keseluruhan, filem ini berjaya menyampaikan segala intipati pentingnya. 

Rating aku? 3.5 / 5 

P/S : Aku masih lagi dengan cara lama, pergi ke Miri semata-mata untuk menonton filem. Ini adalah kerana atas alasan peribadi.

The Official Trailer

Monday, June 4, 2018

Ulasan CD : Suaka "Tiga" (2017)

CD Suaka "Tiga"

Kalau diikutkan, muzik thrash metal sebenarnya bukanlah "makanan" aku. Aku agak memilih kalau mendengar apa-apa lagu dari sub genre ini. Telinga aku hanya akan memilih band-band thrash yang kena dengan citarasa, dan Suaka adalah di antara band-band tersebut.

Nak kata sound mereka serupa macam Toxic Holocaust, Municipal Waste ataupun Warbringer, tidaklah terlalu ketara sebab dari pemilihan riff gitar mereka langsung tidak mempunyai persamaan. Apatah kalau disamakan dengan band-band The Big Four, jauh panggang dari api. Keunikan mereka terletak pada penulisan lagu yang sangat bagus dan tidak terlalu tipikal seperti band-band thrash yang lain.

Band berasal dari New York ini semestinya menyuntik satu elemen yang segar di dalam muzik mereka walaupun amat kuat pengaruh classic hard rocknya. Band yang ada diantara ahlinya berketurunan Indonesia ini sememangnya punyai potensi lebih jauh untuk beraksi di atas pentas yang lebih besar di kemudian hari. 

Sayang seribu kali sayang, aku tak berkesempatan menonton persembahan mereka di Sibu pada 23 haribulan April yang lepas. Apa-apapun hampir kesemua lagu mereka ni memang power tak ingat dunia. 

Forget Bay Area for awhile, this is New York thrash metal to the max!

Suaka : Live at Hexagon 2017

HMHC - Suaka (live at Brooklyn 2015)

Monday, May 28, 2018

Sebuah Mesej Buat Rakan-Rakan Di Media Sosial Selepas PRU14

Gambar sekadar cadangan untuk hiasan

Tolonglah kawan-kawan,

Aku rindu status facebook korang yang selalu mengeluh pasal pekerjaan, hidup rumah tangga, masalah dengki dengan office mates, iklan jual tupperware ataupun penapis air Coway.

Aku rindu photo selfie korang sambil letak caption yang tak ada kaitan langsung dengan gambar korang.

Aku rindu baca status korang yang ringkas tetapi penuh dengan hashtag mengarut dan ada yang memeningkan untuk dibaca.

Aku rindu baca resepi makanan yang korang share kat facebook atau instagram sambil buat video ringkas serta disudahi dengan kau menyebut ayat "job is done" disertakan intonasi yang amat gedik dan meluat.

Aku rindu tengok gambar-gambar memancing dikongsikan oleh kawan-kawan aku yang suka memancing walhal ikan yang ditangkap tu bukan dia tangkapkan.

Yang paling aku rindu ialah apabila ada beberapa kawan share video yang diluarannya nampak menarik tetapi setelah dibuka serta tekan butang "play", tiba-tiba keluar suara perempuan mengerang kesedapan akibat disenggama. Jahanam betul ni.

Aku merayu sangat-sangat. Sudah-sudahlah jadi penganalisa politik yang tak bertauliah. Serabut aku baca. Aku tegur ni sebagai kawan dan sebab aku sayang engkau.

Tolonglah.

P/S : Status ini aku tulis di Facebook pada 11 Mei 2018, 2 hari selepas Pilihanraya Umum 2018


Monday, May 21, 2018

Tahi Suci : Live at Pesta Kumpulan Gitar Rancak 2018 Gig (The Video)



Tahi Suci : Live at Pesta Kumpulan Gitar Rancak 2018 Gig

Venue : MK99 Seafood Restaurant, Mukah Sarawak
 Date : 5th May 2018
 Video Credit : Fareez Hz

Photo Credit : Khwarizmi Jamallud-din

Monday, May 14, 2018

Ulasan Gig : Pesta Kumpulan Gitar Rancak 2018 (Bertempat di MK99 Seafood Restaurant, Mukah Sarawak)



Acara : Pesta Kumpulan Gitar Rancak 2018
Tarikh : 5 Mei 2018 (Sabtu)
Lokasi : MK99 Seafood Restaurant, Mukah Sarawak


Pengembaraan kami iaitu kontijen Bintulu Metalheads bermula lebih kurang 8 pagi dan terus melalui jalan pesisir pantai dari Bintulu ke Mukah menggunakan jalanraya baru iaitu melalui simpang Kampung Jepak terus ke arah Kuala Tatau menggunakan jambatan. Sekaligus arah ini membawa kami menuju ke Kuala Balingian dan seterusnya menghala ke Bandar Mukah. Perjalanannya mengambil masa 2 jam sahaja dari Bintulu. Kondisi jalanraya juga boleh dikategorikan sebagai memuaskan berbanding menggunakan jalan lama iaitu melalui Pekan Tatau dan terus ke Selangau yang terletak tidak jauh dari simpang Mukah.

Sesampainya kami di Mukah, ada sebahagian dari kami (band Erectus, TOYS dan Tahi Suci) terus check in di hotel dan ada juga yang bersantap makan tengahari di beberapa kedai makan. Aku pula tanpa berlengah masa terus ke venue bagi meninjau keadaan di sana. Semasa aku tiba di venue, kelihatan beberapa krew sedang membuat persediaan di atas pentas dan melakukan sesi soundcheck.

 Sesi soundcheck

 The stage

 Barang distro Mukah Metal Legion






Aku pula terus berjumpa dengan organizer iaitu Tuan Haji Zaidell Zaini yang sentiasa berlegar di ruang dewan di venue tersebut bagi meminta izin dari beliau untuk berjual barangan distro di tempat kejadian. Dewan tersebut agak unik kerana terletak di atas kedai makanan laut dan restorannya juga mempunyai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat yang majmuk.

Acara bermula lebih kurang dalam pukul 3 petang dan dimulai dengan band tempatan iaitu The Sareepdols. Mereka ini memang boleh tahan, siap berpakaian seragam. Kugiran ini memang dis hard fans Masdo rupanya. Hampir semua lagu Masdo mereka cover. Satu permulaan yang rancak bagi gig ini dan kelihatan crowd sudah mula ke hadapan stage.

 The Sareepdols

The Sareepdols

Selepas selesai persembahan The Sareepdols kini tiba giliran Mayday 101 pula untuk membuat persembahan. Band yang didatangi khas dari Kapit ini juga tidak mengecewakan. Persembahan mereka juga bertenaga dan menghiburkan.

Mayday 101

 Mayday 101

Mayday 101

Selesai setlist dari Mayday 101, maka giliran Erectus (death metal Bintulu) pula membuat persembahan. Atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, vokalis asal band ini tidak dapat mengikuti acara ini dan digantikan oleh aku. Ya, aku jadi vokalis sementara (terasa macam jadi cikgu gantian sahaja) untuk Erectus seketika. Yang lucunya aku terpaksa bawa lyrics sheet semasa membuat persembahan. Macam karaoke la pulak. Kebanyakan lagu yang kami persembahkan adalah lagu-lagu baru Erectus yang akan diriliskan dalam bentuk album tidak lama lagi.

 Erectus

Erectus

Acara berehat sebentar dalam lebih kurang 10 minit begitu selepas selesai sahaja persembahan dari band Erectus. Tidak lama selepas itu tibalah giliran Tahi Suci untuk meranapkan stage gig tersebut, lebih kurang begitulah perumpaannya. Ini merupakan buat julung kalinya Tahi Suci membuat persembahan di Mukah. First impression is always important dan kami membuag persembahan secara all out dan sebaik mungkin. 

Selesai sahaja kami dari Tahi Suci menyelesaikan setlist kami, maka tiba giliran band T.O.Y.S. pula membuat persembahan. Secara peribadi, aku merasakan band ini sudah improve lebih jauh dari segi persembahan berbanding beberapa tahun lepas. Band ini sinonim dengan genre post hardcore dan modern punk ala Comeback Kids dan yang sealiran dengan nya. Kai Rajli selaku frontwoman band ini semakin bijak mengawal persembahan di pentas. Syabas.

 T.O.Y.S.

 T.O.Y.S.

T.O.Y.S.

Apabila selesai sahaja persembahan dari band T.O.Y.S., tanpa membuang masa band Unconcious iaitu sebuah band death metal dari Sibu pula dijemput untuk naik ke pentas. Unconscious, band Sibu Besi Mati (death metal) yang semakin galak dan aktif mengikuti beberapa siri gig di Sarawak dan tidak lama lagi akan meluaskan empayar mereka ke tanah semenanjung.

Unconcious

 Unconcious

 Unconcious

 Unconcious

Unconcious

Selesai sahaja setlist performance oleh band Unconcious pada petang sabtu tersebut, majlis berehat seketika bagi memberi ruang untuk khalayak ramai berehat ataupun menunaikan kewajiban yang lain seperti makan ataupun solat. Majlis bermula kembali dalam lebih kurang pukul 8 malam begitu. Kelihatan ada beberapa band dari jauh seperti Kuching baru sahaja sampai di venue iaitu Retreo dan Kugiran A. Sazali. Sememangnya perjalanan ke sini agak meletihkan akan tetapi atas dasar minat terhadap muzik, ianya mengatasi segalanya.

Band pertama yang membuat persembahan untuk set kedua gig ini ialah The Retreo yang didatangkan khas dari Kuching. Persembahan mereka sesungguhnya amat bertenaga dan kedatangan mereka ada disusuli dengan pengikut mereka sendiri. Mereka bawa crowd yang betul-betul happening. Pengaruh muzik daripada The Pinholes, Changcuters mahupun Masdo amat ketara dalam kebanyakan lagu-lagu mereka yang mengembalikan irama rock and roll retro.

 Retreo

 Retreo

Retreo

Selesai sahaja persembahan daripada band Retreo, kini giliran Kugiran A. Sazali pula naik ke pentas untuk membuat persembahan. Dari segi muzik, mereka ini ada kelainan pada malam tersebut. Si vokalis juga menggalas sebagai pemain bass serta juru kibod atau lebih spesifik ianya dikenali sebagai synthesizer (jenama Korg tapi aku tak ingat model apa). Muzik bawaan mereka juga agak unik dan lain daripada band-band yang membuat persembahan malam itu. Jika anda seseorang yang minat dengan band-band seperti Interpol, Temper Trap, Block Party, White Lies mahupun Lana Del Rey serta Lorde, mungkin muzik mereka ini adalah selera anda.

 Kugiran A. Sazali

  Kugiran A. Sazali

  Kugiran A. Sazali

 Kugiran A. Sazali

Apabila band Kugiran A. Sazali menyelesaikan setlist mereka pada malam itu, seterusnya band headline pula yang akan membuat persembahan iaitu Kugiran D'Tepi Pantai (eh, nama pun ada perkataan "kugiran" di awalnya juga haha). Band yang diketuai oleh Tuan Kombat ini kalau diikutkan tidak perlu diperkenalkan lagi. Sudah hampir 20 tahun dalam industri muzik tempatan, nama mereka masih lagi menjadi sebutan dikalangan peminat muzik rock baik dalam scene mainstream ataupun bawah tanah. Irama surf rock yang dibawakan oleh mereka sesungguhnya bisa membuat crowd menari twist di hadapan pentas. Kebanyakan lagu yang didendangkan oleh mereka terdapat di dalam CD kompilasi ulangtahun ke-20 mereka yang juga dijual semasa acara tersebut berlangsung.

 Kugiran D'Tepi Pantai

  Kugiran D'Tepi Pantai

  Kugiran D'Tepi Pantai

  Kugiran D'Tepi Pantai

 Kugiran D'Tepi Pantai

Setelah penat berpogo serta bertwist semasa persembahan, giliran band progressive death metal iaitu PREDICATE NOT DEFINED yang didatangkan khas dari Pulau Pinang / Kuala Lumpur pula membuat persembahan. Sebenarnya dah lama aku teringin nak tengok mereka ni perform. Selalu tengok kat majalah ROTTW dan yang seumpama dengannya masa dulu-dulu. Lagu-lagu mereka memang hebat belaka. Ada pengaruh swedish death metal seperti In Flames dan Shadows Fall namun pada bahagian progressive nya pula mengingatkan aku dengan band Mastodon. Namun band ini ada identiti tersendiri. Ada suntikan elemen muzik melayu di dalam mereka juga. Syabas buat mereka.

 Predicate Not Defined

  Predicate Not Defined

  Predicate Not Defined

 Predicate Not Defined

Seterusnya band yang menjadi penutup tirai buat majlis ini ialah tidak lain dan tidak bukan, Larrong (Sibu death metal). Pada malam itu mereka cuma memainkan 3 buah lagu sahaja memandang keadaan sudah hampir lewat malam. Buat masa ini mereka masih dalam pembikinan album baru. Fokus mereka yang seterusnya ialah untuk tour di Jepun pada bulan Oktober nanti, jika tiada aral melintang. Semoga kalian sukses selalu.

 Larrong

  Larrong

  Larrong

 Larrong

Lebih kurang dalam pukul 11 malam begitu, maka berakhirlah sudah Pesta Kumpulan Gitar Rancak 2018 Gig yang bertempat di mk99 seafood restaurant, Mukah. Segala kenangan manis yang terjadi di sini akan kami ingat sampai bila-bila. Jutaan terima kasih kami ucapkan buat Tuan Zaidell Zaini serta krew Mukah Metal Legion yang bertungkus lumus menjayakan acara yang memorable ini. Sehingga kita berjumpa lagi di lain masa. Amin.

Sua Sue Good Morning - Kugiran D'Tepi Pantai feat. Pendekar Mustar (The Pilgrims cover) 

Jutaan terima kasih buat tuan Kom Batt serta bandmates dari Kugiran D'Tepi Pantai kerana menjemput saya yang bukan siapa-siapa ini menyanyi bersama kalian di atas pentas gig semalam. Maaf jika ada tersasul atau tersalah lirik semasa menyanyikan lagu tersebut. Yang penting kita enjoy. Haha.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...